Pengaruh Islam Terhadap Sistem Politik Masyarakat Melayu
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Kedatangan agama Islam ke Tanah Melayu
telah memperkenalkan beberapa unsur baharu kepada amalan pentadbiran dan
pemerintahan di Tanah Melayu. Ini telah berlaku terutamanya dalam institusi
kesultanan dan juga perundangan.
Sistem pentadbiran yang
diamalkan di Tanah Melayu sejak sebelum kedatangan Islam ialah institusi
pemerintahan beraja. Institusi raja ini telah dipengaruhi oleh tradisi
Hindu-Buddha yang dikenali sebagai konsep dewa-raja. Kedatangan
Islam telah mengubah kedudukan dan corak institusi raja di Tanah Melayu.
Golongan raja telah mula menitikberatkan konsep-konsep Islam. Misalnya, istilah
bagi sultan, Zillullah fil-alam dan Zillullah fil-ardh yang
bermakna bayangan Allah di muka bumi telah mula digunakan. Konsep ini menjadi
teras institusi raja dan memberikan suatu pengesahan berlandaskan Islam
terhadap kewibawaan seorang raja tersebut. Para pemerintah juga telah
menggunakan gelaran seperti Khalifatul Mukminin yang bermakna
pemimpin orang mukmin. Contohnya, gelaran ini telah digunakan oleh Sultan
Mahmud Shah di Melaka, dan Sultan Abdul Ghaffur Muhyidin yang memerintah Pahang
antara tahun 1572 hingga tahun 1614.
Dalam
tradisi Hindu-Buddha, seseorang pemerintah sering sahaja menggalurkan nasab
keturunannya daripada penitisan dewa. Keadaan ini telah berubah selepas
kedatangan Islam. Tokong-tokoh Islam seperti Iskandar Zulkarnain, telah mula
dirujuk sebagai asas nasab keturunan sultan. Hal ini secara langsung
meninggikan kedudukan seseorang raja atau sultan tersebut. Seterusnya, selepas
kedatangan Islam, institusi sultan di Tanah Melayu kekal sebagai institusi
berdasarkan pewarisan. Sistem ini meletakkan raja atau sultan sebagai kuasa
tertinggi dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran di Tanah Melayu.
Sistem
kesultanan yang wujud di Perlis, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor
berbeza daripada sistem di Negeri Sembilan yang berasaskan Adat Perpatih. Di
Negeri Sembilan, tunjang kuasa bukanlah terletak pada sultan tetapi pada Yang
Di-Pertuan Besar. Pemerintahan dan pentadbiran sultan dibantu oleh lapisan
pembesar seperti bendahara, laksamana, penghulu, bendahari, temenggung, dan
sebagainya. Institusi kesultanan Melayu juga mempunyai hubungan erat dengan
golongan ulama. Golongan pemerintah di Melaka, misalnya, sering mendapatkan
nasihat serta pandangan golongan ulama seperti Makhdum Sayid Abdul Aziz,
Maulana Abu Bakar, Maulana Sadar Jahan, Maulana Jalaludin, Qadi Yusuf, dan
lain-lain. Hal yang sama juga berlaku dalam kerajaan lain seperti di Kelantan,
Terengganu hingga muncullah ulama terbilang seperti Tuk Pulau Manis, Tuk Pulau
Condong dan Tuan Tabal.
Kekukuhan
institusi kesultanan adalah berasaskan pegangan orang Melayu terhadap konsep
daulat. Konsep daulat ialah pengikat antara golongan rakyat dengan pemerintah.
Konsep daulat ini tidak wujud secara bertulis, namun, konsep ini dipegang
sebagai sesuatu yang dipercayai kebenarannya. Konsep ini telah mengangkat
kedudukan seseorang raja atau sultan ke tahap yang begitu tinggi dan menimbulkan
penghormatan rakyat terhadap institusi tersebut. Bagi mengukuhkan konsep daulat
tersebut, berbagai-bagai adat istiadat diwujudkan. Adat istiadat ini
membabitkan cara berpakaian dan jenis pakaian, bahasa dan pengucapan, tingkah
laku dan sebagainya. Antara adat istiadat yang menggambarkan kedaulatan
seseorang sultan termasuklah istiadat pertabalan yang disempurnakan dengan
penuh tertib dan mengikuti aturan yang telah ditetapkan.
Ulasan
Catat Ulasan