Peningkatan Pembangunan Diri dan Kerjaya Guru Berdasarkan Teori Trotter (1986)


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia telah meletakkan peningkatan profesionalisme profesion keguruan sebagai salah satu fokus utama. Dalam usaha untuk memastikan hasrat tersebut direalisasikan dengan jayanya, guru seharusnya mengambil tindakan proaktif ke arah meningkatkan profesionalisme profesion keguruan sejajar dengan hasrat murni Kementerian Pendidikan Malaysia tersebut. Untuk meningkatkan profesion keguruan seperti mana yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, guru sebagai entiti utama dalam pelaksanaan kurikulum pada peringkat sekolah seharusnya mengambil langkah yang proaktif dalam meningkatkan pembangunan diri dan kerjaya yang dilihat sebagai mekanisme utama untuk meningkatkan martabat profesionalisme keguruan. Dalam hal ini, aspek pembangunan diri dan pembangunan kerjaya merupakan perkara yang penting untuk peningkatan profesionalisme keguruan seperti mana yang diberi penekanan dalam Teori Trotter (1986). Noriati A. Rashid et al. (2012) menyatakan bahawa pada tahun 1986, Trotter telah memperkenalkan teori Lima Peringkat Perkembangan Guru. Trotter menyatakan bahawa peringkat perkembangan guru dapat dibahagikan kepada lima peringkat iaitu novis, novis lanjutan, cekap, mahir dan pakar. Setiap peringkat perkembangan tersebut memerlukan guru untuk melaksanakan beberapa perkara bagi memastikan tahap profesionalisme dapat ditingkatkan.

            Peringkat pertama perkembangan guru berlandaskan Teori Trotter (1986) ialah peringkat guru novis. Pada peringkat ini, guru mula mempelajari cara untuk mengajar. Guru novis juga turut mempelajari fakta, konsep dan peraturan asas dalam pengajaran. Pada peringkat ini juga, guru novis dapat menangani tugas-tugas harian seorang guru seperti menjadi guru kelas dan guru bertugas. Guru juga telah dapat membuat satu peta kognitif berkenaan dengan tugas-tugas asas seorang guru profesional berdasarkan kursus yang telah dipelajari sewaktu dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Tindakan yang perlu diambil oleh guru pada peringkat tersebut dalam konteks pembangunan diri adalah mempertingkat kemahiran komunikasi. Menurut Ahmad Iman Arief (2007), kemahiran berkomunikasi merupakan salah satu kriteria yang dituntut dalam semua profesion pekerjaan. Dalam hal ini, kemahiran berkomunikasi merupakan elemen yang penting dalam proses kehidupan manusia. Menurut Abdul Aziz Yusof (2003), komunikasi melibatkan penyampaian idea dan perasaan kepada pihak lain menerusi penggunaan pelbagai medium. Menerusi penguasaan terhadap kemahiran komunikasi yang berkesan, guru dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah (Syed Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Subki Miskon, 2010). Hal ini demikian kerana, penguasaan terhadap kemahiran komunikasi membantu guru novis untuk berinteraksi dengan komuniti sekolah. Peningkatan terhadap kemahiran komunikasi dalam kalangan guru novis dapat diperoleh dengan mengikuti aktiviti sosialisasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah seperti sukaneka dan sebagainya. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Khairul Anuar A. Rahman (2012), kebanyakan guru novis tidak menguasai kemahiran komunikasi dengan berkesan menyebabkan guru tersebut tidak dapat melaksanakan tugas dengan efektif. Deduksinya, guru novis seharusnya melengkapkan diri dengan kemahiran komunikasi untuk membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah.

            Dalam konteks pembangunan kerjaya, guru novis seharusnya melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang diperlukan dalam pelaksanaan proses pembelajaran dan pemudahcaraan. Menurut Ragbir Kaur Joginder Singh (2013), proses pembelajaran dan pemudahcaraan di dalam bilik darjah memerlukan guru untuk menguasai beberapa ilmu berkaitan dengan amalan pedagogi. Perkara tersebut adalah fundamental untuk memastikan proses pembelajaran dan pemudahcaraan tersebut berjalan dengan berkesan. Namun demikian, kebanyakan guru novis tidak dapat mengimplementasikan pengetahuan yang telah dipelajari semasa menjalani latihan (Tengku Sarina Aini Tengku Kasim dan Fatimah Sahida Abdurajak, 2018). Keadaan ini menyebabkan proses pembelajaran dan pemudahcaraan yang dilakukan tidak efektif dan bermakna. Guru novis seharusnya menyertai pelbagai kursus yang dapat membantu mereka menambah baik amalan pedagogi seperti kursus pembelajaran abad ke-21, kursus pentaksiran bilik darjah dan kursus yang relevan dengan konteks pedagogi. Menerusi kursus tersebut, guru novis memperoleh pelbagai input baharu yang dapat diaplikasikan dalam pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan pemudahcaraan dalam bilik darjah. Perkara in secara tidak langsung membantu guru untuk meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran dan pemudahcaraan yang dilaksanakan. Konklusinya, guru novis seharusnya melengkapkan diri dengan pengetahuan berkaitan dengan amalan pedagogi menerusi penyertaan terhadap kursus yang bersesuaian.

Peringkat kedua perkembangan guru ialah peringkat guru novis lanjutan. Hasil daripada pengalaman awal guru berkaitan amalan di dalam bilik darjah membantu guru tersebut membina keyakinan diri. Meskipun begitu, bimbingan daripada guru pembimbing amat penting sebagai motivasi kepada guru novis lanjutan untuk mengekalkan prestasi pengajarannya. Sebagai tamsilan, mentor boleh memberi bimbingan dan cadangan penambahbaikan terhadap sesi pembelajaran dan pemudahcaraan yang dilaksanakan oleh guru novis lanjutan agar kualiti pengajaran dan pemudahcaraan dapat dipertingkat. Guru pada peringkat novis lanjutan perlu menguasai kemahiran untuk mengurus tekanan yang disebabkan oleh bebanan tugas dengan baik. Hal ini demikian kerana, tekanan kerja yang dihadapi menjejaskan produktiviti serta prestasi guru tersebut dalam melaksanakan tugas. Signifikan dengan pernyataan tersebut, tekanan yang dihadapi oleh guru dalam suatu jangka masa yang agak lama akan mendatangkan implikasi negatif terhadap kesihatan mental guru tersebut.  Guru pada peringkat novis lanjutan sering kali diberikan dengan pelbagai tugas dalam organisasi sekolah seperti setiausaha peperiksaan, pengurus gerak kerja kokurikulum dan sebagainya lalu menyebabkan guru tersebut mengalami tekanan. Perkara ini sejajar dengan kajian Kamaruzaman Kamaruddin (2007) yang menyatakan bahawa faktor beban tugas menyebabkan guru mengalami tekanan di sekolah. Kebanyakan guru berasa tertekan apabila mereka diberikan tugas perkeranian. Guru novis lanjutan seharusnya mendapatkan khidmat nasihat daripada pelbagai pihak atau organisasi yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membantu mereka mengurus tekanan dengan baik. Intihanya, guru novis lanjutan seharusnya mengurus tekanan dengan baik untuk membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan efektif untuk meningkatkan profesionalisme keguruan.
Menurut Syed Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Subki Miskon (2010), guru novis lanjutan memerlukan bimbingan guru mentor untuk mengekalkan minat dan motivasi guru novis lanjutan tersebut. Guru novis lanjutan perlu menambah dan memantapkan kefahaman fakta, konsep, prinsip berkaitan proses pembelajaran dan pemudahcaraan (Ragbir Kaur Joginder Singh, 2013). Perkara tersebut adalah perlu agar guru novis lanjutan dapat mengaplikasikan perkara yang telah difahami ketika melaksanakan aktiviti pembelajaran dan pemudahcaraan di dalam bilik darjah dengan bimbingan guru yang lebih pakar sebagai mentor. Selaras dengan pernyataan tersebut, guru novis lanjutan perlu mengimplementasikan konsep komuniti pembelajaran profesional menerusi kolaboratif dengan guru yang lain. Pengimplementasian konsep komuniti pembelajaran profesional dapat membantu guru novis lanjutan menambah baik amalan pedagogi mereka berdasarkan panduan daripada rakan guru yang berperanan sebagai mentor. Namun demikian, konsep komuniti pembelajaran profesional tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana terdapat ramai guru sekolah kurang memahami konsep sebenar komuniti pembelajaran profesional tersebut (Zuraidah Abdullah et al., 2016). Tuntasnya, pelaksanaan konsep komuniti profesional amatlah perlu dilaksanakan oleh guru novis untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam pelaksanaan pembelajaran dan pemudahcaraan.

Peringkat ketiga perkembangan guru ialah peringkat guru cekap. Pada peringkat ini, guru telah memiliki kelayakan ikhtisas. Guru juga dapat memahami konsep dan prinsip pembelajaran dalam pelbagai situasi. Guru cekap lebih menumpukan perhatian terhadap pembelajaran murid. Perkara ini dapat dilihat  melalui penguasaan guru cekap terhadap strategi pembelajaran dan pemudahcaraan yang pelbagai serta kemampuan untuk menyesuaikannya mengikut keperluan murid yang pelbagai. Guru juga melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai mentor dan pembimbing yang minimum ke atas guru novis dan guru novis lanjutan. Dari aspek pembangunan diri, guru cekap perlu menguasai kemahiran interpersonal kerana peranan mereka sebagai mentor terhadap guru novis dan guru novis lanjutan memerlukan kemahiran tersebut. Secara amnya, kemahiran interpersonal merujuk kepada kemahiran dalam membina hubungan sosial (Ahmad Sarji Abdul Hamid, 1994). Menerusi penguasaan terhadap kemahiran interpersonal yang baik, guru cekap dapat mewujudkan interaksi dengan guru novis untuk mewujudkan budaya kolaboratif. Untuk menguasai kemahiran interpersonal yang baik, guru cekap perlu mengikuti program-program yang memupuk semangat bekerjasama sebagai sebuah organisasi. Dalam konteks bidang perguruan, program yang boleh diikuti ialah Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP). Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Nur Hafizoh Idrisa dan Rohana Hamzaha (2012), kebanyakan guru tidak menguasai kemahiran interpersonal dengan baik. Keadaan tersebut sudah tentu menyukarkan budaya kolaboratif dalam kalangan komuniti guru di sekolah wujud. Oleh yang demikian, guru cekap perlulah meningkatkan kemahiran interpersonal untuk membolehkan mereka melakukan bimbingan terhadap guru novis dan guru novis lanjutan.
Untuk pembangunan kerjaya, guru cekap seharusnya membudayakan amalan inovasi dalam pelaksanaan pembelajaran dan pemudahcaraan. Syed Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Subki Miskon (2010) menyatakan bahawa pada peringkat ini guru memberikan fokus kepada pembelajaran murid. Guru cekap mempunyai komitmen terhadap penyampaian ilmu pengetahuan kepada murid menggunakan kemahiran yang dimiliki. Menurut Omar Abdull Kareem dan Khuan Wai Bing (2005), salah satu cara untuk meningkatkan kemahiran guru cekap adalah menerusi pembudayaan inovasi. Dengan kata lain, guru melakukan inovasi terhadap amalan pedagogi seperti penggunaan sumber pembelajaran dan alat bantu mengajar. Melalui pembudayaan inovasi, guru cekap dapat mengatasi permasalahan yang dihadapi oleh murid ketika proses  pembelajaran dan pemudahcaraan berlangsung. Dalam pembudayaan inovasi, guru cekap perlu menghadiri bengkel-bengkel inovasi untuk meningkatkan pengetahuan tentang inovasi dalam pembelajaran dan pemudahcaraan. Menerusi pembudayaan inovasi, guru dapat mempertandingkan inovasi yang dihasilkan pada peringkat daerah, negeri dan kebangsaan agar inovasi tersebut dapat digunakan secara meluas. Meskipun pembudayaan inovasi meningkatkan profesionalisme guru, masih terdapat sesetengah guru yang jarang melaksanakan inovasi untuk meningkatkan kemahiran mereka. Perkara ini bertepatan Azhari Mariani dan Zaleha Ismail (2013) yang menyatakan bahawa terdapat guru di Malaysia yang kurang mengamalkan inovasi dalam pelaksanaan proses pembelajaran dan pemudahcaraan. Konklusinya, budaya inovasi dalam kalangan guru adalah perlu untuk meningkatkan profesionalisme guru.

Peringkat keempat perkembangan guru ialah peringkat guru mahir. Pada peringkat ini, guru telah mahir dalam bidangnya. Syed Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Subki Miskon (2013) berpendapat bahawa guru pakar adalah golongan guru yang mempunyai kemahiran, kepakaran dan cemerlang dalam mata pelajaran atau bidang pengkhususan masing-masing.  Guru perlulah menerapkan nilai murni dalam melaksanakan tugasan yang telah diberikan seperti mana yang terkandung dalam Nilai dan Etika Penjawat Awam.  Berdasarkan takrifan yang diberikan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (1991), Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam merupakan set rujukan perilaku atau prinsip-prinsip moral yang perlu dipatuhi oleh semua penjawat awam. Penerapan nilai murni dalam pelaksanaan tugas merupakan medium utama untuk mencapai kecemerlangan dalam perkhidmatan awam. Menurut Yazid Abdul Manap (2001), pengamalan nilai dalam pelaksanaan tugas dapat meningkatkan akauntabiliti seseorang guru. Pengamalan nilai murni juga mendorong guru sebagai penjawat awam untuk bekerja dengan ikhlas dan berkesan (Ragbir Kaur Joginder Singh, 2013). Dalam hal ini, pengamalan nilai merupakan medium utama untuk mencapai kecemerlangan dalam pelaksanaan tugas. Guru sebagai sebahagian daripada entiti penjawat awam seharusnya mengamalkan nilai dan etika penjawat awam yang telah ditetapkan. Akan tetapi, isu yang timbul berkenaan dengan pengamalan nilai murni dalam kalangan guru ialah terdapat sesetengah guru yang tidak melaksanakan tugas dengan baik. Hal ini dapat dibuktikan menerusi laporan yang menyatakan bahawa seorang guru tidak masuk ke kelas untuk mengajar (Wan Faizal Ismayatim, 2018).  Secara ringkas, guru perlulah mengamalkan nilai murni dalam melaksanakan tugas untuk memastikan akauntabiliti guru terus terpelihara untuk meningkatkan profesionalisme keguruan.

Muhamad Sani Ibrahim (2001) menyatakan bahawa pada peringkat mahir, guru dapat menganalisis serta menyusun maklumat yang kompleks berkaitan sesuatu situasi pembelajaran secara kreatif dan unik.  Sufean Hussin (2004) menyatakan bahawa perubahan drastik dalam bidang pendidikan memerlukan guru untuk mengintegrasikan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pembelajaran dan pemudahcaraan. Dalam hal ini, pengintegrasian tersebut memerlukan kemahiran guru dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (Noriati A. Rashid et al., 2012). Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam proses pembelajaran dan pemudahcaraan mewujudkan suasana bilik darjah yang berinteraktif. Untuk meningkatkan kemahiran guru dalam aspek penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi, guru seharusnya menyertai bengkel yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia berkenaan dengan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi dalam pembelajaran dan pemudahcaraan seperti bengkel Frog-VLE. Terdapat segelintir guru di negara tidak mahir menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi untuk diintegrasikan dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (Siti Fatimah Ahmad dan Ab. Halim Tumuri, 2010). Perkara tersebut berlaku disebabkan oleh kurangnya akses terhadap internet terutamanya di sekolah luar bandar. Guru mahir seharusnya melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi sejajar dengan kehendak semasa dunia pendidikan untuk mengangkat martabat profesion keguruan.

Peringkat kelima perkembangan guru ialah peringkat guru pakar. Pada peringkat ini, guru telah dapat memahami dan menangani maklumat yang pelbagai tetapi masih memiliki gaya pengajaran yang lancar. Guru pakar merupakan orang yang berautoriti dalam profesionnya kerana idea dan kemahirannya boleh mempengaruhi polisi-polisi berkaitan dengan pengendalian di dalam bilik darjah. Usaha pembangunan diri yang dapat dilakukan oleh guru pada peringkat guru pakar ialah menyerlahkan keterampilan diri. Secara umumnya, keterampilan diri merujuk kepada keyakinan diri atau kepercayaan terhadap diri sendiri iaitu kemampuan dan keupayaan untuk menghadapi cabaran (Nazirmuddin Ahmad, 2005).  Dalam hal ini, semua profesion menekankan aspek keterampilan diri sebagai salah satu aspek yang penting.  Dalam konteks profesion keguruan, keterampilan guru pakar dapat dilihat menerusi personaliti dan keperibadian mereka. Perkara tersebut dilihat menerusi cara berpakaian, akauntabiliti, kemahiran komunikasi positif dan sebagainya (Syed Ismail Syed Mustafa dan Ahmad Subki Miskon, 2010). Menerusi keterampilan yang ditunjukkan, guru dapat menjaga imej profesion keguruan. Perkara tersebut secara tidak langsung mengangkat martabat profesion keguruan  itu sendiri. Dalam hal ini, guru seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada kepada masyarakat umum. Untuk meningkatkan keterampilan diri, guru pakar boleh mengikuti pelbagai kursus berkenaan dengan penampilan diri yang dianjurkan oleh badan tertentu. Namun demikian, terdapat dalam kalangan guru yang tidak menjaga personaliti mereka dengan baik iaitu dengan tidak mematuhi etika pemakaian yang telah ditetapkan. Tegasnya, guru pakar perlulah meningkatkan keterampilan diri mereka untuk menjaga imej profesion keguruan.

Pada peringkat guru pakar, guru telah memperoleh kepakaran khusus dan berkebolehan untuk mengurus perubahan secara cekap dan berkesan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2016). Menurut Mok Soon Sang (2007), guru pakar merupakan guru yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu. Guru pakar merujuk kepada usaha pihak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengiktiraf guru yang mempunyai kemahiran, kepakaran dan cemerlang dalam opsyen masing-masing. Untuk meningkatkan pembangunan kerjaya pada peringkat ini, guru pakar perlulah mengikuti kursus yang dapat meningkatkan kepakaran guru tersebut. Dalam hal ini, guru pakar boleh mengikuti kursus yang dianjurkan oleh pihak Institut Pendidikan Guru Malaysia terutamanya kursus yang melibatkan perubahan kurikulum. Penyertaan guru pakar terhadap kursus sedemikian membantu guru tersebut memperoleh input baharu yang sesuai dengan keperluan semasa bidang pendidikan. Berdasarkan situasi tersebut, guru pakar menjadi sumber rujukan bagi guru yang lain dalam bidang kepakaran tertentu. Cabaran yang dihadapi oleh guru pakar untuk meningkatkan pembangunan kerjaya adalah terdapat beberapa guru pakar yang tidak memberikan sumbangan signifikan terhadap sekolah (Syed Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Subki Miskon, 2010). Perkara ini menyebabkan kepakaran guru tersebut tidak dapat diaplikasikan untuk meningkatkan prestasi sekolah. Jelaslah, guru pakar perlu mengikuti kursus yang dapat meningkatkan kepakaran guru tersebut untuk meningkatkan martabat profesion keguruan.

Secara holistik, peningkatan profesionalisme guru sama ada dari aspek pembangunan kendiri ataupun pembangunan kerjaya amatlah penting dalam meningkatkan profesionalisme keguruan. Peningkatan profesionalisme guru amatlah penting ke arah merealisasikan aspirasi sistem pendidikan negara. Dalam hal ini, guru sebagai individu yang memainkan peranan penting sebagai pelaksana dasar kurikulum pihak Kementerian Pendidikan Malaysia seharusnya menguasai pelbagai kemahiran yang dianggap relevan dengan keperluan semasa. Profesionalisme yang dimiliki oleh guru amatlah penting dalam usaha untuk melahirkan murid yang mampu memenuhi aspirasi sistem pendidikan negara ke arah pembentuk masyarakat berminda kelas pertama. Profesionalisme dalam kalangan guru juga membolehkan guru melaksanakan peranannya dengan lebih efektif. Oleh yang demikian, guru sewajarnya melaksanakan aktiviti yang menjurus ke arah peningkatan pembangunan diri dan juga kerjaya.

Ulasan

  1. good write up , will be better if with reference

    BalasPadam
  2. terbaik! lebih baik jika ada rujukan :)

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Binaan Plot