Proses Pembudayaan dalam Hidup Masyarakat Malaysia
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Proses pembudayaan merupakan proses yang
menunjukkan bagaimana sesuatu budaya meresap dalam sesuatu kelompok masyarakat.
Pada dasarnya, proses pembudayaan dalam kalangan masyarakat Malaysia telah
berlaku sejak dahulu lagi. Proses pembudayaan ini berlaku menerusi interaksi
antara satu kelompok masyarakat dengan masyarakat yang lain. Secara amnya,
proses pembudayaan dalam hidup masyarakat Malaysia dapat dibahagikan kepada
lima jenis iaitu asimilasi, akulturasi, akomodasi, amalgamasi dan segresi.
Proses ini menyebabkan wujudnya kepelbagaian budaya dalam kalangan masyarakat
majmuk di negara ini.
(i) Asimilasi
Asimilasi merupakan proses apabila kumpulan
minoriti kehilangan identiti kumpulannya dan diserap oleh kumpulan yang dominan
dari segi kebudayaan dan sosial (Mansor, Abdul Rahman dan Mohamad Ainudin,
2007). Terdapat dua jenis asimilasi iaitu asimilasi budaya dan asimilasi
struktur. Asimilasi budaya ialah proses di mana kumpulan minoriti mempelajari
ciri-ciri kebudayaan masyarakat setempat untuk diamalkan dalam kehidupan
seharian. Contohnya, cara berpakaian, bahasa dan adat resam. Hal ini tidak
bermakna kumpulan minoriti akan kehilangan identiti etniknya. Asimilasi
struktur pula merupakan proses di mana kumpulan minoriti berjaya menyertai
institusi utama dan aktiviti sosial dalam masyarakat dominan. Konsep asimilasi
ini diwakili formula A + B + C = A. Dalam konteks Malaysia, proses asmiliasi
dapat dilihat menerusi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi
harian. Hal ini demikian kerana, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan di
negara ini.
(ii) Akulturasi
Akulturasi ialah satu proses di mana berlaku
perubahan dan pinjam-meminjam unsur kebudayaan (Mardianah dan Hasnah, 2003).
Ahli daripada pelbagai kumpulan perlu berkongsi pola kebudayaan. Contohnya,
menggunakan bahasa yang sama supaya integrasi sosial tidak diganggu oleh
perbezaan dan sempadan kumpulan. Berbeza dengan proses asimilasi, proses
akulturasi tidak menyebabkan masyarakat kehilangan identiti asal masyarakat
penerima. Konsep asimilasi ini diwakili formula A + B = AB. Dalam sejarah
tamadun manusia, sering berlaku pertemuan atau pertembungan antara dua atau
lebih kebudayaan. Proses ini menyebabkan berlakunya proses pinjam meminjam.
Pada peringkat awal, unsur pinjaman digunakan secara langsung dan kemudian
diolah serta dijadikan usur kebudayaan sendiri. Di Malaysia, beberapa kes boleh
dijadikan rujukan seperti penggunaan tali leher, angpau, makanan, hiburan dan sebagainya.
(iii) Akomodasi
Akomodasi merupakan proses yang menyebabkan
setiap kumpulan etnik menyedari serta menghormati norma dan nilai kumpulan
etnik lain dan tetap mempertahankan budaya hidup masing-masing (Syamsul Amri,
2007). Konsep ini diwakili oleh formula A + B + C = A + B +C. A, B dan C di
sini merujuk kepada budaya. Pelbagai kumpulan etnik hidup secara harmonis dan
menghormati antara satu sama lain. Pada peringkat pemerintahan pusat, setiap
kumpulan etnik mempunyai wakil dalam bidang ekonomi dan pendidikan serta mereka
juga saling bergantung. Konsep ini begitu meluas diamalkan di Malaysia kerana
setiap kumpulan etnik bebas mengamalkan budaya mereka dalam keadaan harmoni.
Dalam hal ini, masyarakat majmuk di Malaysia masih bebas mengamalkan budaya
mereka. Ini kerana, rakyat di negara ini mempunyai perasaan hormat-menghormati
antara satu dengan lain meskipun mempunyai perbezaan latar belakang.
(iv) Amalgasi
Amalgamasi merupakan satu proses yang
terjadi apabila budaya atau ras bercampur untuk membentuk jenis budaya dan ras
baru (Syamsul Amri, 2007). Cara utama dalam menentukan proses amalgamasi adalah
dengan terjadinya perkahwinan campur antara kumpulan etnik. Teori
amalgamasi dinyatakan dalam bentuk formula A+B+C=D, disini A,B, dan C mewakili
kumpulan etnik berlainan dan D mewakili amalgamasi iaitu satu kumpulan baru
yang terhasil daripada penyatuan A,B dan C. Sebagai contoh, kumpulan-kumpulan
etnik yang sedia wujud mengamalkan parkahwinan campur lalu membentuk satu
genarasi baru atau budaya baru tanpa menuruti budaya asal mereka. Dalam konteks
Malaysia, amalgamasi dapat dilihat menerusi kewujudan masyarakat Baba dan
Nyonya yang terhasil daripada perkahwinan campur masyarakat Melayu dengan
masyarakat Cina.
(v) Segresi
Segregasi merupakan pengasingan atau penyatuan antara satu kumpulan
etnik dengan satu kumpulan etnik yang lain. Pengasingan tersebut berlaku atas
dasar agama, ras, kebudayaan dan ciri-ciri lain. Pengasingan tersebut berlaku
dalam beberapa kaedaan iaitu tempat tinggal, jenis pekerjaan, sistem
persekolahan dan penerbitan akhbar. Contohnya, pemisahan Sekolah Kebangsaan
(SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil
(SJKT). Dalam hal ini, kewujudan sistem pendidikan vernakular telah menyebabkan
kaum-kaum utama di Malaysia dipisahkan mengikut kelompok etnik masing-masing.
Proses pembudayaan tersebut mencerminkan
bagaimana kumpulan minoriti menjadi sebahagian daripada arus utama masyarakat.
Perkara tersebut juga menggambarkan integrasi dan semangat perpaduan yang utuh
dalam kalangan rakyat Malaysia meskipun mempunyai kepelbagaian budaya. Dengan
adanya akomodasi di dalam masyarakat, sudah dapat mencerminkan bahawa
masyarakat adalah dalam keadaan bersatu padu. Namun demikian, keadaan integrasi
yang sebenar hanya dapat dicapai bermula dengan berlakunya proses akulturasi,
asimilasi dan akhirnya mengalami amalgamasi.
Ulasan
Catat Ulasan