Contoh Laporan Temu Bual Peranan Guru sebagai Pemimpin Profesional dalam Pelbagai Aspek Pembelajaran dan Pemudahcaraan
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Pada 28 Februari 2019, saya telah menjalankan sesi temu
bual bersama dengan salah seorang guru di Sekolah Kebangsaan Batu 4 Jalan Apas,
Tawau. Tujuan saya melakukan sesi temu bual tersebut adalah untuk mengetahui
berkenaan dengan peranan guru sebagai pemimpin profesional dalam pelbagai aspek
pembelajaran dan pemudahcaraan di dalam bilik darjah. Perkara tersebut
bertepatan dengan keperluan tugasan kursus asas pendidikan iaitu EDUP3083 Asas Kepemimpinan dan Pembangunan
Profesionalisme Guru yang mana memerlukan saya untuk menjalankan sesi temu
bual terhadap guru di sekolah pilihan saya semasa menjalani internship. Guru
yang ditemu bual merupakan Ketua Panitia Matematik di sekolah tersebut dan
mempunyai pengalaman mengajar selama 27 tahun bermula pada tahun 1992. Bentuk
temu bual yang telah saya laksanakan adalah temu bual separa berstruktur untuk
membolehkan saya melakukan penyoalan lebih lanjut berdasarkan jawapan yang
dikemukakan oleh responden. Temu bual tersebut telah dilaksanakan pada 28
Februari 2019 di bilik guru sekolah bermula pukul 10:00 am sehingga 11:00 am.
Semasa melaksanakan temu bual, saya telah
mengajukan beberapa soalan yang merangkumi kefahaman responden terhadap konsep
profesionalisme keguruan, peranan guru sebagai pemimpin profesional dalam pelbagai
aspek pembelajaran dan pemudahcaraan serta beberapa soalan lanjutan. Berlandaskan
perspektif responden, profesion keguruan dianggap profesional kerana , kerjaya
sebagai guru dianggap sebagai profesional kerana memberikan perkhidmatan yang
penting iaitu mendidik anak bangsa, memerlukan keupayaan intelek dalam
melaksanakan pembelajaran dan pemudahcaraan, memerlukan latihan khusus dalam
bidang perguruan dan mempunyai kod etika tersendiri. Berdasarkan temu bual yang telah saya
jalankan, terdapat beberapa peranan guru sebagai pemimpin profesional dalam
konteks pembelajaran dan pemudahcaraan dalam pelbagai aspek kepemimpinan yang
telah saya kemukan. Menurut Syed Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Subki Miskon
(2010), kepimpinan profesional dalam kalangan guru dapat diklasifikasikan
kepada empat iaitu perancangan, pengelolaan, pengarahan dan pengawalan. Dalam temu
bual yang telah dilaksanakan, responden telah menyatakan peranan responden sebagai
ketua panitia secara terperinci berdasarkan aspek-aspek kepemimpinan
profesional dalam konteks guru seperti yang telah saya nyatakan pada awal sesi
temu bual berlangsung.
Perancangan merupakan antara aspek
kepemimpinan profesional dalam konteks guru. Secara amnya, perancangan merujuk
kepada penentuan matlamat jangka panjang dan jangka pendek (Ragbir Kaur
Joginder Singh, 2013). Berdasarkan temu bual tersebut, peranan responden dari
aspek perancangan sebagai ketua panitia di sekolah tersebut adalah mengadakan
mesyuarat untuk panitia matematik. Dalam mesyuarat tersebut, perkara yang
dibincangkan oleh responden bersama dengan guru panitia matematik ialah
pembahagian tugas dari segi kurikulum. Responden juga menyatakan bahawa
pembahagian tugas tersebut dilakukan
secara adil untuk memastikan guru dalam panitia matematik dapat melaksanakan
tugas yang telah diberikan dengan efektif. Semasa mesyuarat juga, responden
bersama dengan guru panitia matematik berbincang berkenaan dengan penghasilan
rancangan pengajaran tahunan, rancangan pengajaran tahunan, rancangan
pengajaran mingguan dan rancangan pengajaran harian untuk membolehkan guru
panitia matematik melaksanakan proses pembelajaran dan pemudahcaraan dengan efektif
dan sistematik. Responden turut menyatakan bahawa panitia matematik turut
membincangkan berkenaan dengan aktiviti yang menjurus ke arah peningkatan
pencapaian murid dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran
Matematik seperti kelas tambahan dan bengkel menjawab soalan-soalan Matematik
UPSR untuk mendedahkan murid dengan format soalan Matematik UPSR untuk
meningkatkan pencapaian Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi mata pelajaran
tersebut. Hal ini adalah bertepatan dengan sasaran yang telah ditetapkan oleh
panitia matematik sekolah tersebut.
Aspek kepemimpinan profesional yang
seterusnya adalah pengelolaan. Berdasarkan konsep yang dikemukakan oleh Wong
Kiet Wah et al. (2018), pengelolaan merujuk kepada peningkatan penyempurnaan perancangan
untuk mencapai matlamat. Menurut responden, peranan responden dalam aspek
pengelolaan sebagai ketua panitia ialah mengelola pelbagai program berasaskan
akademik dan bukan berasaskan akademik untuk mengembangkan potensi murid dalam
pelbagai aspek. Perkara ini bertepatan dengan hasrat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan yang ingin melahirkan rakyat Malaysia yang seimbang dari aspek
jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (Noriati A. Rashid e tal., 2012). Dalam
konteks akademik, responden mengelolakan pelaksanaan kelas tambahan untuk murid
Tahun 6 untuk membolehkan mereka memahami kaedah menjawab soalan kertas
Matematik UPSR dengan mudah. Responden turut menyatakan bahawa pelaksanaan
kelas tambahan tersebut adalah untuk meningkatkan kefahaman murid terhadap
soalan aras tinggi yang telah mula diperkenalkan dalam UPSR bermula pada tahun
2016 (Raja Noraina Raja Rahim, 2018). Untuk aktiviti bukan berasaskan akademik
pula, responden bersama guru dalam panitia matematik menganjurkan kuiz
Matematik untuk memilih murid yang akan mewakili sekolah dalam pertandingan Kangroo Math Competetion. Responden juga
turut menyatakan bahawa beliau merupakan penyelaras dalam pengelolaan
pertandingan Kangroo Math Competetion tersebut.
Perkara ini adalah untuk memberi peluang kepada murid menyerlahkan potensi diri
masing-masing menerusi penglibatan dalam aktiviti kokurikulum. Menerusi pengelolaan aktiviti
sedemikian, kepimpinan seseorang guru dapat ditingkatkan.
Pengarahan merupakan salah satu aspek
kepimpinan profesional guru yang merujuk kepada cara memimpin melaksanakan
tugas dan mempengaruhi individu yang dipimpin untuk mendapatkan kerjasama
mereka bagi melaksanakan tugas (Omar Abdul Kareem dan Khuan Wai Bing, 2005). Dalam temu bual yang telah dilaksanakan,
responden menyatakan bahawa guru sentiasa menerima arahan daripada pihak atasan
signifikan dengan transformasi bidang pendidikan. Hal ini bertepatan dengan
Sufean Hussin (2004) yang menyatakan bahawa bidang pendidikan bersifat dinamik
mengikut perubahan semasa. Perubahan kurikulum yang berlaku menerusi
pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pada tahun 2011 telah
menyebabkan responden yang juga merupakan ketua panitia menghadiri kursus
pelaksanaan KSSR yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Responden sebagai ketua panitia juga menyampaikan input yang diperoleh semasa
kursus tersebut kepada guru matematik sekolah tersebut. Menerusi penyampaian
tersebut, guru panitia matematik di sekolah dapat meningkatkan kefahaman mereka
terhadap pelaksanaan proses pembelajaran dan pemudahcaraan berdasarkan KSSR.
Pengintegrasian elemen Pembelajaran abad
ke-21 kini kian diberi penekanan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sejajar
dengan transformasi yang berlaku dalam sistem pendidikan negara (Badrul Hisham Alang
Osman, 2016). Dalam
merealisasikan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengintegrasikan
pembelajaran abad ke-21, responden juga telah mengarahkan agar guru matematik
di sekolah tersebut melaksanakan proses pembelajaran dan pemudahcaraan yang
mengintegrasikan elemen pembelajaran abad ke-21 tersebut. Menurut responden juga,
penekanan yang diberikan oleh pembelajaran abad ke-21 adalah seperti peranan
guru sebagai fasilitator, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi,
pembelajaran berpusatkan murid dan juga pembelajaran kolaboratif. Hal ini
amatlah penting untuk memastikan penglibatan aktif murid semasa berlangsungnya
proses pembelajaran dan pemudahcaraan di dalam bilik darjah. Dalam hal ini,
responden telah mengikuti kursus berkenaan dengan pelaksanaan pembelajaran abad
ke-21 dalam proses pembelajaran dan pemudahcaraan. Untuk meningkatkan kefahaman
guru matematik terhadap pengintegrasian elemen pembelajaran abad ke-21
tersebut, responden sebagai ketua panitia mengadakan sesi perkongsian untuk
meningkatkan kefahaman guru matematik di sekolah berkenaan dengan kaedah
pengimplementasian elemen pembelajaran abad ke-21 dalam pembelajaran dan
pemudahcaraan. Oleh yang demikian, sesi perkongsian yang dilakukan oleh
responden membantu guru matematik yang lain untuk meningkatkan kefahaman mereka
terhadap elemen pembelajaran abad ke-21.
Selain
daripada mengarahkan guru matematik melaksanakan proses pembelajaran berasaskan
pembelajaran abad ke-21, responden turut mengarahkan guru matematik Tahap 1
untuk melaksanakan pentaksiran bilik darjah dalam pembelajaran dan
pemudahcaraan di dalam bilik darjah. Perkara ini selaras dengan arahan yang
dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang mana menyatakan bahawa
pelaksanaan pentaksiran bilik darjah dalam kalangan murid Tahap 1 bermula pada
tahun 2019. Menurut Luqman Arif Abdul Karim (2018), pentaksiran bilik darjah
telah mula dilaksanakan di sekolah rendah bagi murid Tahap 1. Tambah responden, pentaksiran
bilik darjah memerlukan peranan guru sepenuhnya dalam melaksanakan pentaksiran
terhadap murid. Murid yang dinilai secara berterusan dalam pelbagai bentuk
pentaksiran yang merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran dan
pemudahcaraan iaitu dari aspek penilaian merangkumi pengetahuan, kemahiran dan
nilai. Untuk memastikan perkara tersebut berjalan
dengan lancar, responden menyatakan bahawa beliau memberikan penerangan kepada
guru matematik untuk meningkatkan kefahaman mereka terhadap pelaksanaan
pentaksiran bilik darjah. Bagi memastikan perkara tersebut berlaku, responden
meminta guru matematik Tahap 1 di sekolah tersebut untuk menghantar laporan
pelaksanaan pentaksiran bilik darjah.
Aspek
kepemimpinan profesional yang selanjutnya adalah pengawalan iaitu proses untuk
menentukan dan menjamin agar kegiatan individu yang dipimpin terarah pada
pencapaian matlamat yang telah ditetapkan (Syed
Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Subki Miskon, 2010). Berdasarkan temu bual, responden menyatakan
bahawa dalam aspek pengawalan, responden yang juga ketua panitia melakukan
cerapan terhadap guru matematik untuk menilai prestasi pelaksanaan proses
pembelajaran dan pemudahcaraan guru tersebut. Menerusi cerapan yang dilakukan,
responden dapat membantu guru untuk melakukan penambahbaikan terhadap amalan
pedagogi guru tersebut ke arah merealisasikan aspirasi sistem pendidikan
negara. Hal ini sejajar dengan Zuraidah Abdullah et al. (2016) yang menyatakan
bahawa penyeliaan membantu meningkatkan kualiti amalan pedagogi guru. Untuk
meningkatkan kefahaman amalan pedagogi
yang berkesan, responden menyatakan bahawa beliau turut melaksanakan konsep
komuniti pembelajaran profesional yang mana responden berperanan sebagai mentor
kepada guru matematik yang lain. Dalam hal ini, responden menyatakan bahawa
antara strategi komuniti pembelajaran profesional yang beliau laksanakan adalah
bimbingan rakan guru, pembelajaran rancangan pengajaran harian dan sesi
perkongsian guru. Perkara tersebut amat penting untuk meningkatkan kefahaman
guru terhadap pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan pemudahcaraan yang
berkesan.
Secara holistik, terdapat pelbagai peranan
guru sebagai pemimpin profesional dalam pelbagai aspek pembelajaran dan
pemudahcaraan berdasarkan temu bual yang telah dijalankan. Berdasarkan
pernyataan tersebut, peranan guru sebagai pemimpin profesional dalam pelbagai
aspek pembelajaran dan pemudahcaraan dapat diklasifikasikan kepada perancangan,
pengelolaan, pengarahan dan pengawalan. Aspek-aspek tersebut memainkan peranan
yang fundamental dalam konteks guru sebagai pemimpin yang profesional. Perkara tersebut amatlah penting kerana
keberkesanan proses pembelajaran dan pemudahcaraan bergantung kepada kepimpinan
yang dimiliki oleh guru.
terbaik
BalasPadam