Hala Tuju Sistem Pendidikan Negara

 Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Menurut Sufean Hussin (2004), bidang pendidikan sentiasa mengalami transformasi signifikan dengan keperluan arus globalisasi. Transformasi tersebut membawa kepada perubahan dalam dasar dan hala tuju bidang pendidikan.  Dalam konteks sistem pendidikan Malaysia, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menetapkan hala tuju sistem pendidikan negara berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Perkara dapat dilihat menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang dilihat sebagai satu perancangan yang sistematik ke arah meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara. Secara amnya, terdapat beberapa hala tuju yang difokuskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).Hala tuju sistem pendidikan Malaysia seperti yang digariskan dalam  Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa. Dalam hal ini, KPM telah melakukan penambahbaikan terhadap pelaksanaan kurikulum pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Hal ini dapat dibuktikan menerusi pelaksanaan semakan semula Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah pada tahun 2017 untuk memastikan kurikulum di negara sejajar dengan kurikulum pendidikan di negara maju. Pihak KPM juga turut menambah baik aspek penilaian dan pentaksiran menerusi pengintegrasian elemen kemahiran berfikir aras tinggi menjelang tahun 2016. Keupayaan kemahiran membaca, matematik dan sains juga ditanda aras mengikut standard pentaksiran antarabangsa seperti Trend in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Students Assessment (PISA). Intihanya, meningkatkan kualiti sistem pendidikan sejajar dengan standard pendidikan antarabangsa merupakan salah satu hala tuju pendidikan negara.

Signifikan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi persekutuan dan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) telah menetapkan agar setiap murid profesion dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Pada peringkat pendidikan rendah, KPM telah memperkenalkan Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang meliputi literasi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Selain daripada LINUS, dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) juga diperkenalkan. Secara umum, MBMMBI memberi fokus terhadap usaha memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris bagi melahirkan masyarakat yang mampu berkomunikasi dengan berkesan. Disebabkan oleh penguasaan bahasa Inggeris masih rendah, KPM telah memperkenalkan kurikulum bahasa Inggeris yang baharu iaitu Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) dan High Immersive Programme (HIP). Deduksinya, hala tuju sistem pendidikan negara adalah untuk memastikan profesion dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Penghayatan nilai dalam kalangan rakyat amatlah penting bagi negara multietnik seperti Malaysia. Sejajar dengan pernyataan tersebut, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) telah menetapkan hala tuju sistem pendidikan negara untuk melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai. Untuk merealisasikan hasrat tersebut, pihak KPM telah memperkukuh Pendidikan Sivik dengan menjadikan perkhidmatan komuniti sebagai prasyarat untuk tamat persekolahan menjelang tahun 2017. Dalam pada itu, kurikulum Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral turut diperkukuh dengan memberi lebih penekanan terhadap teras nilai dan falsafah agama utama menjelang tahun 2017. Penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum merupakan salah satu medium fundamental dalam konteks penghayatan nilai. Berdasarkan pernyataan tersebut, murid diwajibkan menyertai kegiatan kokurikulum yang terdiri daripada badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. Program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) juga diperluaskan bermula tahun 2016 untuk memudahkan cara interaksi antara jenis sekolah, kumpulan etnik dan sosioekonomi. Konklusinya, KPM telah menetapkan hala tuju pendidikan negara untuk melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai.

 

Pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) perlu dalam sistem pendidikan. Bertepatan dengan pernyataan tersebut, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) telah menetapkan hala tuju iaitu memanfaatkan TMK untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia. Sejajar dengan itu, pihak KPM berhasrat untuk meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui 1BestariNet untuk semua sekolah. Dalam pada itu, kandungan dalam talian untuk perkongsian amalan terbaik bermula dengan perpustakaan video guru terbaik menyampaikan pengajaran dalam mata pelajarna kritikal juga diberi penekanan. Penggunaan TMK untuk pembelajaran jarak jauh dan berasaskan kendiri untuk meningkatkan kapasiti dan pembelajaran lebih spesifik. Situasi ini dapat dilihat menerus kewujudan platform Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa). DELIMa merupakan platform yang menyediakan sumber pembelajaran yang boleh digunakan oleh para pendidik dan murid untuk belajar dalam talian. Tuntasnya, pengintegrasian TMK dalam pendidikan merupakan hala tuju yang relevan dalam bidang pendidikan.

 

Secara kesimpulan, hala tuju sistem pendidikan negara yang terdapat Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) memberi fokus terhadap peningkatkan kualiti sistem pendidikan setaraf dengan pendidikan antarabangsa. Oleh yang demikian, warga KPM seharusnya merealisasikan hasrat tersebut. Warga KPM juga seharusnya meningkatkan kompetensi diri untuk tujuan tersebut. Menerusi komitmen semua warga KPM, hala tuju yang digariskan dalam Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dapat direalisasikan dengan mudah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran