Teori-teori Semantik

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Secara tradisional, semantik melibatkan kajian interpretasi konotatif, rujukan denotatif, syarat benar, struktur argumentasi dan peraturan tema yang kesemuanya mempunyai pertalian dengan sintaksis atau ayat (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009). Semantik membekalkan kajian makna ayat untuk bahasa dengan cara menghuraikan makna secara spesifik. Brown dan Yule (1983) dalam Ramli Salleh dan Toh Kim Hoi (1992) menyatakan bahawa semantik dianalisis melalui sintaksis yang melibatkan wacana atau teks secara keseluruhan. Untuk menganalisis makna dalam sesuatu bahasa, terdapat banyak tokoh linguistik menganalisis bahasa menggunakan teori-teori semantik tertentu. Perkara ini dapat dibuktikan menerusi kajian yang dilakukan oleh ahli-ahli dalam menganalisis makna. Namun demikian, tiada satu teori yang relevan diaplikasikan untuk menganalisis makna ujaran dengan lebih tepat. Oleh yang demikian, dalam menganalisis makna, pemilihan teori yang bersesuaian dengan konteks ayat amatlah penting. 

Teori Imejan
Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2009), teori imejan merujuk kepada makna sesuatu perkataan berhubung dengan imej yang terbayang dalam minda penutur atau pendengar. Imej yang telah dimaksudkan itu bukan bersifat visual. Hal ini demikian kerana imej tersebut tidak menepati gambaran sebenar yang dimaksudkan atau yang telah sedia ada. Perkara tersebut berlaku kerana setiap individu mempunyai beberapa imej bagi bagi sesuatu perkataan berdasarkan konteks yang berbeza.
Imej yang dirujuk tentang sesuatu perkara berbeza dan bergantung pada pengetahuan dan pengalaman individu. Sebagai tamsilan, imej kata syarahan bagi pelajar university berbeza dengan imej syarahan penduduk kampung yang menggambarkan syarahan tersebut sebagai syarahan agama atau khutbah.
Namun demikian, terdapat beberapa perkataan yang tidak dapat dikaitkan dengan sebarang imej seperti perkataan dan, atau, tetapi, manakala dan sebagainya. Hal ini demikian kerana, perkataan tersebut secara konseptualnya tidak mengandungi sebarang makna. Walau bagaimanapun, perkataan tersebut mampu memberikan makna kepada ayat dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnnya dalam konteks tertentu.
Konteks
Tanggapan Imej
Pelajar
Pertandingan syarahan atau perkongsian ilmu
Penduduk kampung
Syarahan agama


Teori Behaviorisme
Siti Hajar Abdul Aziz (2009) menyatakan bahawa teori behaviorisme dalam konteks semantik mempunyai hubungan dengan teori behaviorisme dalam konteks pembelajaran. Bloomfield (1933) dalam Abdullah Hassan (1980) menggunakan teori ini dalam menghuraikan makna. Berdasarkan teori ini, analisis makna hendaklah berdasarkan tingkah laku yang dapat diperhatikan. Sekiranya tingkah laku tersebut tidak dapat diperhatikan, analisis makna yang dilakukan hanya bersifat andaian. Dalam erti kata yang lain, seseorang dapat menggunakan dan membezakan perkataan yang digunakan dengan betul dan tepat hasil daripada pembelajaran. Secara amnya, ciri-ciri teori behaviorisme adalah seperti yang berikut:

i. Menolak konsep mentalisme yang mengkaji pemikiran dan konsep abstrak tanpa data yang dapat disahkan.
ii. Mempercayai bahawa tingkah laku manusia dan binatang mempunyai persamaan.
iii. Tingkah laku manusia dalam berbahasa disebabkan keperluan untuk  bersosialisasi.
iv. Perlakuan manusia ada hubungan dengan rangsangan dan gerak balas.

      Menurut teori behaviorisme, makna merupakan bentuk tindak balas hasil daripada rangsangan yang diperoleh oleh penutur dan pendengar dalam komunikasi yang berlaku antara mereka. Ransangan tersebut boleh berlaku menerusi proses mendengar dengan bertutur atau hasil daripada proses pembelajaran. Perkaitan makna dalam hal ini ditentukan oleh bentuk tingkah laku yang dapat diperhatikan.
Kajian semantik behaviorisme yang dilakukan oleh Osgood (1980) dalam Siti Hajar Abdul Aziz (2009) lebih menekankan proses penutur menghasilkan ujaran dan tindak balas pendengar bagi memahami ujaran tersebut. Dengan kata yang lain, penutur dan pendengar perlu saling memahami dan berkongsi makna yang sama bagi perkataan yang digunakan. Proses tersebut melibatkan aktiviti penghasilan, penyesuaian dan penerimaan terhadap ujaran. Sebagai contoh, semua individu secara umumnya menerima dan memahami penggunaan kata aku, saya, kami dan kita. Namun demikian, untuk menentukan kata ganti nama diri yang mana paling sesuai digunakan pada masa itu, penutur perlu membuat penyelesaian dengan berdasarkan konteks waktu itu. Melalui penyesuaian tersebut, barulah kata tersebut dapat diterima oleh pendengar.

Teori Logik Simbolik
Menurut Kempson (1991) dalam Farizah Nazir dan Faiziah Shamsuddin (2016), teori logik simbolik menghuraikan makna bukan sahaja pada peringkat perkataan tetapi turut menganalisis makna ayat. Makna ayat tersebut dikaitkan dengan perlakuan manusia untuk melihat perubahan tingkah laku yang berlaku apabila seseorang memahami makna yang disampaikan. Berdasarkan pernyataan tersebut, teori memberi penekanan terhadap aspek semantik, sintaksis dan pragmatik. Oleh yang demikian, teori logik simbolik merupakan teori semantik yang lebih lengkap berbanding dengan teori-teori semantik yang lain.
     Menerusi teori logik simbolik, aspek semantik meneliti perkaitan antara simbol dengan rujukan (reference), iaitu hubungan Antara perkataan dengan objek. Sintaksis pula meneliti perkaitan Antara satu perkataan dengan perkataan lain yang boleh menentukan makna. Perkaitan tersebut dilanjutkan dalam konteks yang lebih luas, iaitu frasa atau ayat. Dalam hal ini, sesuatu perkataan akan membawa perbezaan makna jika dihuraikan secara bersaingan atau holistik. Contohnya, perkataan keras hati jika dihuraikan secara berasingan danmempunyai makna yang berlainan tetapi jika dihuraikan secara holistik membawa makna degil. Aspek pragmatik pula mengkaji perkaitan antara simbol atau perkataan dengan perlakukan yang ditunjukkan seseorang sebagai reaksi kepada makna perkataan yang ditujukan kepadanya. Sebagai tamsilan, perkataan rindu, geram, benci, cinta akan menimbulkan implikasi, tanggapan dan perlakukan yang pelbagai kepada individu yang berlainan.
       Tanggapan berlainan terhadap perkataan oleh individu menunjukkan pelbagai tafsiran dapat diberikan terhadap makna sesuatu perkataan. Oleh itu, teori logik simbolik merupakan teori semantik yang bersesuaian kerana memberi penekanan terhadap konteks dan perlakuan yang mengiringi sesuatu ujaran. Menurut Raminah Haji Sabran dan Rahim Syam (1985), makna yang dikaitkan dengan konteks kebiasaannya lebih tepat kerana konteks merupakan aspek terpenting dalam pentafsiran makna sesuatu ujaran.
Aspek
Huraian
Simbol Rujukan
Hubungan antara perkataan dan benda.
Sintaksis
Hubungan perkataan dengan perkataan.
Pragmatik
Perkaitan antara simbol dan tingkah laku.

 

Teori Analisis Komponen

John Lyons (1995) menerusi Siti Hajar Abdul Aziz (2009) menyatakan bahawa teori analisis komponen menjelaskan setiap perkataan mempunyai hubungan makna dengan perkataan yang lain. Hubungan tersebut dikenali sebagai leksikal yang mana merupakan makna unsur-unsur bahasa sebagai lambing objek. Struktur leksikal merujuk kepada perkataan atau perbendaharaan kata dalam sesuatu bahasa iaitu makna sesuatu perkataan itu sendiri tanpa melihat penggunaannya dalam ayat. Analisis komponen diaplikasikan bagi melihat hubungan makna bagi sesuatu perkataan dengan sejumlah unsur atau komponen makna. 
Selain daripada analisis komponen, cara untuk memperlihatkan elemen semantik adalah dengan menganalisis fitur atau ciri semantik. Kaedah lazim digunakan bagi melihat kehadiran atau ketidakhadiran elemen semantik bagi satu set kata. Fitur atau ciri semantik merupakan hubungan makna bagi sejumlah kata yang masing-masing mempunyai ciri-ciri tersendiri. Analisis ciri ini menggunakan tanda (+) atau (-). Tanda (+) bermaksud bahawa ciri tersebut hadir atau wujud pada perkataan yang hendak dianalisis maknanya, manakala tanda (-) pula menunjukkan bahawa kata itu tidak mempunyai ciri tersebut.
Jadual di bawah menunjukkan bahawa terdapat perkataan yang boleh dikaitkan dengan manusia. Antara perkataan tersebut ada yang berkongsi ciri yang sama diberikan tanda (+). Sebagai contoh, kelas kata yang merujuk kepada isteri diberikan tanda (+) bagi ciri orang, dewasa, wanita dan ibu. Hal ini bermakna ciri-ciri tersebut terdapat pada perkataan isteri dan dapat digunakan bagi menjelaskan makna perkataan isteri itu dari segi semantiknya.

Suami
Isteri
kakak
abang
adik
+ orang
+ dewasa
+ lelaki
- wanita
+ orang
+ dewasa
- lelaki
+ wanita
+ orang
+ dewasa
- lelaki
+ wanita
+ orang
+ dewasa
+ lelaki
- wanita
+ orang
- dewasa
+ lelaki
+ perempuan

 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran