Konsep Perkembangan Kognitif Kanak-kanak


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Kognitif adalah berkait rapat dengan kognisi, iaitu aktiviti atau proses memperolehi ilmu secara taakulan atau pemikiran melalui deria. Menurut Wong Kiet Wat et al. (2013) menerusi bukunya yang bertajuk Perkembangan Kanak-kanak, perkembangan kognitif ditakrifkan sebagai satu proses keupayaan berfikir dan menaakul yang berlaku seiringan dengan perkembangan sosioemosi, fizikal dan penguasaan terhadap kemahiran berbahasa. Proses kognitif merupakan proses dalaman dan hasilan minda yang menjadi asas kepada pengetahuan. Proses tersebut meliputi segala aktiviti mental seperti mengingat, membuat perwakilan simbol, menklasifikasikan, menyelesaikan masalah, mereka cipta dan daya imaginasi. Proses ini melihat kepada kemampuan kanak-kanak dalam menjana akal budi dalam pelbagai aktiviti penyelesaian masalah di samping memahami dan menganalisa masalah tersebut.
Raugbir Kaur Joginder Singh (2013) dalam bukunya yang bertajuk Panduan Ilmu Pendidikan untuk DPLI Psikologi pula mentakrifkan perkembangan kognitif sebagai satu bentuk perkembangan yang dialami oleh akal dari aspek pemikiran. Perkembangan kognitif dapat dilihat melalui perubahan dalam tingkah laku dan percakapan individu. Perkembangan kognitif mempunyai hubungan dengan keupayaan seseorang individu itu memerima maklumat dari persekitaran, menyimpan maklumat dan mengingati semula maklumat untuk menyelesaikan masalah. Perkembangan kognitif merupakan aras pengetahuan dan keupayaan kanak-kanak menggunakan pengetahuan tersebut bagi memahami dunia di sekitar mereka. Perkembangan kognitif memfokuskan kepada cara kanak-kanak belajar dan memproses maklumat iaitu proses memperkembang daya fikir atau membina pengetahuan kanak-kanak.
Mok Soon Sang (2009) menyatakan bahawa perkembangan kognitif dipelopori oleh Jean Piaget da Lev Vygotsky. Teori-teori perkembangan kognitif tersebut memainkan peranan penting dalam membantu guru untuk memahami cara kanak-kanak berfikir dan memainkan peranan dalam memperkembang kognitif kanak-kanak. Seorang pendidik perlu mengetahui teori-teori perkembangan tersebut dalam membantu pembelajaran kanak-kanak untuk  mencapai satu tahap yang optimum. Terdapat dua teori utama berkenaan dengan perkembangan kognitif kanak-kanak iaitu Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget

Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget (1896-1980)

Jean Piaget (1896-1980) merupakan seorang ahli biologi terlatih yang berasal dari Switzerland (Mok Soon Sang, 2009). Dalam menghuraikan perkembangan kognitif manusia, beliau telah menggunakan model biologi. Jean Piaget berpandangan bahawa minda boleh berkembang, berubah dan dapat mengadaptasi masalah yang berlaku apabila berinteraksi dengan persekitaran. Ketika remaja, beliau berminat dalam bidang biologi dan epistemologi iaitu suatu bidang ilmu dalam bidang falsafah yang banyak membicarakan tentang perkembangan dan perolehan pengetahuan manusia. Latar belakang beliau ini memberikan banyak sumbangan kepada bidang psikologi yang mula diceburi oleh Piaget setelah beliau bekerja dengan Binet untuk membentuk ujian kecerdasan mental. Semasa bekerja dengan Binet, Piaget tidak berminat untuk melihat hasil jawapan betul yang diberikan oleh kanak-kanak, tetapi beliau lebih berminat untuk melihat pola- pola yang ditunjukkan oleh kanak-kanak apabila mereka memberikan sumbangan pengetahuan bagaimana proses pembentukan pemikiran berkembang di kalangan kanak-kanak. Penyelidikan Piaget bertumpu kepada pemerhatian kanak-kanak di dalam persekitaran semula jadi mereka. Beliau telah mengkaji perkembangan tiga anaknya sendiri. Piaget telah memperkenalkan empat konsep yang penting, iaitu skema, asimilasi, akomodasi, dan adaptasi.

Teori Perkembangan Kognitif Lev Vygotsky (1934-1986)

Lev Vygostsky (1934-1986) merupakan ahli psikologi Russia. Beliau mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang perubatan dan kemudian beralih kepada pengajian undang-undang dan pada masa yang sama mendalami bidang kesusateraan. Penerbitan dan kajian beliau yang bertajuk The Psychology of Art telah mendapat perhatian masyarakat (Wong Kiet Wah et al, 2013). Lev Vygotsky berpendapat bahawa perkembangan kognitif individu berlaku dalam persekitaraan sosiobudaya yang mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran individu. Lev Vygotsky menyatakan bahawa pergaulan kanak-kanak dengan individu yang lain menyebabkan pemikiran mereka berkembang. Pergaulan dan interaksi yang bermakna selalunya berlaku di antara kanak-kanak dengan individu yang lebih berpengetahuan daripadanya. Menurut Lev Vygotsky, kanak-kanak tidak dapat membina pengetahuannya sendiri tentang persekitaran tanpa bimbingan individu yang lebih kompeten. Pengetahuan kanak-kanak harus dibina melalui interaksi sosial dengan indlvidu-individu yang berada di persekitarannya seperti ibubapa, adik-beradik, keluarga terdekat atau rakan sebaya. Individu-individu tersebut  bertindak memberi arahan, maklumbalas dan membimbing komunikasi kanak- kanak. Kanak-kanak kemudiannya akan menggunakan maklumat-maklumat dalam interaksi-interaksi yang lain iaitu mungkin semasa bermain atau apabila berdepan dengan situasi yang hampir sama di masa akan datang. menurut Vygotsky, perkembangan kognitif individu berlaku dalam dua peringkat iaitu peringkat sosial dan peringkat individu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran