Konsep Tamadun

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Menurut Nik Shuhaimi Nik Abdul Rahman et al. (2009), perkataan tamadun berasal daripada bahasa Arab, iaitu perkataan mudun dan madain. Satu lagi perkataan bahasa Arab yang mempunyai kaitan dengan perkataan tamadun iaitu madana yang mempunyai dua maksud, iaitu tinggi budi bahasa dan pembukaan bandar. Berdasarkan sudut epistimologi, perkataan daripada bahasa Inggeris yang mempunyai persamaan makna dengan tamadun ialah civilization yang berasal daripada perkataan Greek, iaitu civitas yang bermaksud bandar (Chandra Muzaffar et al., 2007). Dalam erti kata yang lain, istilah civilization tersebut sebagai kemajuan manusiawi. Perkara tersebut merujuk kepada kemajuan jati diri manusia dalam membangunkan kehidupan dalam pelbagai peringkat.
            Abdul Rahman Abdullah (2000) menyatakan bahawa setiap masyarakat di dunia mempunyai definisi mereka yang tersendiri mengenai konsep tamadun. Berdasarkan perspektif masyarakat Barat, tamadun dikaitkan dengan pembangunan lahiriah terutamanya dalam hal-hal kebudayaan seperti penulisan, undang-undang kesenian dan pembandaran. Menurut pandangan beberapa sarjana Barat seperti Gordon Childe, pencapaian lahiriah merupakan kayu ukur kemajuan tamadun dalam sesebuah masyrakat. Darcy Riberio dan R.A. Buchanan pula menolak unsur rohaniah sebaliknya menekankan kepentingan pembangunan lahiriah dalam proses perkembangan tamadun. Secara ringkas, tamadun berdasarkan perspektif Barat ialah kemajuan sesebuah bangsa dalam pembangunan lahiriah.
            Konsep tamadun menurut Islam adalah berbeza dengan persepktif Barat. Mahayudin Haji Yahya (1987) menyatakan bahawa tamadun berdasarkan konsep Islam merangkumi pembangunan lahiriah dan rohaniah. Kedua-dua elemen tersebut penting dalam mengukur tahap ketamadunan sesebuah masyarakat. Berdasarkan takrifan yang diberikan oleh Syed Naquib al-Attas (1970), tamadun ialah pencapaian tahap tatasulia yang tinggi dan kebudayaan yang luhur oleh sesebuah masyarakat. Pandangan tersebut turut disokong oleh sarjana Barat seperti Richard Sullivan yang mengakui bahawa unsur rohaniah sangat penting dalam konsep tamadun.
            Secara amnya, konsep tamadun tidak hanya mementingkan pencapaian berbentuk lahiriah seperti kesenian dan pembinaan kota semata-mata, tetapi juga mestilah diiringi dengan pencapaian dalam aspek rohaniah, tatasusila dan moral. Oelh yang demikian, ketamadunan sesebuah bangsa dinilai berdasarkan aspek kebudayaan, peradaban dan kemajuan. Kemajuan meliputi dari sudut rohani dan jasmani sesuatu bangsa atau masyarakat. Pengertian ini menepati makna tamadun  menurut perspektif Islam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran