Kepentingan Fonetik dan Fonologi kepada Guru Bahasa Melayu
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Fonetik dan fonologi merupakan salah satu cabang bidang linguistik yang mengkaji bahasa secara saintifik (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Bidang fonetik adalah suatu bidang kajian mengenai cara menghasilkan bunyi menggunakan alat dan daerah artikulasi untuk tujuan bertutur. Manakala, aspek sistem bahasa merupakan fokus kajian aspek fonologi. Fonetik dan fonologi memainkan peranan yang amat penting dalam konteks pertuturan harian. Dalam konteks pendidikan di sekolah, bidang ini perlulah dikuasai oleh guru bahasa Melayu kerana dapat memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku secara efektif. Terdapat banyak manfaat yang diperoleh oleh guru bahasa seandainya mereka menguasai bidang ini.
Fonetik dan fonologi merupakan salah satu cabang bidang linguistik yang mengkaji bahasa secara saintifik (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Bidang fonetik adalah suatu bidang kajian mengenai cara menghasilkan bunyi menggunakan alat dan daerah artikulasi untuk tujuan bertutur. Manakala, aspek sistem bahasa merupakan fokus kajian aspek fonologi. Fonetik dan fonologi memainkan peranan yang amat penting dalam konteks pertuturan harian. Dalam konteks pendidikan di sekolah, bidang ini perlulah dikuasai oleh guru bahasa Melayu kerana dapat memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku secara efektif. Terdapat banyak manfaat yang diperoleh oleh guru bahasa seandainya mereka menguasai bidang ini.
Awang Sariyan (1985) menyatakan bahawa
kepentingan ilmu fonetik dan fonologi kepada guru bahasa dalam konteks aktiviti
pengajaran dan pembelajaran di sekolah ialah dapat membantu para pelajar untuk
bertutur dengan menggunakan sebutan baku. Penggunaan sebutan baku adalah penting
untuk memastikan para pelajar dapat berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan
betul. Dengan menguasai ilmu fonetik dan
fonologi, guru dapat mengajarkan para pelajar mengenai cara untuk melafazkan
sesuatu perkataan dengan menggunakan kaedah sebutan baku yang berasaskan
sebutan fonemik dan sistem ejaan yang memerlukan para pelajar mengetahui
tentang cara membunyikan setiap huruf dengan betul. Implikasinya, pelajar dapat
mengurangkan penggunaan bahasa dialek tempatan ketika berkomunikasi.
Konklusinya, penguasaan terhadap ilmu fonetik dan fonologi terhadap guru bahasa
Melayu untuk membantu pelajar menggunakan sebutan baku dalam komunikasi harian
ke arah menyeragamkan lagi kaedah sebutan dalam bahasa Melayu.
Abdullah
Hassan (2007) menyatakan bahawa bidang fonetik dan fonologi membantu dalam
pembelajaran bahasa kanak-kanak. Guru bahasa yang mempunyai pengetahuan tentang
bidang fonetik dan fonologi dapat mengajarkan pelajar khususnya di prasekolah
untuk menguasai kemahiran membaca dengan menggunakan kaedah fonetik. Penggunaan kaedah tersebut membantu pelajar
prasekolah membunyikan suku kata dan menggabungkan bunyi-bunyi bahasa menjadi
perkataan. Dalam erti kata yang lain, kaedah fonetik ini menfokuskan penguasaan
murid terhadap hubungan huruf dengan bunyi huruf tersebut tanpa mengetahui nama
huruf. Pengajaran kemahiran membaca berasaskan kaedah fonetik bermula dengan
pengenalan huruf vokal , diikuti oleh huruf konsonan, pembentukan suku kata dan
pembentukan perkataan yang bermakna. Dalam pada itu, guru bahasa perlulah
menggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai untuk memastikan pelajar dapat memahami kaedah untuk membunyikan sesuatu
huruf dengan betul. Secara ringkas, penguasaan guru bahasa terhadap bidang
fonetik dan fonologi membantu guru untuk meningkatkan penguasaan kemahiran
membaca dalam kalangan pelajar.
Penguasaan
terhadap bidang fonetik dan fonologi turut membantu guru bahasa untuk membantu
para pelajar untuk menguasai kemahiran bertutur dengan betul. Bertutur
merupakan satu cara komunikasi yang kompleks iaitu penghasilan ujarandan
melibatkan proses mental yang menggerakkan alat-alat pertuturan untuk
mengeluarkan bunyi bahasa yang bermakna (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Selain
daripada penghasilan bunyi bahasa, penggunaan unsur-unsur suprasegmental
seperti tekanan, intonasi, tempo, rima dan jeda turut diperlukan untuk
berkomunikasi dengan lebih berkesan agar individu tersebut dapat menyampaikan
sesuatu mesej. Unsur-unsur tersebut
adalah penting kepada para pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang
memerlukan kemahiran bertutur yang tinggi seperti debat, pidato, sajak dan
sebagainya yang menekankan aspek-aspek pertuturan. Aktiviti sedemikian
memerlukan pelajar menguasai aspek-aspek suprasegmental. Dengan menguasai ilmu
fonetik dan fonologi, guru dapat mengajarkan pelajar tentang cara berkomunikasi
dengan berkesan melalui pengaplikasian aspek-aspek suprasegmental. Deduksinya,
guru bahasa yang menguasai ilmu fonetik dan fonologi dapat mengajar pelajar
untuk menguasai aspek-aspek pertuturan dengan betul.
Dengan
menguasai ilmu pengetahuan berkaitan dengan bidang fonetik dan fonologi, guru
bahasa dapat mengatasi masalah yang berkenaan dengan sebutan pelajar
terutamanya pelajar bahasa kedua (Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Dain, 1982). Hal
ini demikian kerana, kebanyakan pelajar bahasa kedua menghadapi masalah untuk
membunyikan fonem-fonem segmental yang terdapat dalam bahasa kedua tersebut
disebabkan oleh fonem-fonem dalam bahasa kedua tidak terdapat dalam bahasa
ibunda mereka. Pelajar bahasa kedua kebiasaannya mengantikan fonem segmental
yang terdapat dalam bahasa kedua dengan
bunyi yang paling hampir dengan bahasa ibunda mereka. Sebagai tamsilan, pelajar
Cina yang mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua menghadapi masalah
untuk menyebut beberapa fonem segmental dalam bahasa Melayu seperti [r] yang
digantikan dengan [l]. Dengan menguasai ilmu fonetik dan fonologi, guru bahasa
dapat membantu para pelajar khususnya pelajar bahasa kedua untuk menyebut
huruf-huruf dalam bahasa kedua tersebut dengan betul. Guru dapat membantu
pelajar tersebut untuk membunyikan fonem bahasa kedua dengan betul dengan
mengajar pelajar tersebut tentang cara untuk menggerakkan alat artikulasi
mereka dengan betul melalui latihan dan bahan-bahan analisis fonetik.
Tuntasnya, pengetahuan yang mantap tentang ilmu fonetik dan fonologi
membolehkan guru bahasa membetulkan masalah sebutan dalam kalangan pelajar
bahasa kedua agar pelajar tersebut dapat membunyikan setiap fonem dalam bahasa
kedua dengan betul.
Kepentingan
penguasaan terhadap ilmu fonetik dan fonologi turut membantu guru bahasa untuk
melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dengan
lebih efektif. Penguasaan terhadap ilmu fonetik dan fonologi membantu guru
untuk mengetahui cara melafazkan setiap perkataan berdasarkan sistem sebutan
baku (Raminah Sabran dan Rahim Syam, 1985). Dengan itu, guru bahasadapat mengaplikasikan sebutan baku dalam konteks
pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Hal ini disebabkan oleh, penggunaan
sebutan baku dalam menyampaikan sesuatu ilmu pengetahuan dapat membantu para
pelajar dalam memahami tentang apa yang diajarkan oleh guru kerana penggunaan
cara bertutur yang seragam. Seandainya guru bahasa menggunakan pelbagai variasi
bahasa sedah tentulah para pelajar tidak dapat memahami apa yang diajarkan oleh
guru kerana perbezaan variasi bahasa yang dituturkan. Oleh itu, ilmu fonetik
dan fonologi membantu guru untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran dengan lebih berkesan disebabkan oleh penggunaan satu variasi
bahasa baku standard.
Secara
kesimpulan, ilmu pengetahuan berkenaan dengan bidang fonetik dan fonologi
membantu guru bahasa untuk meningkatkan kemahiran berbahasa dalam kalangan
murid khususnya dalam aspek pertuturan di samping dapat melaksanakan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dengan lebih efektif. Untuk menjadi
guru bahasa yang baik, pengetahuan tentang bidang fonetik dan fonologi adalah
perlu untuk dikuasai oleh guru bahasa tersebut bagi memastikan pelajar dapat
membunyikan fonem segmental dalam sesuatu bahasa dengan betul. Pengetahuan guru bahasa terhadap ilmu fonetik
dan fonologi dengan lebih mendalam juga mampu mewujudkan satu cara berbahasa
yang seragam.
Ulasan
Catat Ulasan