Pengenalan kepada Semantik

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2009), semantik merupakan kajian bahasa berkenaan dengan aspek makna dalam kata dan ayat. Aspek yang diberi penekanan oleh bidang semantik ialah bentuk linguistik dan hubungannya dengan rujukan. Semantik juga merujuk kepada aspek makna bahasa. Sejak dahulu lagi, ahli-ahli falsafah memperkatakan tentang makna dalam bahasa. Kini, penutur bahasa dapat memahami ujaran dan menghasilkan pelbagai bentuk kata yang bermakna kepada penutur yang lain. Untuk memahami sesuatu bahasa, pengetahuan berkenaan dengan makna kata dan morfem yang membentuknya serta cara makna kata bergabung menjadi frasa adalah penting. Setelah memahami aspek makna kata dan morfem serta hubungannya dengan frasa, penginterpretasian makna ujaran berdasarkan konteks ayat yang diujarkan adalah perlu untuk memastikan seseorang individu dapat memahami makna ujaran dengan lebih tepat.
Abdul Chaer (1994) menyatakan bahawa semantik menghubungkan makna kalimat dengan wacana atau teks. Aspek semantik dikatakan bersifat gramatis sekiranya mematuhi peraturan dalam menganalisis ayat. Analisis semantik memberikan penjelasan dari segi linguistik yang bersifat formal dan tetap. Bidang semantik berbeza daripada sintaksis kerana sintaksis merupakan bidang linguistik yang memberi fokus terhadap kajian struktur bahasa dan bukannya makna bahasa tersebut. Bidang linguistik yang berhubungan dengan semantik ialah pragmatik. Pragmatik ialah bidang bahasa yang mengkaji berkenaan dengan penggunaan dan penginterpretasian ujaran berdasarkan konteks yang sesuai.
Semantik merupakan sebahagian daripada bidang linguistik sama seperti morfologi dan sintaksis. Kajian berkenaan dengan bidang semantik memerlukan data konkrit sama seperti bidang morfologi dan sintaksis. Secara tradisional, semantik melibatkan analisis denotatif dan konotatif yang mempunyai perkaitan dengan ayat. Analisis denotatif menganalisis ayat berdasarkan makna leksikal iaitu makna tersurat ayat tersebut. Berbeza dengan analisis konotatif yang menganalisis makna ayat secara tersurat. Sebagai salah satu komponen unit makna, semantik boleh diperluaskan bagi memperlihat makna pada tahap yang lebih tinggi iaitu wacana.
Semantik merupakan bidang kajian tentang aspek makna dalam bidang linguistik. Semantik sebahagian daripada bidang tatabahasa secara khusus iaitu merujuk kepada kajian yang melibatkan struktur dalam sesuatu bahasa seperti aspek kajian fonetik dan fonologi, morfologi dan sintaksis. Semantik merupakan komponen bahasa yang sukar difahami kerana berkaitan denga perkara abstrak yang memerlukan tahap taakulan yang tinggi. Oleh sebab itu, sehingga kini suatu teori makna dalam bidang linguistik yang bersifat autoritatif serta menyeluruh belum dapat diketengahkan secara mantap.
Semantik ialah kajian tentang makna yang diaplikasikan pada aspek makna ayat dari segi bentuk logiknya. Sperber dan Wilson (1980) yang memperkenalkan semantik Semantik Sistem Penuh berpendapat bahawa pada hakikatnya konsep semantik tidak dapat menerbitkan makna sebenar sesuatu ujaran kerana mengabaikan konteks dan kontekstualiti. Hal ini demikian kerana, semantik memberi penekanan terhadap bentuk logik yang membentuk sebahagian daripada tatabahasa sesuatu bahasa. Dalam erti kata yang lain, semantik mengkaji pemaknaan pada peringkat linguistik tulen iaitu memberi fokus terhadap peringkat tatabahasa dan nahu bentuk logik sahaja.
Stalnaker (1972) menyatakan bahawa sintaksis mengkaji ayat, manakala semantik mengkaji preposisi. Dalam hal ini, semantik memperjelas peraturan untuk menyesuaikan ayat dalam bahasa dengan preposisi yang diujarkan. Dalam kebanyakan situasi, peraturan tersebut sebenarnya tidak mendapat penyesuaian ayat secara terus dengan preposisi. Sebaliknya, penyesuaian ayat dengan preposisi berkaitan dengan konteks ayat tersebut digunakan.
Akmajian et al. (1995) pula menyatakan bahawa dalam bidang linguistik, semantik ialah kajian tentang makna dalam bahasa. Semantik berkaitan dengan kajian tentang unit linguistik dan prinsip gabungannya. Dalam bidang logik, semantik dianggap sebagai kajian tentang rujukan linguistik atau denotasi dan syarat kebenaran. Kajian semantik bermula pada aras kata atau pada aras yang lebih tinggi iaitu kalimat yang terbina daripada frasa dan ayat. Maklumat semantik merupakan bahagian penting dalam tatabahasa kerana tatabahasa digunakan untuk menghuraikan sesuatu bahasa.
Secara kesimpulan, semantik merupakan kajian linguistik yang menganalisis makna pada peringkat morfem, kata, frasa, ayat dan wacana serta hubungannya dengan idea, konsep dan emosi. Makna yang didefinisikan sebagai maksud, idea atau konsep yang boleh dipindahkan daripada fikiran penutur kepada fikiran pendengar. Semantik atau makna merupakan situasi yang mana penutur menujar kata dan mendapat respon yang dijangkakan daripada pendengar. Makna ujaran atau ayat bukan ditentukan oleh makna leksikal sahaja, tetapi juga turut ditentukan oleh faktor suprasegmental yang lain. Oleh yang demikian, semantik ialah bahagian daripada struktur bahasa yang berkaitan dengan makna ayat dari segi logiknya khususnya pada peringkat tatabahasa dan nahu bentuk logik. 

Ulasan

  1. Perkongsian sangat memberi manfaat. Tk kepada penulis atas sumbangan artikel ini

    BalasPadam
  2. Perkongsian yang bermanfaat dan sarat dengan maklumat mengenai semantik. Terima kasih :)

    BalasPadam
  3. Terima kasih atas perkongsiaan

    BalasPadam
  4. Terima kasih atas perkongsian

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran