Konsep Budaya


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Kebudayaan merupakan tamadun sesuatu masyarakat yang diwarisi daripada satu generasi kepada satu generasi yang berikutnya. Kebudayaan berkaitan dengan keseluruhan sistem kehidupan yang dipraktikkan oleh sesuatu masyarakat. Dalam kebudayaan itu, terkandung unsur sosial, kepercayaan, sistem simbol, unsur teknologi, ekonomi yang menjadi milik masyarakatnya. Budaya dapat membezakan sesuatu masyarakat dengan masyarakat yang lain. Budaya sesuatu masyarakat dapat menentukan keperibadian kebangsaan sesebuah negara. Di Malaysia, budaya Melayu dipersetujui sebagai teras kebudayaan kebangsaan, namun unsur-unsur budaya kaum lain seperti Cina dan India turut diambil kira.
Secara etimologi, perkataan budaya berasal daripada gabungan perkataan Sanskrit dan Melayu, iaitu 'budhi' dan 'daya'. Perkataan 'budhi' yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit bererti kecergasan fikiran dan akal. Perkataan 'daya' pula ialah perkataan Melayu Polinesia yang bermakna kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh. Jika kedua-dua perkataan tersebut digabungkan, budaya membawa maksud tenaga fikiran, usaha rohani atau kuasa menggerakkan jiwa.
Kroeber dan Kluckhonh (1952) menyatakan bahawa budaya merujuk kepada gaya atau cara hidup manusia secara keseluruhan, termasuklah pemikiran, nilai pengetahuan, perlakuan dan bahan material yang dikongsi oleh mereka. Manakala takrif budaya menurut Taib Osman (1988) adalah merujuk kepada cara hidup yang merangkumi perbuatan seharian sesuatu kelompok masyarakat beserta nilai-nilai sosial dan pandangan semesta  masyarakat tersebut.
Secara holistik, budaya dapatlah ditakrifkan sebagai suatu gaya hidup atau cara hidup manusia secara menyeluruh. Budaya dalam hal ini dapat diklasifikasikan kepada budaya bersifat material dan budaya bukan bersifat material. Budaya merupakan cerminan ketamadunan bangsa yang menunjukkan kemajuan fikiran, akal budi, cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya. Ringkasnya, budaya merupakan suatu cara hidup yang diamalkan oleh masyarakat merangkumi aspek politik, sosial, agama, organisasi, ekonomi adat istiadat, nilai, adat resam dan sebagainya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran