Sejarah Perkembangan Bidang Semantik

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Siti Hajar Abdul Aziz (2009) menyatakan bahawa semantik berasal daripada perkataan Greek iaitu semantikos yang bermaksud memberi tanda, sesuatu gejala atau tanda serta sesuatu yang bermakna. Semantik bermula daripada perkataan sema yang merujuk kepada aspek makna. Dalam hal ini, makna yang dimaksudkan ialah makna yang diungkapkan dalam sesuatu bahasa atau sistem tanda yang lain. Perkataan semantic yang digunakan kini berasal daripada bahasa Perancis, iaitu semantique. Perkataan tersebut telah digunakan oleh Michel Breal sejak abad ke-19. Berdasarkan sejarah linguistik, istilah semantik digunakan untuk merujuk kepada perkembangan dan perubahan makna dalam bahasa.

Ilmu semantik telah dikaji sejak tahun 429-347 SM oleh Plato (Faridah Nazir dan Faiziah Shamsuddin, 2016). Plato menyatakan bahawa bunyi-bunyi bahasa secara implisit mengandungi makna-makna tertentu menerusi karyanya yang bertajuk Crafylus. Seterusnya, Aristotle (384-322 SM) menggunakan istilah makna sewaktu mendefinisikan perkataan pada masa tersebut. Berdasarkan pendefinsian tersebut, perkataan merupakan satuan terkecil yang mengandungi makna. Dalam hal ini, perkataan merupakan satuan terkecil yang mengandungi makna yang hadir secara tersendiri iaitu makna leksikal dan makna gramatikal. Namun demikian, terdapat perbezaan pendapat antara Plato dan Aristotle berkenaan dengan kajian semantik kerana Plato melihat terdapat hubungan makna antara perkataan. Namun demikian, Aristotle melihat hubungan tersebut dari segi bentuk dan makna kata.

Perkembangan bidang semantik seterusnya dipelopori oleh Reising (1825) dalam Faridah Nazir dan Faiziah Shamsudin (2016) yang menyatakan bahawa unsur tatabahasa mencakupi tiga unsur utama iaitu semilologi yang mengkaji berkenaan dengan simbol, sintaksis yang mengkaji berkenaan dengan struktur ayat serta etimologi yang mengkaji berkenaan dengan perubahan bentuk kata dan maknanya. Pada akhir abad ke-19, Michel Breal telah menggunakan istilah semantik dengan mengemukakan definsi semantik sebagai suatu bidang ilmu baharu yang berfungsi untuk menambah makna dengan unsur luar bahasa dalam artikel yang bertajuk Les Lois Intelectuelles du Langgage. Ferdinand de Saussure (1916) dalam Abu Bakar Hamid (1978) mengemukakan konsep simbol bahasa (signe linguistique) yang terdiri daripada simbol atau penanda (signifiant) dan petanda (signife). Dalam hal tersebut, petanda merujuk kepada ilmu semantik atau makna.

Sapir (1921) dalam Faridah Nazir dan Faiziah Shamsudin (2016) turut memberi penekanan terhadap aspek semantik menerusi perbincangan berkenaan dengan elemen konsep atau idea dalam perkataan. Dalam hal ini, sesuatu perkataan mewakili konsep tunggal atau kombinasi konsep yang saling berhubungan sehingga membentuk kesatuan yang bermakna. Bloomfield (1939) menerusi Siti Hajar Abdul Aziz (2009) juga menekankan aspek semantik dengan membincangkan bahawa fonem merupakan unsur bahasa yang berfungsi untuk membezakan makna sesuatu perkataan. Berkaitan dengan itu, Hockett (1959) dalam Harimurthi Kridalaksana (1982) turut menyatakan bahawa semantik merupakan salah satu komponen sistem bahasa sama seperti tatabahasa, fonologi, morfofonemik dan fonetik. Sistem bahasa semantik dan fonetik bersifat periferal sedangkan sistem bahasa yang lain bersifat sentral. Perkara tersebut diperjelaskan lagi oleh Chomsky (1965) menerusi Ramli Salleh dan Toh Kim Hoi (1992) yang menyatakan bahawa semantik merupakan salah satu komponen tatabahasa selain daripada komponen sintaksis dan fonologi. Oleh yang demikian, teknik analisis komponen atau fitur distingtif digunakan untuk menganalisis makna dalam perkataan menerusi kajian semantik.

Perkembangan bidang semantik agak lambat di Malaysia berbanding dengan bidang linguistik yang lain seperti morfologi, fonologi, fonetik dan sintaksis (Nor Hashimah Jalaluddin, 2014). Namun demikian, kajian berkenaan dengan tatabahasa bahasa Melayu telah berlaku sejak era pramerdeka menerusi hasil penulisan berkenaan dengan tatabahasa pada masa tersebut. Penulisan buku berkenaan dengan tatabahasa bahasa Melayu lebih berstruktur pada era pascamerdeka kerana berlandaskan kerangka teori linguistik yang sistematik. Penulisan tersebut telah merancakkan lagi perbincangan bahasa Melayu dalam kerangka linguistik. Perbincangan tatabahasa tersebut hanya memberi fokus terhadap bidang morfologi dan sintaksis. Dalam hal ini, bidang semantik yang mengkhusus tentang makna tersisip secara tidak langsung dalam buku tersebut menerusi perbincangan tentang proses transformasi kata dan ayat. Proses transformasi dalam kata dan ayat telah membawa penjelasan berkenaan dengan perubahan makna yang berlaku terhadap sesuatu perkataan dan ayat.


Farizah Nazir dan Faiziah Shamsuddin (2016) menyatakan bahawa ketiadaan pakar dalam bidang semantik seperti mana dalam bidang morfologi dan sintaksis menyebabkan usaha untuk memperkembang bidang tersebut mengalami kesukaran. Hal ini demikian kerana, kajian berkenaan dengan bidang semantik kurang dilaksanakan tidak seperti bidang-bidang linguistik yang lain. Keadaan tersebut berkait rapat dengan perkembangan bidang semantik di luar negara. Perbezaan pendapat mengenai skop bidang semantik turut mempengaruhi perkembangan bidang tersebut secara amnya. Pada tahun 1951 di Nice, Perancis, keputusan telah dibuat untuk menempatkan semantik di bawah disiplin linguistik dan bukannya di bawah bidang falsafah. Berdasarkan pernyataan tersebut, bidang semantik dihadkan skop perbincangan kepada makna tersurat sahaja. Perkara tersebut memberi ruang untuk bidang semantik berkembang. Perkembangan tersebut seterusnya mempengaruhi penulisan para pengkaji bidang semantik yang tertumpu pada makna dan ayat.

Nor Hashimah Jalaluddin (2014) menyatakan bahawa perkembangan bidang semantik di Malaysia sebenarnya dipengaruhi oleh perkembangan bidang semantik pada peringkat antarabangsa. Hal tersebut termasuklah perkembangan ilmu serta teori yang digunakan di negara-negara yang lain. Kemunculan ilmu semantik sebagai sebagai salah satu disiplin bidang linguistik telah membawa transformasi terhadap perkembangan bidang linguistik di negara ini. Semantik merupakan disiplin linguistik yang telah distrukturkan setelah fonologi, morfologi dan sintaksis. Perkembangan bidang semantik di Malaysia agak lambat berbanding dengan bidang linguistik yang lain seperti morfologi, sintaksis dan fonetik. Hal ini demikian kerana, bidang semantik merupakan bidang yang baharu dan masih belum berkembang dalam bidang linguistik bahasa Melayu. Kajian terawal berkenaan dengan bidang semantik di Malaysia dilakukan oleh Awang Had Salleh (1959) menerusi rencana yang bertajuk Sadikit tentang Ma’na. Dalam rencana tersebut, aspek yang dibincangkan ialah makna konotatif, peluasan makna dan penyempitan makna. Namun demikian, penulisan tersebut bersifat terlalu umum berkenaan dengan bidang semantik kerana tidak menerapkan sebarang kerangka teori. Kajian semantik diteruskan lagi oleh Ismail Muhammad (1959) menerusi penulisan yang bertajuk Sedikit tentang Semantik. Kelemahan dalam penulisan tersebut ialah kurang membincangkan perkara yang berkaitan dengan semantik tetapi memberi penumpuan terhadap pembentukan kata dan perubahan makna bagi setiap perkataan. Dalam hal ini, penulisan tersebut lebih memberi fokus terhadap bidang morfologi dengan mengaitkan perubahan makna dalam perkataan.

Pada tahun 1960-an, A. Bakar Hamid (1967) menulis sebuah rencana yang bertajuk Semantik. Menerusi penulisan tersebut, semantik merupakan bidang linguistik yang kurang diberi fokus kerana bidang tersebut sukar dikaji secara formal. Hal ini demikian kerana, kajian semantik memerlukan kajian secara kontekstual. Kajian semantik juga berhubung kait dengan disiplin ilmu yang lain seperti sosiolinguistik, psikologi dan kebudayaan. Penulisan tersebut juga membincangkan kepentingan ilmu semantik dalam bidang tatabahasa atau sintaksis. Akan tetapi, penulisan ini juga mengandungi kelemahan iaitu tidak menerapkan atau mengaplikasikan sebarang kerangka teori dalam bidang semantik. Kajian tersebut juga kurang mendalam kerana hanya memberikan gambaran secara ringkas tentang bidang semantik. Kajian ini memperluas skop bidang semantik menerusi perkaitan antara bidang semantik dengan bidang yang lain.

Kajian semantik diteruskan oleh Nik Safiah Karim (1978) melalui penulisan rencana yang bertajuk Persoalan Semantik dalam Analisis Transformasi. Perkara yang diberi penekanan oleh penulisan tersebut ialah persoalan semantik dalam analisis transformasi yang juga aliran terbaharu dalam bidang linguistik ketika itu. Analisis transformasi tersebut telah mewujudkan semantik generatif dan semantik interpretif. Kedudukan aspek semantik dalam aliran struktural juga turut dibincangkan dalam penulisan tersebut. Hilmi Haji Ismail (1979) telah menulis mengenai konsep semantik dalam artikel yang bertajuk Apakah Erti Erti. Penulisan tersebut memberi fokus terhadap jenis makna yang terdapat dalam bahasa Melayu iaitu makna konsepsi, makna konotatif, makna stilistik, makna afektif, makna refleksi, makna kolokasi dan makna tematik. Kajian tersebut mengambil konsep semantik yang dipelopori oleh Geoffrey Leech. Seterusnya, Ainon Muhammad (1979) menerusi rencana yang bertajuk Semantik: Satu Pengenalan Ringkas telah menyenaraikan beberapa teori semantik yang merangkumi teori analisis komponen makna, semantik interpretif dan semantik generatif secara ringkas. Kajian-kajian tersebut merupakan satu kajian pendekatan teori tanpa data. Kajian-kajian tersebut juga membincangakan tentang teori analisis komponen makna, semantik interpretif dan semantik generatif. Kekurangan kajian ini ialah kurang menerapkan data dalam bahasa Melayu. Perkara ini menyebabkan aspek semantik dalam bahasa Melayu tidak dapat diperincikan.

Abdullah Hassan (2006) menyatakan bahawa kajian semantik selepas tahun 1980 berasaskan pendekatan semantik kognitif. Pendekatan semantik kognitif merupakan salah satu bidang semantik yang menghubungkan makna dan kognitif manusia. Raminah Haji Sabran dan Rahim Syam (1985) menghuraikan teori-teori yang digunakan dalam kajian bidang semantik. Teori-teori tersebut ialah teori imej, teori behaviorisme, teori analisis komponen dan teori logik simbolik. Kelemahan penulisan ini ialah hanya memberi fokus terhadap pengaplikasian teori-toeri semantik untuk menganalisis makna tanpa menghuraikan makna perkataan berdasarkan konteks yang bersesuaian. Zaharah Kasim (1986) melihat analisis komponen sebagai salah satu medium untuk menghuraikan makna perkataan dan hubungan antara satu perkataan dengan perkataan yang lain serta kemampuannya dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan struktur semantik dan penghuraian makna perkataan. Pendekatan semantik kognitif berkembang di Malaysia pada tahun 1990-an. Oleh yang demikian, pendekatan tersebut merupakan pendekatan baharu yang menyebabkan para pengkaji semantik bahasa Melayu tidak mengkaji semantik berlandaskan pendekatan tersebut. Jyh Wee Sew (1997) telah menulis artikel yang bertajuk Pemahaman Makna Berdasarkan Teori Nahu Kognitif: Satu Tinjauan Pelopor yang menjelaskan berkenaan dengan sejarah perkembangan pendekatan semantik kognitif. Berdasarkan penulisan tersebut, semantik kognitif merupakan sebahagian daripada aliran fungsional. Linguistik kognitif tidak lagi menerima lunas transformasi generatif yang menerima bahawa makna linguistik bersifat syarat benar. Dalam hal ini, makna ditentukan oleh konteks dan kebudayaan manusia. Penulisan tersebut merupakan penulisan tentang semantik kognitif yang bersifat umum atau kajian yang bersifat mudah. Dalam kajian ini, tidak wujud penerapan atau pengaplikasian kerangka teori dalam pendekatan semantik kognitif. Kajian tersebut juga adalah kurang mendalam dan agak terbatas kerana hanya memberikan gambaran secara ringkas tentang semantik kognitif.
Seterusnya, kajian berkenaan dengan bidang semantik diteruskan lagi oleh Imran Ho Abdullah (2000) menerusi rencana yang bertajuk Peluasan Semantik Kata Sifat Rasa: Manis, Masam, Pahit, dan Tawar. Kajian tersebut bertujuan untuk menghuraikan aspek peluasan makna dan polisemi kata adjektif rasa berdasarkan prinsip kognitif yang umum seperti metafora dan metonimi. Kazriyati Salehuddin (2000) telah melakukan perbandingan mekanisme kognitif yang terlibat dalam pembentukan simpulan bahasa dalam bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Menurut kajian tersebut, masyarakat yang menggunakan bahasa Melayu di Malaysia lebih cenderung menggunakan skema imej tatatingkat untuk memanifestasikan konsep. Daripada perbandingan yang dilakukan terhadap simpulan bahasa yang digunakan di Malaysia, didapati bahawa skema yang digunakan tidak sama. Penghuraian tentang skema imej ini dibincangkan berdasarkan prinsip kognitif yang lebih umum iaitu metafora konsepsi dan metonimi. Metafora kognitif ialah satu bentuk mekanisme kognitif yang digunakan oleh manusia untuk memahami entiti absarak melalui sesuatu yang konkrit. Imran Ho Abdullah (2000) telah memperkenalkan kajian peluasan makna berdasarkan pendekatan semantik kognitif, manakala Kazriyati Salehuddin (2000) pula telah memperkenalkan metafora konsepsi, metonimi dan skema imej. Kajian mereka ini boleh dianggap sebagai satu kajian yang berpendekatan data tanpa teori. Data yang digunakan adalah data korpus atau bahasa gunaan sebenar, tetapi dalam menghuraikan kajian yang telah dilakukan, mereka tidak menerapkan sepenuhnya kerangka teori yang boleh mengukuhkan kajian yang dijalankan.

Rozaimah Rashidin (2006) telah menghasilkan kajian bertajuk Peluasan Makna Rasuah dalam Karya Sastera Melayu Klasik: Satu Analisis Semantik Kognitif. Peluasan makna perkataan rasuah berdasarkan tipologi dalam kajian tersebut telah dianalisis menggunakan pendekatan semantik kognitif dan teori prototaip. Data yang digunakan dalam kajian telah diambil daripada enam buah karya sastera Melayu Klasik iaitu Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Tuhfat Al-Nafis, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Terong Pipit dan Hikayat Merong Mahawangsa. Peluasan makna perkataan rasuah ini telah berjaya dihurai dengan menggunakan pendekatan semantik kognitif melalui teori prototaip dan model kategori jaringan radial. Beberapa mekanisme kognitif seperti skema imej penghubung, skema imej daya, skema imej bekas dan beberapa metafora konsepsi telah berjaya diserlahkan bagi memperjelaskan bagaimana berlakunya proses peluasan makna perkataan rasuah ini. Kajian ini telah memberikan satu cara alternatif untuk memantapkan pendefinisian perkataan yang mengalami peluasan makna kerana telah berjaya memantapkan definisi perkataan rasuah berdasarkan tipologinya. Kesimpulannya, kajian ini telah mengambarkan satu persepsi bahawa gejala rasuah memang telah berlaku dan berakar umbi dalam masyarakat Melayu dari dahulu hingga kini. Kajian multiperspektif yang dilakukan oleh Rozaimah Rashidin (2006) menawarkan satu cara baru kepada kajian peluasan makna sesuatu perkataan. Dengan kata lain, kajian ini menjalinkan kombinasi di antara pendekatan semantik kognitif dan peluasan makna, kajian sastera Melayu klasik dan semantik kognitif, serta pertalian dan hubungan di antara pendefinisian perkataan dan tipologi rasuah dengan bahasa atau linguistik.

Kajian berkenaan dengan semantik diteruskan oleh Nor Hashimah Jalaluddin (2012) menerusi makalah yang bertajuk Peluasan Makna Alim: Analisis Semantik Kognitif. Fokus kajian tersebut ialah peluasan makna bagi perkataan alim yang juga merupakan kata pinjaman daripada bahasa Arab berlandaskan teori semantik kognitif. Perkataan tersebut mempunyai definisi yang berbeza daripada dapatan kamus. Perubahan tersebut berlaku disebabkan penggunaan perkataan tersebut disesuaikan mengikut konteks dan sosiobudaya Melayu. Nor Hashimah Jalaluddin (2014) dalam artikel yang bertajuk Semantik dan Akal Budi Melayu. Kajian tersebut adalah berbeza daripada kajian-kajian semantik yang sebelumnya kerana turut mengambil kira aspek kebudayaan masyarakat Melayu. Dalam hal ini, kajian tersebut telah membincangkan jenis-jenis semantik iaitu semantik skrip, semantik resonans dan semantik inkuisitif. Semantik skrip menfokuskan kepada maklumat sedia ada untuk mentafsir makna dan memahami akal budi masyarakat Melayu. Perkara tersebut menyebabkan penghuraian makna tidak tepat kerana menganalisis makna pada peringkat permukaan. Disebabkan kekurangan tersebut, wujudlah semantik resonans yang lebih menumpukan terhadap aspek teori dan menjelaskan serta mengaitkan tafsiran makna dengan kognitif penutur. Akan tetapi, semantik resonans tidak dapat memberi tafsiran yang tepat terhadap akal budi masyarakat Melayu kerana lebih berfokus terhadap data korpus tatabahasa dan ungkapan metafora. Oleh yang demikian, kajian tersebut mengintegrasikan semantik inkuisitif untuk memperjelaskan akal budi Melayu menerusi perkaitan antara bahasa, budaya, kognitif dan akal budi Melayu. Pendekatan berteraskan semantik inkuisitif signifikan dengan aspek akal budi Melayu. Kekhususan makna bukan sahaja tergambar pada tatabahasa malah kepada pemilihan objek dalam ungkapan metafora. Kajian tersebut membuktikan bahawa semantik yang diolah dengan tatakaedah yang tepat mampu menghuraikan makna yang tersirat.

Ulasan

  1. Terima kasih, cuma saya bercadang dan menyokong sekiranya blogspot ini hadir dengan rujukan, pernyataan di atas akan menjadi lebih konkrit

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran