Pengaruh Islam Terhadap Ekonomi Masyarakat Melayu
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Kemunculan Islam
turut membawa kesan besar kepada orang Melayu dalam bidang ekonomi. Secara
amnya, kedudukan Asia Tenggara terletak di tengah-tengah perjalanan di antara
timur dan barat. Keadaan ini telah menyebabkan kawasan ini menjadi pusat
persinggahan dan tumpuan pedagang. Sejak abad pertama Masihi lagi muncul
kerajaan-kerajaan yang memberikan perhatian kepada aktiviti perdagangan seperti
Funan, Srivijaya, Kedah Tua dan seumpamanya. Kehadiran agama Islam telah
memperlihatkan pembabitan kerajaan-kerajaan Islam seperti Melaka, Acheh,
Brunei, Sulu, Johor, Kedah, Kelantan, dan Terengganu dalam arus perdagangan
utara-selatan ini. Malahan, sejarah ekonomi orang Melayu antara abad ke-14
hingga abad ke-15 sering kali dikaitkan dengan perdagangan, pentadbiran negara
dan perkembangan agama Islam. Aktiviti perdagangan yang diceburi oleh orang
Melayu telah merangsang perkembangan yang berkaitan dengannya seperti
penggunaan mata wang, percukaian dan seumpamanya. Kesannya bukan sahaja
terdapat dalam sosiobudaya, malah terdapat dalam pelbagai aspek perekonomian.
Perdagangan
Sejak abad ke-12
hingga abad ke-18, aktiviti perdagangan yang membabitkan Lautan Hindi dan Laut
China Selatan didominasi oleh pedagangan Islam. Hal ini secara langsung
mempengaruhi perkembangan perdagangan di Alam Melayu. Pedagang Melayu turut
membabitkan diri secara aktif dalam rangkaian perdagangan timur dan barat ini.
Perkembangan pesat sektor perdagangan dalam kalangan orang Melayu ini sangat
berkait rapat dengan saranan Islam sendiri yang menegaskan bahawa aktiviti ini
merupakan sumber rezeki yang besar, malahan Nabi Muhammad SAW sendiri terbabit
secara langsung dalam aktiviti ini sewaktu hayat baginda. Lebih penting lagi,
aktiviti perdagangan menjadi salah satu saluran penting yang memesatkan proses
pengislaman di Alam Melayu. Menjelang abad ke-15, Melaka menjadi pusat
perdagangan yang penting. Meskipun Melaka tidak banyak mengeluarkan barang
seperti rempah ratus (lada, bunga cengkih dan sebagainya) yang mendapat
permintaan yang tinggi dalam kalangan pedagang,namun kedudukannya yang sangat strategic
membantu perkembangan Melaka. Kehadiran pedagang asing di Melaka telah
menyebabkan kerajaan Melaka menyediakan kemudahan pentadbiran yang licin dan
teratur agar aktiviti perdagangan berjalan lancar. Kerajaan Melaka telah
mewujudkan jawatan laksanamana bagi
menjaga urusan kelautan dan jawatan syahbandar
sebagai ketua pelabuhan. Undang-undang Laut Melaka telah digubal dan menjadi
landasan yang harus diikuti oleh masyarakat terutama dalam hal ehwal berkaitan
dengan tugas-tugas nakhoda, jurumud dan seumpamanya. Kepesatan perdagangan di
Melaka dapat dibuktikan dengan terdapatnya lebih kurang 84 bahasa yang
dipertuturkan di Melaka. Dalam aktiviti perdagangan di Melaka, suatu sistem
timbang dan sukat telah diperkenalkan. Hal ehwal perdagangan termasuklah soal
sukat dan timbang ini telah diletakkan di bawah tanggungjawab syahbandar.
Peratusan timbang dan sukat di Melaka menggunakan sistem tahil dan kati. Antara
barangan yang ditimbang dengan sistem ini termasuklah emas, perak, bahan
wangian dan batu permata. Untuk menimbang rempah ratus seperti lada, buah pala,
bunga cengkih, bunga lawing dan sebagainya, sistem timbangan yang digunakan
ialah sistem bahara, iaitu satu bahara dikira sebagai bersamaan dengan 205
kati. Timbangan ini dilakukan menggunakan dachim (dacing). Dalam urusan
perdagangan, dua kaedah digunakan di Melaka, iaitu kaedah pertukaran barang dan
kaedah jual beli.
Kejatuhan Melaka kepada Portugis
tidak meruntuhkan semangat pedagangan Melayu. Sebaliknya, aktivitiperdagangan
telah diteruskan dengan menjadikan kerajaan Johor sebagai pusat dan tunjang kekuasaan
Melayu. Keadaan ini terus berlangsung sepanjang abad ke-17 dan ke-18. Selain
itu, negeri-negeri lain turut bergiat cergas dalam bidang perdagangan, Negeri
Kedah, Kelantan dan Terengganu juga menjadi pusar perdagangan yang penting
sepanjang abad ke-17 dan ke-18.
Mata Wang
Penggunaan mata wang
sebagai perantaraan nilai barangan secara langsungnya memudahkan urusan
perdagangan dan jual beli. Sistem penggunaan mata wang ini merupakan alternatif
kepada sistem pertukaran barang atau sistem barter. Umumnya, negeri-negeri
Melayu menggunakan mata wang yang diperbuat daripada timah. Mata wang timah
pada zaman Melaka, misalnya, berbentuk bulat dan beratnya satu kati lapan
tahil. Nama sultan yang memerintah serta tarikh Islam dicatat pada mata wang
tersebut.
Mata wang dari Pasai, Hormuz dan
Cambay juga digunakan di Melaka serta boleh ditukarkan dengan mata wang
tempatan. Di Johor juga terdapat mata wang yang diperbuat daripada timah yang
dikenali sebagai wang katun. Mata wang ini berbentuk bulat atau segi enam. Mata
wang ini tidak mempunyai tarikh, namun, mempunyai tulisan jawi atau Arab
seperti Malik atau Sultan al-Adil. Negeri Kedah juga telah mengeluarkan mata
wang timahnya sendiri sejak abad ke-17. Mata wang ini adalah untuk kegunaan
tempatan. Jenis mata wang timah Kedah berbentuk seekor ayam jantan yang
hinggaap di atas beberapa cincin. Mata wang ini boleh dipatahkan dan digunakan
secara berasingan. Selain mata wang yang diperbuat daripada timah, terdapat
juga mata wang yang diperbuat daripada emas. Mata wang emas ini digunakan
secara meluas di Kedah dan Johor pada abad ke-16. Mata wang emas Johor yang
tertua dikenal pasti bertarikh tahun 1527, iaitu pada zaman pemerintahan Sultan
Alaudin Riayat Syah.
Mata wang emas yang digunakan di
Kelantan pula dikenali sebagai kijang kerana terdapat gambar kijang pada muka
wang emas tersebut. Mata wang di Johor digelar kupang dan mengandungi emas
seberat 10 grain (0.65 gram) dan juga 40 grains (2.6 gram). Tiap-tiap mata wang
emas tertera nama dan pangkat sultan yang memerintah dan yang mengeluarkan mata
wang tersebut. Di bahagian belakang mata wang itu tertulis gelaran Islam sultan
berkenaan seperti Khalifatul Muslimin dan sebagainya. Pada masa tersebut
pedagang Eropah telah menggunakan wang perak, manakala pedagang India, China
dan Arab menggunakan emas atau mata wang emas.
Percukaian
Salah satu aspek
penting yang berlangsung seiring dengan aktiviti perdagangan ialah percukaian.
Secara umum, cukai merupakan bayaran yang dikenakan oleh pihak pemerintah
terhadap aktiviti yang tertentu atau barangan yang tertentu. Cukai yang
diterima ini akan menjadi sebahagian daripada sumber pendapatan kerajaan dan
akan disalurkan kembali untuk pembangunan negara. Perkembangan aktiviti
perdagangan yang pesat di negeri-negeri Melayu turut memperkembangkan bidang
percukaian. Di Melaka, misalnya, para pedagang yang berniaga diwajibkan
membayar cukai terhadap barang dagangan mereka sebelum urusan perniagaan dapat
dilakukan. Cukai di Melaka pula terbahagi kepada beberapa jenis. Cukai yang
paling asas ialah cukai tetap (cukai import) yang jumlahnya telah ditetapkan
oleh pemerintah. Para pedagang yang datang dari India, Ceylon, Tanah Arab, Siam
dan Pegu dikenakan cukai sebanyak enam peratus daripada jumlah barangan yang
dibawa. Pedagang dari Jepun dan China pula dikehendaki membayar cukai sebanyak lima
peratus. Selain itu, terdapat barang yang tidak dikenakan cukai seperti beras
dan makanan.Setelah cukai dibayar, barulah urusan jual beli dapat dilakukan di
bazar-bazar yang disediakan di sepanjang Sugai Melaka. Selain itu, orang asing
yang menetap di Melaka juga dikenakan cukai. Orang asing yang datang dari
Kepulauan Melayu telah dikenakan cukai diraja sebanyak tiga peratus. Orang
asing pula dikenakan cukai diraja sebanyak enam peratus.
Pengaruh Islam yang mendalam di
negeri Melaka serta di negeri Melayu yang llain telah mempengaruhi perkembangan
ekonominya. Amalan riba telah tidak dibenarkan dalam bidang perniagaan dalam
kalangan orang Islam. Walau bagaimanapun, golongan ceti yang memberikan
pinjaman wang telah dibenarkan menjalankan aktiviti mereka. Penegasan bersabit
larangan amalan riba ini dijelaskan dalam Hukum Kanun Melaka. Hal yang sama
turut ditekankan dan diimplementasikan dalam Hukum Kanun Pahang. Sejajar dengan
perkembangan pesat dalam sektor perdagangan, maka pihak pemerintah telah
menekankan agar golongan kaya dan berkemampuan membayar zakat ini kemudiannya
disimpan oleh baitulmal. Badan ini,
berfungsi untuk menyelenggarakan harta kerajaan. Harta ini akan
digunakan bagi kepentingan dan kemakmuran negara serta sebagai sumber bantuan
yang sewajarnya kepada ahli masyarakat yang memerlukan bantuan.
Ulasan
Catat Ulasan