Langkah-langkah untuk Mewujudkan Bilik Darjah Mesra Budaya

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) telah menetapkan akses sebagai salah satu aspirasi sistem pendidikan negara (Goay Teck Chong, Wong Yew Hong dan Suraini Basir, 2013). Berdasarkan pernyataan tersebut, akses yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) menekankan aspek kesamarataan pendidikan dalam kalangan murid untuk membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Singnifikan dengan kesamarataan peluang pendidikan terhadap setiap murid, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) juga turut menekankan aspek perpaduan dalam kalangan murid di sekolah. Perkara tersebut dapat dicapai menerusi interaksi dalam kalangan murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Penekanan yang diberikan oleh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dalam konteks perpaduan kaum adalah untuk mewujudkan identiti nasional dalam kalangan murid. Identiti nasional tersebut dapat dicapai sekiranya murid menerima serta menghayati hakikat kepelbagaian.
            Untuk merealisasikan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang meletakkan perpaduan kaum sebagai salah satu fokus utama, sekolah merupakan institusi pendidikan yang berperanan sebagai medium utama dalam merealisasikan hasrat tersebut. Perkara tersebut  bertepatan dengan pendapat Sufean Hussin (2004) yang menyatakan bahawa sekolah merupakan institusi yang dapat mewujudkan semangat perpaduan dalam kalangan murid yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Oleh yang demikian, pelbagai perkara yang menjurus ke arah perpaduan kaum haruslah diimplementasikan oleh pihak sekolah khususnya guru untuk mewujudkan persefahaman dalam kalangan murid yang berbeza latar belakang. Dalam hal ini, guru seharusnya mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya. Menurut Najeemah Md. Yusof (2006), pengurusan bilik darjah yang mesra budaya adalah relevan untuk diaplikasikan oleh guru dalam konteks pendidikan di Malaysia. Hal ini demikian kerana, pengurusan bilik darjah yang mesra budaya dapat mewujudkan semangat kekitaan dalam kalangan murid yang berperanan sebagai komuniti bilik darjah. Perkara tersebut secara tidak langsung dapat mewujudkan integrasi nasional dalam kalangan murid tersebut.
      Pendidikan pelbagai merupakan struktur keutamaan pendidikan, komitmen dan proses yang mencerminkan realiti budaya majmuk sebagai budaya kehidupan di Malaysia (Najeemah Md. Yusof, 2006). Pendidikan perlu memberi fokus yang utama terhadap perkembangan dan pengekalan budaya seperti yang digambar oleh individu, masyrakat dan komuniti. Berdasarkan pernyataan tersebut, pengurusan bilik darjah yang mesra budaya adalah perlu untuk dipraktikan oleh guru dalam konteks sekolah agar murid dapat menerima dan menghayati perbezaan dan kepelbagaian antara satu dengan yang lain. Perkara tersebut adalah signifikan dengan salah satu elemen dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu melahirkan rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Sejajar dengan elemen FPK tersebut, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) digubal dengan memberi penekanan terhadap perpaduan sebagai salah satu aspirasi sistem pendidikan negara. Terdapat beberapa langkah pengurusan bilik darjah mesra budaya yang boleh diambil oleh guru untuk menjayakan hasrat murni sistem pendidikan negara ini.
            Langkah pengurusan billik darjah mesra  budaya pada abad ke-21 yang boleh diambil oleh guru ialah menyusun kerusi dan meja murid yang terdiri daripada pelbagai kaum secara berkumpulan. Dalam hal ini, guru seharusnya menyusun murid dalam satu kumpulan yang mana setiap kumpulan mempunyai taburan kaum yang sama denga kumpulan yang lain (Najeemah Md. Yusof, 2006). Menerusi susunan tersebut, murid-murid akan bekerjasama antara satu dengan lain ketika melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Perkara tersebut secara tidak langsung mewujudkan persefahaman antara murid yang berlainan kaum tersebut menerusi aktiviti perbincangan secara dalam kumpulan yang dilakukan. Murid juga akan belajar untuk menerima dan menghayati perbezaan dalam kalangan mereka untuk menyelesaikan sesuatu tugasan yang diberikan oleh guru.Susunan kerusi dan meja murid sedemikian juga bertepatan dengan pembelajaran abad ke-21 yang mana menekankan aktiviti pembelajaran secara koperatif.   Deduksinya, susunan kerusi dan meja murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang secara berkumpulan dapat meningkatkan persefahaman sesama murid tersebut menerusi aktiviti perbincangan dalam kumpulan bertepatan dengan prinsip pembelajaran abad ke-21.
      Selain daripada aspek susunan kerusi dan meja murid, guru juga boleh menyediakan suatu sudut dan ruang bacaan di dalam bilik darjah tersebut untuk mewujudkan bilik darjah yang mesra budaya. Berdasarkan pernyataan tersebut, guru sepatutnya mewujudkan suatu sudut khas di dalam bilik darjah untuk meningkatkan pengetahuan murid terhadap kepelbagaian kaum di Malaysia. Guru juga boleh menyediakan bahan bacaan yang mengandungi nilai-nilai perpaduan dan persefahaman antara pelbagai kaum untuk ditampal pada sudut tersebut dengan mengaplikasikan penggunaan peta I-think seperti mana yang diberi penekanan dalam pembelajaran abad ke-21.  Hal ini bertepatan dengan pernyataan yang diberikan oleh Noriati A. Rashid et al. (2014) yang menyatakan bahawa pengurusan bilik darjah yang baik seharusnya membolehkan murid meningkatkan ilmu pengetahuan melalui pembacaan.  Penggunaan peta I-think dapat memudahkan murid dalam memahami konsep dan mesej yang terkandung dalam bahan bacaan. Hal ini secara tidak langsung mendorong murid untuk mengimplementasikan pengetahuan yang diperoleh daripada sudut khas tersebut dalam konteks kehidupan seharian untuk mewujudkan budaya yang mesra. Deduksinya, bilik darjah mesra budaya dapat diwujudkan sekiranya guru menyediakan satu sudut khas untuk meningkatkan pengetahuan murid terhadap kepentingan menjaga perpaduan dan persefahaman antara kaum.
       Untuk mewujudkan bilik darjah mesra budaya, guru seharusnya melaksanakan konsep komuniti pembelajaran di dalam bilik darjah. Komuniti pembelajaran dapat diwujudkan melalui pembinaan persekitaran bilik darjah yang prihatin dan penyayang. Dalam hal ini, murid yang terdiri daripada pelbagai kaum mempunyai rasa tanggungjawab untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang sempurna dan berkesan. Menurut Noriati A. Rashid et al. (2014), komuniti pembelajaran dalam dibina melalui pendekatan pembelajaran secara koperatif yang mana murid diberi peluang untuk bekerjasama dalam mencapai matlamat dan hasil pembelajaran. Menerusi kerjasama yang dilaksanakan, murid tersebut dapat membina persefahaman sesama mereka dan saling menerima pendapat antara satu dengan lain secara terbuka meskipun berbeza latar belakang. Komuniti pembelajaran juga boleh diwujudkan menerusi perkongsian nilai yang memupuk pemahaman dan kepercayaan terhadap nilai sehingga mampu mewujudkan suasana bilik darjah yang harmoni. Hal ini dapat mewujudkan budaya mesra dalam kalangan murid yang juga berperanan sebagai komuniti pembelajaran di dalam sesebuah bilik darjah. Intihanya, komuniti pembelajaran merupakan satu konsep yang perlu dilaksanakan oleh guru untuk mewujudkan bilik darjah mesra budaya selain relevan dengan pembelajaran abad ke-21 yang menfokuskan pembelajaran secara koperatif.
       Langkah seterusnya yang boleh diambil oleh guru untuk mewujudkan bilik darjah mesra budaya ialah dengan melaksanakan aktiviti bermain untuk murid ketika berlangsungnya sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian kerana, aktiviti bermain memupuk budaya bekerjasama dalam kalangan murid sebagai satu pasukan. Perkara tersebut bertepatan dengan pendapat Noriati A. Rashid et al. (2014) yang menyatakan bahawa aktiviti bermain mendorong pemupukan budaya kolaboratif dan koperatif dalam pengajaran dan pembelajaran. Tamsilannya, dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik, guru boleh menyediakan aktiviti reakreasi matematik secara dalam kumpulan. Antara contoh aktiviti reakreasi Matematik secara berkumpulan ialah permainan sudoku dan sebagainya. Melalui permainan tersebut, murid secara dalam kumpulan akan melakukan perbincangan untuk menyelesaikan tugasan tersebut. Dengan itu, murid dapat mewujudkan persefahaman sesama mereka menerusi aktiviti permainan yang telah guru laksanakan. Sekiranya dilihat dengan lebih teliti, aktiviti permainan secara dalam kumpulan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran menggalakkan pemikiran kritis dan memberi ruang kepada murid untuk mengutarakan pendapat ketika menyelesaikan masalah dalam permainan tersebut. Hal tersebut signifikan dengan pembelajaran abad ke-21 yang menekankan kemahiran  komunikasi untuk memberikan idea dalam kalangan murid. Oleh itu, guru seharusnya menyediakan lebih banyak aktiviti bermain kerana aktiviti tersebut mendorong pemupukan budaya kolaboratif dan koperatif dalam pengajaran dan pembelajaran yang menyebabkan wujudnya unsur persefahaman dan penerimaan dalam kalangan murid yang berbeza latar belakang.
      Dalam usaha untuk mewujudkan pengurusan bilik darjah  yang mesra budaya pada abad ke-21, Elemen Merentas Kurikulum seperti mana yang ditekankan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) sepatutnya dipraktikkan oleh guru ketika melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Elemen Merentas Kurikulum ialah unsur nilai tambah yang diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran selain yang ditetapkan dalam Standard Kandungan (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2013). Penerapan elemen tersebut bertujuan untuk mengukuhkan kemahiran dan keterampilan modal insan yang dihasratkan serta dapat menangani cabaran semasa dan masa hadapan. Dalam hal ini, Elemen Merentas Kurikulum yang bersesuaian dengan konsep bilik darjah mesra budaya ialah penerapan nilai murni dalam kalangan murid. Sebagai tamsilan, guru boleh menerapkan pelbagai nilai murni dalam kalangan murid seperti hormat-menghormati, kerjasama dan semangat bermasyarakat bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan murid. Perkara tersebut sejajar dengan pendapat Noriati A. Rashid et al. (2014) yang menegaskan bahawa pemupukan nilai murni dalam kalangan murid pelbagai kaum adalah penting untuk memastikan murid menghormati aspek perbezaan dalam kalangan mereka. Murid akan belajar untuk menerima dan menghayati perbezaan sesama mereka menerusi penerapan nilai murni tersebut. Tuntasnya, pelaksanaan Elemen Merentas Kurikulum yang ditekankan dalam KSSR dapat mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya menerusi penerapan nilai murni yang dapat memupuk sifat menerima dan menghayati perbezaan dalam kalangan murid.
      Guru juga perlu mewujudkan pengurusan sumber pengajaran dan pembelajaran mesra budaya dalam usaha untuk membina persekitaran bilik darjah yang mesra budaya. Pemilihan sumber untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan yang penting untuk memastikan murid pelbagai etnik dapat belajar dalam suasana yang menyeronokkan (Noriati A. Rashid et. al, 2014). Guru seharusnya meraih peluang dalam mempelbagaikan sumber pengajaran dan pembelajaran menerusi pelbagai budaya dan etnik muridnya. Kepelbagaian sumber yang berlatarbelakangkan budaya dan amalan hidup yang berbeza-beza mampu menarik minat murid untuk mengikuti pembelajaran tanpa rasa bosan. Murid juga diasuh untuk melihat bukan sahaja perbezaan yang wujud dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik, sebaliknya turut mencari persamaan untuk dikongsi bersama. Sebagai contoh, guru boleh memilih sumber bahan pembelajaran yang mengandungi ciri-ciri budaya sesuatu etnik bagi memupuk persefahaman dan perkongsian nilai budaya. Kepelbagaian sumber bahan tersebut adalah bersesuaian pembelajaran abad ke-21 yang menekankan penggunaaan pelbagai sumber bahan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini signifikan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang menuntut agar setiap murid menghayati dan menerima perbezaan sesama kaum. Ringkasnya, pengurusan sumber pengajaran dan pembelajaran mesra budaya adalah perlu untuk mewujudkan persefahaman dalam kalangan murid yang terdiri daripada pelbagai etnik dan latar belakang.
            Secara keseluruhan, terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil oleh guru dalam usaha untuk mewujudkan bilik darjah yang mesra budaya pada abad ke-21. Bilik darjah yang mesra budaya adalah penting untuk merealisasikan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang memberi fokus terhadap perpaduan sebagai salah satu aspirasi sistem pendidikan negara. Bilik darjah mesra budaya dilihat sebagai medium yang efektif dalam menjayakan hasrat murni Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) tersebut. Hal ini demikian kerana, bilik darjah mesra budaya mengalakkan murid untuk mewujudkan konsep penerimaan dan persefahaman dalam kalangan murid yang teridiri daripada latar belakang yang berbeza. Perkara tersebut secara tidak langsung dapat menanamkan semangat perpaduan kaum dalam kalangan murid pelbagai etnik. Oleh yang demikian, bilik darjah mesra budaya seharusnya dipraktikan oleh guru dalam usaha untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan murid.

           

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran