Konsep Akhlak Pelajar Menurut Islam dan Pengaplikasian Dalam Sistem Pendidikan di Malaysia


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Perkataan akhlak adalah kata jamak dari khuluq yang membawa maksud peri laku, perangai atau tabiat. Menurut Mardzelah Makhsin (2003), akhlak merupakan suatu sifat yang tertanam dalam diri yang mana dapat mezahirkan sesuatu perbuatan dengan mudah tanpa pemikiran, penelitian dan paksaan. Dalam erti kata yang lain, akhlak merupakan sebarang bentuk perbuatan yang dizahirkan oleh seseorang individu tanpa perlu membuat pertimbangan terlebih dahulu. Safee Zakaria dan Mohd Zin Dalid (2007) menyatakan bahawa akhlak merupakan suatu keadaan atau sifat yang ada di dalam diri atau jiwa manusia yang telah tetap, sehingga dengan mudah melahirkan perlakuan atau perilaku yang baik atau buruk tanpa difikir atau dirancang terlebih dahulu. Akhlak juga dapat takrifkan sebagai sebarang bentuk perlakuan yang tidak memerlukan daya pemikiran dalam melakukan sesuatu. Akhlak dalam Islam adalah universal iaitu merangkumi suatu konteks yang agak luas. Salah satu daripada konteks tersebut ialah dalam menuntut ilmu pengetahuan yang mana perlu diamalkan oleh para pelajar (Ramlan Ahmad dan Nor Aishah Raduan, 2002).. Oleh yang demikian, akhlak yang baik dalam menuntut ilmu seharusnya diaplikasikan oleh murid untuk membentuk modal insan yang seimbang dalam pelbagai aspek sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 

Antara akhlak pelajar menurut Islam dalam menuntut ilmu pengetahuan ialah seseorang pelajar itu seharusnya menghormati guru. Berdasarkan takrifan yang diberikan oleh Haron Din (2007), guru merupakan individu yang bertanggungjawab dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada setiap pelajar. Disebabkan peranan guru sebagai penyampai ilmu pengetahuan, agama Islam telah memandang tinggi akan darjat seorang guru kerana mereka merupakan tunjang pembangunan ummah. Menjadi kewajipan untuk pelajar menghormati dan mematuhi arahan guru selagi mana tidak menyalahi syariat Islam. Berdasarkan pernyataan tersebut, menghormati guru amatah ditekankan dalam agama Islam. Menurut Islam, setiap pelajar seharusnya menghormati guru dan memuliakan seperti mana ibu bapa ketika pelajar berada di sekolah. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Mujaadalah ayat ke-11 iaitu;
Maksudnya: “Supaya Allah  meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat”. (Surah Al-Mujaadalah ayat 11)

         Pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh pelajar bagi menunjukkan rasa hormat mereka terhadap guru seperti memberi sepenuhnya perhatian semasa guru melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Menghormati guru merupakan akhlak yang penting kepada pelajar agar ilmu yang pelajar peroleh daripada guru tersebut mendapat keberkatan. Konklusinya, pelajar seharusnya menghormati guru kerana perkara tersebut merupakan salah satu akhlak yang ditekankan oleh Islam.

            Akhlak pelajar seterusnya yang ditekankan oleh agama Islam dalam menuntut ilmu ialah bekerjasama antara satu lain dalam proses menuntut ilmu. Dalam hal ini, pelajar seharusnya membantu rakan-rakan mereka yang menghadapi masalah dalam memahami isi pembelajaran yang guru sampaikan ketika berlangsungnya proses pengajaran dan pembelajaran. Agama Islam mewajibkan setiap penganutnya menyampaikan segala ilmu yang bermanfaat kepada individu yang lain. Hal ini demikian kerana, ilmu yang bermanfaat merupakan salah satu bekalan yang akan membantu muslim ketika berada di alam barzakh. Budaya perkongsian ilmu tersebut amat diberi penekanan oleh agama Islam menerusi sabda Rasulullah SAW seperti yang berikut:

 
 Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat".

       Pengaplikasian akhlak tersebut dalam konteks sistem pendidikan di Malaysia dapat dilihat menerusi pembelajaran secara koperatif dan kolaboratif yang mengalakkan budaya perkongsian ilmu signifikan dengan pembelajaran abad ke-21. Intihanya, akhlak pelajar seterusnya yang ditekankan oleh agama Islam ialah bekerjasama antara satu lain dalam proses menuntut ilmu kerana budaya berkongsi ilmu amat diberi perhatian dalam agama Islam.
Akhlak pelajar berikutnya yang ditekankan oleh agama Islam dalam menuntut ilmu ialah rajin menolong guru ketika guru memerlukan bantuan. Murid seharusnya bersedia menawarkan pertolongan sekiranya guru memerlukan pertolongan tersebut tanpa perlu diarahkan ketika guru melaksanakan tugas. Pada masa ini, tugas guru tidak lagi terhad sebagai tenaga pengajar sahaja, akan tetapi guru mempunyai pelbagai tugas dalam bidang yang lain. Seorang murid seharusnya meringankan beban guru dalam menyelesaikan tugasan. Amalan tolong-menolong ini amat diberi perhatian oleh Islam seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat ke-2.

Maksudnya: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya”. (Surah al-Maidah, ayat 2)

          Dalam sistem pendidikan negara kita, pengaplikasian akhlak rajin membantu guru dapat dilihat apabila wujudnya beberapa jawatan yang disandang oleh beberapa orang murid di sekolah untuk memudahkan guru melaksanakan tugasnya dengan lebih efektif. Sebagai tamsilan, jawatan pengawas sekolah yang diwujudkan oleh pihak sekolah bertujuan untuk membantu guru membendung masalah disiplin pelajar. Demikian juga dengan beberapa jawatan lain yang terdapat di sekolah seperti pengawas pusat sumber yang bertugas untuk membantu guru dalam menguruskan pusat sumber sekolah. Kesemua jawatan yang diwujudkan di sekolah tersebut bertujuan untuk membantu guru dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Konklusinya, menolong guru merupakan salah satu akhlak menuntut ilmu yang diberi perhatian oleh sistem akhlak Islam yang memandang tinggi martabat seorang guru.

            Secara holistik, terdapat pelbagai jenis akhlak dalam menuntut ilmu yang perlu dipatuhi oleh pelajar. Antara akhlak tersebut termasuklah menghormati guru, berkongsi ilmu bersama dengan rakan, membantu guru yang mengenang jasa guru. Akhlak dalam menuntut ilmu ini amat penting untuk diamalkan oleh pelajar untuk mendapat keberkatan ilmu. Disebabkan kepentingan akhlak, sistem pendidikan negara mula memberi fokus terhadap melahirkan murid yang berakhlak mulia. Perkara ini dapat dilihat menerusi beberapa elemen pengaplikasian akhlak pelajat dalam konteks sistem pendidikan. Oleh yang demikian, pelajar seharusnya mengamalkan akhlak yang terpuji dalam menuntut ilmu.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Binaan Plot