Kepentingan Menguasai Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak Kepada Guru

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Menurut Mook Soon Sang (2009), perkembangan kognitif kanak-kanak dipengaruhi oleh orang yang lebih dewasa, yang lebih berpengalaman dan yang lebih berilmu pengetahuan. Berdasarkan pernyataaan tersebut, guru sebagai seorang pendidik merupakan individu yang memainkan peranan utama dalam memperkembang kognitif kanak-kanak untuk mencapai satu tahap yang optimum. Dalam mengembangkan kognitif murid-murid, guru seharusnya menguasai teori-teori perkembangan kanak-kanak yang dipelopori oleh Jean Piaget (1896-1980) dan Lev Vygotsky (1934-1986) agar perkembangan kognitif tersebut dapat dilakukan secara sistematik dan holistik. Penguasaan terhadap toeri perkembangan kognitif adalah penting kepada guru dalam konteks proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Hal ini demikian kerana, teori perkembangan kognitif Jean Piaget dan Lev Vygotsky menjadi kuasa dominan dalam metodologi dan pemikiran yang berkaitan dengan psikologi kognitif (Wong Kiet Wah et al, 2013). Terdapat beberapa kepentingan menguasai teori perkembangan kognitif kepada guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Antara kepentingan penguasaan teori perkembangan kognitif Jean Piaget (1896-1980) dan Lev Vygotsky (1934-1986) kepada guru ialah membantu guru untuk merancang pengalaman pembelajaran. Mok Soon Sang (2009) mentakrifkan pengalaman pembelajaran sebagai suatu bentuk gerak balas atau interaksi murid dengan alam sekeliling. Berdasarkan teori-teori tersebut, perancangan pengalaman pembelajaran memerlukan penglibatan aktif dalam kalangan murid ketika berlangsungnya aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Pengalaman pembelajaran seharusnya dapat meningkatkan pengetahuan sedia ada murid melalui pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Pengalaman pembelajaran menurut teori perkembangan kognitif Jean Piaget (1896-1980) ialah guru menyediakan peluang untuk kanak-kanak membuat penerokaan dan penemuan konsep atau prinsip yang dipelajari dengan menggunakan daya pemikiran . Dalam erti kata lain, guru mewujudkan pengalaman pembelajaran yang dapat meningkatkan pengetahuan murid ialah dengan melaksanakan aktiviti pembelajaran dan pengajaran secara hands-on.   Pengalaman pembelajaran secara hands-on dapat meningkatkan minat murid untuk melibatkan diri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam memperkembang daya kognitif mereka. Secara ringkas, penguasaan terhadap teori-teori perkembangan kognitif tersebut membantu guru untuk merancang pengalaman pembelajaran bagi meningkatkan daya kognitif murid melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menarik.
Selain itu, penguasaan terhadap teori-teori perkembangan kognitif guru membantu guru untuk menjadikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dengan lebih sistematik. Menurut Teori Perkembangan Kognitif Piaget (1896-1980), proses pengajaran dan pembelajaran hendaklah disusun mengikut peringkat perkembangan kognitif kanak-kanak.  Menurut Wong Kiet Wah et al (2013), proses pengajaran dan pembelajaran seharusnya bermula daripada konkrit kepada abstrak, daripada dekat kepada jauh, daripada pengalaman sedia ada kepada pengalaman baharu, daripada kasar kepada halus mengikut perkembangan fizikal seseorang individu tersebut. Shahbuddin Hashim (2003) menyatakan bahawa pembelajaran merupakan perubahan bentuk tingkah laku seperti mana yang dinyatakan dalam teori perkembangan kognitif Jean Piaget (1896-1980). Proses akomodasi digunakan untuk pembelajaran yang baharu dan kompleks untuk mengubah struktur kognitif individu tersebut agar mengasimilasi maklumat baharu ke dalam skema yang sedia ada. Guru hendaklah menggalakkan murid-murid untuk melibatkan diri secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana proses akodomasi bertunjangkan kepada motivasi intrinsik individu. Guru tidak boleh melangkau sesetengah topik dalam pembelajaran, sebaliknya perlu mengikut perancangan yang telah ditetapkan iaitu mengikut kebolehan dan tahap murid itu sendiri. Perkara tersebut disebabkan oleh, topik pembelajaran yang dirancang adalah mengikut aras kesukaran yang rendah kepada yang tinggi. Penekanan terhadap konsep asas perlu dilakukan oleh guru ketika melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah sebelum mengajarkan konsep yang lebih dalam bagi memudahkan pemahaman murid-murid. Ringkasnya, penguasaan terhadap teori perkembangan kognitif membantu guru untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran secara lebih sistematik mengikut peringkat perkembangan kanak-kanak.
Teori perkembangan kognitif penting dikuasai oleh guru untuk dijadikan panduan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (Santrock, 2008). Berdasarkan teori perkembangan kognitif Jean Piaget (1896-1986), perkembangan kognitif kanak-kanak terbahagi kepada empat tahap mengikut peringkat umur yang tertentu (Wong Kiet Wah et al, 2013). Peringkat tersebut dikenali sebagai peringkat sensori motor (lahir hingga umur 2 tahun), peringkat praoperasi (2 hingga 7 tahun), peringkat operasi konkrit (7 hingga 11 tahun) dan peringkat operasi formal (11 hingga 15 tahun). Pada peringkat praoperasi, kanak-kanak menggunakan bahasa dan imej untuk mewakilkan kefahamannya tentang dunia. Oleh yang demikian, pada peringkat tersebut guru boleh meminta kanak-kanak untuk menyatakan tentang sesuatu yang diperhatikan atau melukis dan bersoal jawab tentang perkara tersebut. Menurut Tim Bruce (2006), kanak-kanak yang berusia antara 7 hingga 11 tahun iaitu pada peringkat praoperasi pula akan membuat penaakulan logik tetapi masih terikat kepada objek atau peristiwa yang konkrit serta memahami prinsip ketekalan, klasifikasi, seriasi dan kebalikan. Manakala bagi remaja pada peringkat operasi formal pula mereka dapat berfikir secara saintifik, dapat menaakul secara abstrak, idealistik dan logikal serta menunjukkan minat terhadap isu-isu sosial dan identiti diri. Pada peringkat ini guru perlu mengadakan perbicangan dengan murid-murid secara kerap untuk memahami pemikiran mereka. Berdasarkan peringkat perkembangan kognitif kanak-kanak yang digariskan oleh teori perkembangan kognitif Jean Piaget (1896-1980), setiap kanak-kanak mempunyai keupayaan kognitif yang berbeza mengikut tahap-tahap tertentu. Guru seharusnya melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas bersesuaian dengan tahap kognitif murid seperti mana yang telah dinyatakan dalam teori perkembangan kognitif Jean Piaget (1896-1980). Deduksinya, penguasaan guru terhadap teori perkembangan kognitif adalah penting dalam membantu guru melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang sesuai mengikut  kemampuan kanak-kanak dalam mengembangkan kognitif mereka.
Penguasaan terhadap teori-toeri perkembangan kognitif juga membantu guru untuk memainkan peranan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Guru dapat mengetahui bahawa perkembangan diri kanak-kanak adalah tidak serupa dengan menguasai teori-teori perkembangan tersebut. Berlandaskan pernyataan tersebut, kanak-kanak harus dilayan mengikut keperluan psikologi mereka yang sebenar.  Perancangan yang melibatkan aktiviti, kandungan, pemilihan bahan, teknik pengajaran dan sebagainya haruslah signifikan dengan perkembangan diri kanak-kanak pada masa tersebut (Mok Soon Sang, 2009). Guru seharusnya memikirkan berkenaan dengan tahap kemampuan berfikir, pembinaan konsep, keperluan mewujudkan suasana konkrit daya ingat dan sebagainya yang terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan prinsip tersebut, masa yang panjang akan diambil untuk mengajar seorang kanak-kanak yang belum sampai ke satu tahap perkembangan tertentu dalam sesuatu topik berbanding dengan kanak-kanak yang telah mencapai perkembangan tersebut. Hal ini bermaksud, kemampuan dan kematangan kanak-kanak dalam pembelajaran adalah penting. Intihanya, penguasaan guru terhadap teori perkembangan kognitif membantu guru memainkan peranan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan memahami keperluan psikologi kanak-kanak mengikut tahap perkembangan tertentu.
Di samping itu, kepentingan penguasaan teori perkembangan kognitif ialah guru dapat membuat intervensi untuk mengatasi masalah pembelajaran pelajar dengan berpandukan kepada teori perkembangan kognitif tersebut. Mok Soon Sang (2009) mentakrifkan intervensi dalam konteks pengajaran dan pembelajaran sebagai penglibatan individu yang mempunyai kemahiran dalam bidang tertentu untuk meningkatkan daya kognitif murid. Berdasarkan prinsip teori perkembangan kognitif Lev Vygotsky (1934-1986), seorang murid yang menghadapi masalah dalam sesuatu perkara perlulah didekati oleh guru ataupun didedahkan dengan individu yang mempunyai kemahiran dalam perkara tersebut. Sebagai tamsilan, sekiranya murid menghadapi masalah dalam penggunaan bahasa yang betul, guru hendaklah membimbing murid tersebut ataupun mendedahkan mereka dengan individu yang mahir dalam aspek penggunaan bahasa agar murid dapat meningkatkan kemahiran berbahasa mereka. Berdasarkan teori perkembangan kognitif Lev Vygotsky (1934-1980), tahap perkembangan kanak-kanak dapat dipertingkat dengan bimbingan daripada pihak yang lebih berkebolehan. Oleh yang demikian, Zon Perkembangan Proksimal (ZPP) perkembangan kognitif murid tersebut akan mencapai tahap maksimum dan akan bergerak ke satu aras yang lebih tinggi apabila murid mempelajari kemahiran yang baharu. Tuntasnya, penguasaan terhadap teori perkembangan kognitif adalah penting bagi guru untuk membuat intervensi dalam meningkatkan daya kognitif murid.
Personaliti dan tingkah laku kanak-kanak adalah berbeza mengikut peringkat umur (Thomas, 2002). Penguasaan guru terhadap teori perkembangan kognitif dapat membantu guru dalam meramal tingkah laku, kegemaran dan apa yang tidak disenangi pelajar pada peringkat umur tertentu. Menurut Bruner (1975), tingkah laku seorang kanak-kanak adalah berbeza mengikut tahap perkembangan kognitif tertentu seperti mana yang dinyatakan dalam teori perkembangan kognitif Jean Piaget (1896-1980) iaitu peringkat praoperasi, operasi konkrit dan operasi formal. Pada peringkat operasi formal misalnya, remaja sering memikirkan tentang masa hadapan dan cuba menentukan sesuatu yang terbaik sehingga menimbulkan kekeliruan yang disebut sebagai egosentrisme dewasa, yakni tidak dapat membezakan antara pemikiran sendiri dengan pemikiran orang lain. Keadaaan tersebut menyebabkan remaja mengalami perubahan dalam aspek personaliti. Sebagai contoh, remaja percaya bahawa budaya negatif dan aktiviti ekstrem akan membawa musibah tetapi perkara tersebut menimpa orang lain, namun mereka percaya bahawa aktiviti berbahaya seperti seks bebas dan lumba haram tidak akan membawa musibah kepada diri mereka (Wong Kiet Wah, 2013). Staler (1990) menyatakan bahawa faktor utama yang mempengaruhi perubahan personaliti seseorang remaja aspek persekitaran seperti pengaruh rakan sebaya kerana setiap rakan sebaya mempunyai nilai yang tersendiri. Dalam hal ini, guru sewajarnya menggalakkan pelajar menggunakan pemikiran kritikal dengan memastikan pelajar mempunyai pengetahuan yang luas, dapat berfikir secara terbuka serta membuat rumusan tentang setiap perlakuannya. Tegasnya, penguasaan teori perkembangan kognitif membantu guru untuk meramal tingkah laku, kegemaran dan perkara yang tidak disukai oleh pelajar pada peringkat umur tertentu sebagai mana yang dinyatakan oleh kedua-dua teori perkembangan kognitif tersebut.
Dengan menguasai teori perkembangan kognitif kanak-kanak, guru dapat membantu murid untuk meningkatkan daya kognitif mereka secara lebih efektif. Dalam teori perkembangan kognitif Jean Piaget (1896-1980), penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai mengikut peringkat perkembangan kognitif murid amat dititikberatkan bagi memastikan murid dapat memahami konsep atau topik yang hendak diterangkan oleh guru (Wong Kiet Wah et al, 2013). Menurut teori perkembangan kognitif Jean Piaget (1896-1980), proses pengajaran dan pembelajaran hendaklah menggalakkan murid agar menggunakan kaedah penyelesaian masalah untuk memperoleh ilmu dan kemahiran dengan usaha diri sendiri. Penglibatan aktif pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang ditekankan oleh teori perkembangan kognitif Jean Piaget (1896-1980) dapat meningkatkan pengetahuan mereka terhadap konsep tertentu yang diingin disampaikan oleh guru (Mook Soon Sang, 2009). Teori perkembangan kognitif Lev Vygotsky (1934-1986) pula menyarankan guru agar melaksanakan konsep bimbingan terarah kepada murid dalam merancang dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan memberi ransangan kepada murid pada awal pembelajaran sesuatu konsep atau topik (Woolfolk, 2005). Dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran, guru menggunakan strategi pembelajaran secara koperatif bagi meningkatkan pengetahuan murid terhadap isi kandungan pelajaran. Strategi pembelajaran secara koperatif membantu murid untuk mencapai tahap ilmu dan kemahiran yang lebih tinggi melalui kolaborasi yang erat dengan guru tersebut. Kesimpulannya, penguasaan guru terhadap teori perkembangan kognitif tersebut dapat membantu mereka dalam melaksanakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dalam meudahkan pemahaman murid bagi meningkatkan daya kognitif mereka secara lebih efektif.

     Secara kesimpulan, teori perkembangan kognitif yang dipelopori oleh Jean Piaget (1896-1980) dan Lev Vygotsky (1934-1986) adalah penting untuk dikuasai oleh guru dalam merancang dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Teori-teori perkembangan kognitif tersebut menekankan agar guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap perkembangan dan kemampuan pelajar pada masa tertentu agar mereka dapat memahami kandungan pembelajaran yang disampaikan oleh guru. Perkara tersebut adalah penting bagi memastikan perkembangan kognitif murid berada pada tahap yang sepatutnya. Teori perkembangan kognitif tersebut sepatutnya dijadikan panduan oleh guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru hendaklah bertepatan dengan prinsip-prinsip yang terdapat dalam teori perkembangan kognitif yang dipelopori oleh tokoh-tokoh tersebut. Oleh yang demikian, guru sewajarnya membuat perancangan dan pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran berdasarkan teori perkembangan kognitif tersebut.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran