Peranan Dasar Kebudayaan Kebangsaan


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Pembinaan negara bangsa merupakan asas dalam usaha negara untuk mencapai status negara maju signifikan dengan fokus utama Transformasi Nasional 2050 yang menekankan aspek identiti nasional yang kukuh dan utuh. Berdasarkan definisi yang diberikan oleh Mohd Ashraf Ibrahim et al. (2015), pembinaan negara bangsa merujuk kepada pembentukan berasaskan kepada proses penyatuan bangsa serta diperkuatkan lagi dengan persempadanan wilayah tertentu sebagai identiti yang mana penduduk sesebuah negara tersebut adalah multietnik. Menerusi konsep tersebut, sesebuah negara akan menjadi lebih utuh dengan mentaliti dan kesepaduan yang terdapat dalam diri penduduk negara tersebut. Perkara tersebut bertepatan dalam konteks negara Malaysia kerana negara tersebut mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum. Dalam usaha untuk mewujudkan identiti nasional yang relevan dengan konsep negara bangsa, semua pihak yang menjadi entiti penting dalam konteks negara Malaysia perlu memainkan peranan masing-masing. Hal ini adalah perlu agar semangat perpaduan dalam kalangan rakyat dapat dipertingkatkan kerana perkara tersebut amatlah penting ke arah mewujudkan masyarakat Malaysia yang hidup dalam keadaan yang harmoni. Signifikan dengan perkara tersebut, proses pembentukan kebudayaan nasional adalah penting untuk mewujudkan identiti nasional bagi negara Malaysia yang mempunyai masyarakat bersifat multietnik.
Peranan utama kebudayaan kebangsaan seperti mana yang ditekankan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan ialah mewujudkan satu identiti nasional bagi masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia. Dalam hal ini, kebudayaan kebangsaan memainkan peranan yang penting untuk mewujudkan identiti negara Malaysia pada peringkat antarabangsa. Dengan wujudnya identiti nasional, semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat di negara ini dapat diwujudkan menerusi perkongsian satu identiti berasaskan Malaysia yang sama. Semangat nasionalisme memainkan peranan penting ke arah pembentukan jati diri rakyat Malaysia. Menurut P. Sivarajan et al. (2015), identiti nasional merujuk kepada satu lambang kepada sesuatu penduduk di sesebuah negara untuk membezakan penduduk di negara tersebut dengan negara yang lain. Dalam konteks negara Malaysia, identiti nasional yang diwujudkan menerusi Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah fundamental untuk mewujudkan satu identiti Malaysia dalam kalangan masyarakat global. Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang telah diperkenalkan adalah berteraskan kepada kebudayaan Melayu dan mengintegrasikan elemen kebudayaan masyarakat lain yang terdapat dalam negara untuk mewujudkan satu kebudayaan nasional yang dikongsi oleh rakyat di negara ini sebagai identiti nasional yang melambangkan Malaysia. Ini dapat dibuktikan menerusi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi persekutuan. Deduksinya, kebudayaan kebangsaan memainkan peranan penting untuk mewujudkan satu identiti nasional masyarakat Malaysia pada peringkat global berteraskan kebudayaan Melayu dan mengintegrasikan kebudayaan kaum lain dalam usaha mewujudkan semangat nasionalisme.
Dasar Kebudayaan Kebangsaan juga memainkan peranan dalam usaha untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Zaid Ahmad (2006) menyatakan bahawa perpaduan kaum merupakan penyatuan masyarakat pelbagai kaum yang dapat diwujudkan menerusi ideologi negara. Menurut A. Aziz Deraman (2001), perpaduan kaum amatlah penting dalam konteks negara multietnik seperti Malaysia. Berdasarkan pernyataan tersebut, perpaduan yang wujud dalam kalangan rakyat akan menjadikan negara berada dalam keadaan aman dan tenteram untuk membolehkan kerajaan merancang dan melaksanakan program pembangunan dengan lancar untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang telah diperkenalkan oleh kerajaan adalah bertujuan untuk mengukuhkan perpaduan melalui kebudayaan nasional yang dipersetujui oleh semua kaum yang terdapat dalam negara. Dalam hal ini, kebudayaan kebangsaan yang terkandung dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan digubal berdasarkan persetujuan wakil setiap kaum dengan mengambil kira unsur-unsur kebudayaan kaum lain meskipun kebudayaan Melayu menjadi tunjang dalam pembentukan dasar tersebut. Perkara ini dapat dilihat menerusi perarakan Citrawarna Malaysia pada tahun 2011 yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan yang memaparkan keunikan kebudayaan masyarakat multietnik yang terdapat di Malaysia. Intihanya, kebudayaan kebangsaan memainkan peranan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum menerusi kewujudan satu budaya kebangsaan yang dipersetujui oleh setiap kaum.
Peranan kebudayaan kebangsaan seperti yang ditekankan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah untuk meningkatkan taraf dan mutu kesenian. Perkara tersebut secara tidak langsung menjadi identiti yang melambangkan elemen kesenian masyarakat multietnik yang terdapat dalam Malaysia. Secara amnya, elemen kesenian dalam kalangan masyarakat majmuk dalam konteks negara ini dapat dibahagikan kepada beberapa subkategori iaitu seni persembahan, seni tampak dan seni muzik (Husin Fateh Din dan Nazariyah Sani, 2014). Peningkatan taraf dan mutu kesenian adalah amat penting untuk memastikan kesinambungan elemen kesenian sebagai salah satu entiti yang menjadi simbol terhadap imej negara. Menurut Aslina Abu Bakar (2019), pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan merupakan mekanisme yang mampu mengangkat imej Malaysia pada peringkat global menerusi peningkatan mutu kesenian. Dalam strategi pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, pihak kerajaan telah memberi peruntukan kepada organisasi yang terlibat dalam memperkasa seni dan warisan kebudayaan yang terdapat di Malaysia. Dalam hal ini, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berperanan sebagai organisasi utama dalam pelaksanaan matlamat dan strategi Dasar Kebudayaan Kebangsaan melalui penyelidikan, pembangunan dan penggalakan, pendidikan dan pengembangan kesenian serta perhubungan ke arah kemajuan kebudayaan kebangsaan. Sebagai tamsilan, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara telah menganjurkan Festival Antarabangsa Kesenian Orang Asli dan Peribumi 2016, Festival Gendang Melayu Sarawak, Pesta Air Chenor Pahang dan sebagainya untuk mengangkat martabat kesenian yang terdapat di Malaysia (Amirul Aiman Anuar, 2016). Konklusinya, Dasar Kebudayaan Kebangsaan berperanan penting ke arah mewujudkan satu elemen kesenian yang menjadi identiti Malaysia di mata dunia.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran