Kebudayaan Melayu sebagai Tunjang Kebudayaan Kebangsaan


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Menurut Husin Fateh Din dan Nazariyah Nazir (2014), kebudayaan Melayu merupakan teras terhadap kebudayaan kebangsaan seperti mana yang digariskan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Kebudayaan Melayu yang dipersetujui sebagai teras kebudayaan kebangsaan dapat dikatakan sebagai suatu bentuk yang agak liberal (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Perubahan dalam kebudayaan ini membuka ruang kepada elemen-elemen kebudayaan sukuan dan kaum lain. Usaha untuk mengetengahkan dasar kebudayaan di Malaysia terbit daripada perkembangan sejarah sehingga terbentuknya negara Malaysia. Oleh yang demikian, Dasar Kebudayaan Kebangsaan telah digubal untuk memupuk semangat perpaduan dan semangat kesetiaan serta menyatukan masyarakat multietnik. Satu ketetapan telah dibuat bagi mengenal pasti kebudayaan yang dapat diterima oleh semua rakyat. Justeru itu, kebudayaan Melayu telah dipilih sebagai teras kebudayaan Malaysia kerana orang Melayu merupakan masyarakat asal yang menduduki rantau ini. Tambahan pula, kebudayaan Melayu dapat menerima kebudayaan luar yang sesuai dan tidak bercanggah dengan lunas-lunas tertentu yang menjadi anutan orang Melayu. Hal ini demikian kerana orang Melayu menganut agama Islam dan oleh itu kebudayaan lain yang diterapkan itu hendaklah tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Elemen kebudayaan Melayu yang menjadi teras dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan dapat dilihat menerusi sistem pemerintahan yang diamalkan oleh negara Malaysia. Menurut Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman et al. (2009), masyarakat Melayu telah mengamalkan sistem pemerintahan beraja sejak zaman sebelum kedatangan Islam. Institusi raja ini telah dipengaruhi oleh tradisi Hindu-Buddha yang dikenali sebagai konsep dewa-raja. Kedatangan Islam telah mengubah kedudukan dan corak institusi raja di Tanah Melayu. Golongan raja telah mula menitikberatkan konsep-konsep Islam. Misalnya, istilah bagi sultan, Zillullah fil-alam dan Zillullah fil-ardh yang bermakna bayangan Allah di muka bumi telah mula digunakan. Konsep ini menjadi teras institusi raja dan memberikan suatu pengesahan berlandaskan Islam terhadap kewibawaan seorang raja tersebut. Berdasarkan pernyataan tersebut, sistem pemerintahan beraja telah menjadi amalan masyarakat Melayu pada suatu ketika dahulu dan berkekalan sehingga kini. Peranan raja dalam sistem pemerintahan tersebut adalah untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan menjaga kepentingan kepentingan sah kaum-kaum lain. Dalam hal ini, sistem pemerintahan beraja merupakan salah satu unsur kebudayaan Melayu dalam konteks bidang politik. Berlandaskan ruang lingkup kebudayaan kebangsaan, sistem  beraja merupakan salah satu identiti nasional yang diamalkan dalam sistem pemerintahan negara menerusi konsep raja berperlembagaan. Jelaslah, pengamalan konsep raja berperlembagaan  dalam sistem pemerintahan negara adalah salah satu bukti bahawa elemen kebudayaan Melayu yang menjadi teras dalam penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Bahasa Melayu yang berperanan sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia juga merupakan unsur kebudayaan Melayu yang terkandung dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Dalam hal ini, bahasa Melayu merupakan salah satu identiti nasional yang melambangkan Malaysia. Pernyataan tersebut signifikan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi di negara ini (Mohd Ashraf Ibrahim et al., 2017). Pemilihan bahasa Melayu sebagai salah satu identiti nasional seperti mana yang telah ditetapkan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah relevan dalam konteks negara Malaysia. Hal ini demikian kerana, bahasa Melayu merupakan bahasa komunikasi dikuasai oleh majoriti rakyat di negara ini. Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi yang penting di Alam Melayu telah terbukti berdasarkan fakta sejarah yang telah dikemukakan. Menurut Ahmad Fawzi Mohd Basri et al. (2006), bahasa Melayu berperanan sebagai lingua franca pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang bersifat dinamik dan menerima pengaruh daripada pelbagai bahasa seperti bahasa Arab, Cina, Tamil, Inggeris dan sebagainya. Kedinamikan bahasa Melayu tersebut secara tidak langsung mengangkat bahasa Melayu ini sebagai bahasa nasional yang diterima oleh masyarakat umum. Tuntasnya, bahasa Melayu sebagai tunjang kebudayaan kebangsaan adalah amat penting untuk mewujudkan perpaduan yang erat dalam kalangan masyarakat multietnik di Malaysia.

Dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan, unsur seni tampak yang juga merupakan salah satu komponen kebudayaan Melayu turut diketengahkan. Hal ini demikian kerana, Dasar Kebudayaan Kebangsaan memberi fokus terhadap aktiviti meninggikan taraf dan mutu kesenian (Husin Fateh Din dan Nazariyah Nasir, 2014). Secara amnya, terdapat pelbagai unsur seni tampak masyarakat Melayu. Namun demikian, seni tampak masyarakat Melayu yang dilihat menjadi tunjang dalam kebudayaan kebangsaan ialah batik. Menurut Batik merupakan seni tekstil yang dipopularkan sejak abad ke-15 dan diperkenalkan di Malaysia di negeri Kelantan sejak tahun 1910. Motif batik di Malaysia pada ketika itu dipengaruhi oleh unsur alam sekitar dan mengalami evolusi mengikut peredaran semasa. Signifikan dengan usaha kerajaan untuk menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini, batik Malaysia telah dimartabatkan sebagai pakaian kebangsaan yang menjadi identiti nasional Malaysia. Untuk menjadikan batik sebagai salah satu pakaian kebangsaan, pihak kerajaan melaksanakan perkara tersebut dengan menyediakan pereka tempatan bagi mencipta reka bentuk batik baru yang mencerminkan identiti Malaysia. Sebagai contoh, kerajaan telah mewajibkan semua penjawat awam untuk memakai baju batik pada hari Khamis tanpa mengira kaum atau etnik. Dalam pada itu, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (2019) menyatakan bahawa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menganjurkan Batik Fest untuk mempromosikan produk batik sebagai pakaian pilihan rakyat Malaysia serta warisan negara yang membanggakan. Konklusinya, seni batik merupakan salah satu elemen kebudayaan Melayu yang menjadi tunjang dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Secara kesimpulan, terdapat beberapa elemen kebudayaan Melayu dalam pelbagai bidang menjadi tunjuang dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan. Perkara ini bertepatan dengan prinsip Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal Kepulauan Melayu. Pemilihan kebudayaan Melayu sebagai tunjang kebudayaan Kebangsaan adalah relevan dalam konteks Malaysia. Hal ini demikian kerana, budaya Melayu adalah satu budaya yang bersifat universal dan sesuai untuk diamalkan oleh masyarakat yang lain.  Dalam hal ini, budaya Melayu juga boleh menerima unsur-unsur kebudayaan kaum yang lain. Dari segi demografi juga, kaum Melayu merupakan kaum tersebar di Malaysia berdasarkan data statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan. Pemilihan kebudayaan Melayu sebagai tunjang dalam kebudayaan kebangsaan amatlah perlu untuk mewujudkan satu kebudayaan bersifat nasional yang diterima oleh masyarakat multietnik. Kebudayaan Melayu telah berasimilasi dalam kehidupan rakyat di negara ini. Kepentingan wujudnya kebudayaan kebangsaan yang bertunjangkan kebudayaan Melayu adalah untuk mewujudkan satu identiti nasional dan menyemai semangat perpaduan kaum dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini signifikan dengan matlamat penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang telah diperkenalkan pada 1971 rentetan daripada peristiwa rusuhan kaum.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran