Analisis Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Melayu Sekolah Rendah dalam Konteks Kurikulum Masa Kini

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin


Menurut Sufean Hussien (2004), bidang pendidikan merupakan suatu bidang yang bersifat dinamik. Hal ini demikian kerana, bidang pendidikan berubah mengikut peredaran masa. Dalam konteks sistem pendidikan negara, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melakukan transformasi terhadap sistem pendidikan negara dengan memperkenalkan kurikulum standard sekolah rendah (KSSR) bermula pada tahun 2011 bagi menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang telah digunakan sejak tahun 1982. Penggubalan KSSR dilihat sebagai satu langkah yang efektif dalam mentransformasikan sistem pendidikan negara agar relevan keperluan semasa. Dalam membuat transofrmasi kurikulum, KPM telah membuat penanda aras dengan kurikulum negara maju untuk memastikan KSSR setanding dengan sistem pendidikan global. Alimuddin Mohd. Dom (2015) menyatakan bahawa KSSR digubal berdasarkan bentuk pernyataan standard yang dikenali sebagai Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang terdiri daripada standard kandungan dan standard pembelajaran di mana DSKP tersebut digunakan dalam semua mata pelajaran. Untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, dokumen kurikulum standard yang digunakan adalah DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah. DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah tersebut memenuhi keperluan reka bentuk kurikulum menerusi beberapa aspek yang dinyatakan dalam dokumen tersebut.
            Penggubalan DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah adalah berdasarkan enam tunjang utama dalam KSSR mampu melahirkan individu yang seimbang berdaya saing signifikan dengan keperluan reka bentuk kurikulum masa kini . Perkara tersebut bertepatan dengan salah satu elemen Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (Mok Soon Sang, 2009). Enam tunjang tersebut merupakan domain utama yang menyokong antara satu sama lain dan disepadukan dengan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif. Konsep tunjang yang diperkenalkan dalam KSSR, merupakan satu bentuk pengklasifikasian bidang ilmu, kemahiran dan nilai. Konsep ini berfokus kepada pembentukan modal insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Hal ini bermakna, KSSR bukan sahaja memberi fokus terhadap ilmu pengetahuan sahaja, tetapi turut memberi fokus terhadap aspek kemahiran dan nilai yang menjadi asas kepada pembentukan individu yang seimbang. Enam tunjang yang dapat melahirkan individu yang seimbang dan berdaya saing tersebut ialah tunjang komunikasi, tunjang kerohanian dan sikap, tunjang kemanusiaan, tunjang keterampilan diri, tunjang perkembangan fizikal dan estetika serta tunjang sains dan teknologi. Setiap tunjang yang terdapat dalam DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah mempunyai peranan tertentu dalam memperkembang aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial murid. Secara ringkas, penggubalan DSKP bahasa Malaysia Sekolah Rendah dilihat memenuhi reka bentuk kurikulum melalui penggubalannya yang berdasarkan enam tunjang utama yang mampu melahirkan individu seimbang dan berdaya saing seperti nama yang dihasratkan oleh FPK.
DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah memenuhi keperluan reka bentuk kurikulum menerusi fokus yang diberikan terhadap aspek kemahiran bahasa yang perlu dikuasai oleh murid pada peringkat sekolah rendah. Antara kemahiran bahasa yang difokuskan dalam DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah sebagai tunjang komunikasi dalam KSSR ialah kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Kemahiran-kemahiran bahasa tersebut merupakan aspek yang perlu dikuasai oleh murid untuk menjadi individu yang mempunyai kemahiran komunikasi yang dianggap perlu dalam pendidikan pada masa kini untuk menjadi individu yang berdaya saing (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Hal ini demikian kerana, murid dapat membina keyakinan diri untuk menyuarakan idea dan buah fikiran melalui penguasaan terhadap kemahiran bahasa seperti mana yang difokuskan oleh DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah. Hal tersebut sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menerusi anjakan kedua yang berhasrat untuk Memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. Deduksinya, fokus yang diberikan oleh DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah terhadap kemahiran bahasa dilihat sebagai satu aspek yang memenuhi kriteria reka bentuk kurikulum masa kini kerana mampu melahirkan individu yang digubal untuk membolehkan murid berketerampilan dalam berbahasa yang dianggap perlu dalam konteks pendidikan pada masa kini.
            Penekanan yang diberikan oleh DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah terhadap kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi merupakan salah satu faktor mengapa DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah memenuhi reka bentuk kurikulum pada masa kini. Perkara ini sejajar dengan anjakan ketujuh dalam PPPM 2013-2025 yang menekankan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah (Goay Teck Chong et al., 2013). DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah memberi perhatian terhadap aspek pengajaran dan pembelajaran kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi dalam kalangan murid seiring dengan perkembangan dalam bidang sains dan teknologi. Penekanan terhadap kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi dalam kalagan murid adalah bertepatan dengan keperluan pendidikan pada masa kini seperti mana yang diaplikasikan di negara-negara yang maju dalam sistem pendidikan. Kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi perlu diajarkan untuk memastikan mereka menguasai kemahiran tersebut sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran era modenisasi. Konklusinya, DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah yang memberi fokus terhadap kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi dalam kalangan murid dilihat sebagai satu perkara yang menyebabkan DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah tersebut memenuhi reka bentuk kurikulum masa kini yang mengaplikasikan komponen teknologi maklumat dan komunikasi.
            Reka bentuk kurikulum masa kini dipenuhi oleh DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah menerusi penekanan yang diberikan terhadap kreativiti dan inovasi dalam kalangan murid. Elemen kreativiti dan inovasi diintegrasikan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia bagi membangun dan mengembangkan tahap potensi kreativiti mengikut keupayaan individu murid. Berdasarkan takrifan yang diberikan oleh Alimuddin Mohd. Dom (2015), kreativiti merujuk kepada kebolehan atau kemampuan seseorang individu untuk mencipta, menyelesaikan masalah, menggunakan daya imaginasi, idea kreatif untuk menghasilkan idea yang tulen, asli dan baharu bagi menghasilkan sesuatu yang objektif. Manakala, inovasi pula merujuk kepada proses menjana idea dan mengaplikasikan idea kreatif dalam konteks tertentu. Kreativiti dan inovatif saling berkait rapat bagi menghasilkan modal insan yang serba boleh dan berketerampilan. DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah menitik berat akan perkembangan daya kreativiti dan inovasi murid ke tahap yang optimum dalam aktiviti  pengajaran dan pembelajaran. Perkara tersebut dilakukan untuk memastikan murid tersebut berdaya cipta dan berkeupayaan menghasilkan idea dan ciptaan yang berkualiti dalam menyelesaikan masalah. Hal tersebut adalah penting sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran pembelajaran pada abad ke-21. Di negara yang mempunyai sistem pendidikan bertaraf antarabangsa, aspek kreativiti dan inovasi merupakan elemen yang penting untuk diterapkan dalam kalangan murid agar mereka menjadi individu yang berdaya saing. Oleh yang demikian, DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah memenuhi reka bentuk kurikulum masa kini melalui penekanan yang diberikan terhadap perkembangan kreativiti dan inovasi dalam kalangan murid seperti mana yang terdapat dalam kurikulum pendidikan negara maju.
            Seterusnya, aspek yang menyebabkan DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah memenuhi reka bentuk kurikulum masa kini adalah menerusi penekanan terhadap kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam kalangan murid menerusi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Perkara tersebut juga sejajar dengan PPPM 2013-2025 yang memberi perhatian terhadap kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam kalangan murid. Penguasaan murid terhadap kemahiran berfikir secara membolehkan murid untuk mengaplikasikan ilmu pengetahuan dalam konteks yang berbeza. Hal ini dapat meningkatkan keupayaan murid untuk meningkatkan kebolehan berfikir secara aras tinggi dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Menurut Faridah Nazir dan Tuan Jah Tuan Yusof (2013), kebolehan berfikir secara aras tinggi tersebut akan menjadikan murid lebih produktif dan berdaya saing seiring dengan keperluan semasa bidang pendidikan bagi memenuhi cabaran abad ke-21. Pemikiran secara aras tinggi ini telah lama diterapkan dalam sistem pendidikan di negara Findland sehingga menyebabkan sistem pendidikan negara tersebut diiktiraf sebagai sistem pendidikan yang terbaik di dunia. Deduksinya, DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah yang menekankan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam kalangan murid memenuhi reka bentuk kurikulum masa kini selari dengan hasrat PPPM 2013-2025 yang meletakkan kemahiran berfikir sebagai salah satu aspek yang diperlukan untuk murid berdaya saing.
            Penekanan terhadap aspek ilmu pengetahuan sebagai salah satu elemen pengisian kurikulum merupakan antara sebab mengapa DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah memenuhi keperluan reka bentuk kurikulum masa kini. Pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia menurut DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah amat menitik berat akan penyerapan ilmu pengetahuan berdasarkan enam tunjang KSSR yang dilihat mampu meningkatkan tahap kognitif murid.  Hal ini demikian kerana, murid bukan sahaja memperoleh pengetahuan berkenaan dengan mata pelajaran Bahasa Malaysia, tetapi juga memperoleh pengetahuan dalam bidang yang lain seperti sains, matematik, sejarah dan sebagainya. Perkara tersebut bersesuaian dengan PPPM 2013-2025 yang menetapkan pengetahuan sebagai salah satu ciri yang diperlukan oleh murid untuk berdaya saing menerusi pengetahuan dalam pelbagai bidang dan disiplin ilmu. Intihanya,penekanan yang diberikann oleh DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah terhadap ilmu sebagai salah satu elemen pengisian kurikulum menjadikan DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah memenuhi keperluan reka bentuk kurikulum masa kini kerana menerapkan pelbagai bidang ilmu pengetahuan dalam konteks pembelajaran bahasa.
            Salah satu aspek DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah yang memenuhi keperluan reka bentuk kurikulum masa kini ialah menekankan penggunaan pelbagai teknik pengajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Menurut Faridah Nazir dan Tuan Jah Tuan Yusof (2013), kepelbagaian teknik pengajaran yang dilakukan oleh guru bergantung pada tahap kebolehan murid. Perkara tersebut adalah penting agar murid dapat memahami isi pembelajaran yang guru sampaikan ketika berlangsungnya proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian kerana, setiap murid mempunyai tahap kognitif dan daya kecerdasan yang berbeza-beza antara satu dengan lain. Berdasarkan DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah, penggunaan pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran amat ditekankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia sekolah rendah untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan secara berkesan. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran tersebut bergantung pada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu mengajar, serta teknologi yang dapat merangsang dan menggalakkan murid berkomunikasi dan berinteraksi serta berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif. Perkara tersebut relevan dengan keperluan reka bentuk kurikulum masa kini yang memberi fokus terhadap aktiviti pembelajaran kepelbagaian teknik pengajaran dan pebelajaran untuk meningkatkan pemahaman murid terhadap isi pembelajaran. Dengan itu, murid akan mudah menerima input berkenaan dengan pengajaran Bahasa Malaysia yang diajarkan oleh guru. Ringkasnya, penekanan DSKP Bahasa Melayu Sekolah Rendah terhadap penggunaan teknik pengajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran memenuhi keperluan reka bentuk kurikulum masa kini.
            Secara holistik, DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah dilihat sebagai suatu dokumen standard pembelajaran yang dapat memenuhi reka bentuk kurikulum pada masa kini. Hal ini demikian kerana, DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah telah digubal berdasarkan penanda aras dengan kurikulum yang terdapat di negara maju dalam bidang pendidikan khususnya Findland. DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah dilihat sebagai satu medium yang mampu melahirkan murid berdaya saing signifikan dengan KSSR dan PPPM 2013-2025. Perkara tersebut dapat dibuktikan apabila DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah menekankan beberapa aspek yang telah diaplikasikan dalam sistem pendidikan negara maju tersebut seperti kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran berfikir aras tinggi, daya kreativiti dan inovasi dan sebagainya. DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah juga turut memberi perhatian terhadap kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid sebagai persediaan menghadapi cabaran era modenisasi. Berdasarkan pernyataan tersebut, jelaslah bahawa DSKP Bahasa Malaysia Sekolah Rendah memenuhi reka bentuk kurikulum masa kini seiring dengan peredaran zaman.

Ulasan

  1. input yang berguna. perkonsian yang jelas dan membantu menambah pemahaman bakal pendidik.

    BalasPadam
  2. ada rujukan tak?

    BalasPadam
  3. Hebatnya penulisan anda. Tahniah.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Binaan Plot