Keunikan Tamadun Cina yang Kekal sehingga Kini

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman (2009) menyatakan bahawa pembinaan tamadun China berasaskan peranan sungai Hwang Ho yang telah menyuburkan    kawasan sekitarnya. Keadaan tersebut menarik pendudukan nomad untuk tinggal menetap dan membina petempatan awal di kawasan tersebut. Kemunculan Tamadun China dapat dikesan menerusi penemuan bukti arkeologi iaitu tengkorak homo sapien yang dikenali sebagai Peking Man yang dikatakan hidup pada sekitar tahun 400 000 S.M.. Tapak Banpo yang berdekatan dengan bandar Sian moden merupakan petempatan awal penduduk Hwang Ho. Penduduk di kawasan tersebut menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan binatang selain mengumpul hasil hutan dan memburu. Perkembangan petempatan awal Tamadun China telah melahirkan beberapa buah bandar di Lembah Hwang Ho. Menurut Abdullah Alwi Hassan (2000), Tamadun China yang telah wujud sejak sekian lama mempunyai ciri-ciri unik yang tersendiri dalam memastikan kelangsungan dan perkembangannya. Terdapat beberapa ciri unik dalam Tamadun China yang kekal sehingga ke hari ini yang merangkumi aspek seni bina, seni muzik, seni perhiasan dan seni           penulisan.
            Tamadun China terkenal dengan keindahan seni bina  bangunan-bangunan yang terdapat dalam tamadun tersebut. Menurut Azam Hamzah dan Zuleikha Yusoff (1990), seni bina bangunan Tamadun China mempunyai ciri-ciri tertentu yang menjadikan seni bina tamadun tersebut berbeza daripada tamadun-tamadun yang lain. Secara amnya, seni bina Tamadun China meliputi beberapa bangunan seperti istana raja, rumah ibadat dan taman-taman maharaja. Kebanyakan bangunan lama atau tradisi dibina dengan menggunakan bahan-bahan seperti kayu dan batu bata. Dalam tamadun China, bangunan-bangunan penting seperti istana dan rumah ibadat mempunyai ukiran yang tersendiri. Ukiran tersebut terdiri daripada ukiran  patung seperti naga, harimau, singa dan sebagainya yang berperanan untuk menghiasi perkarangan bangunan tersebut atau diukir di dinding-dinding atau atap bangunan tersebut. Pembinaan bangunan dalam Tamadun China bergantung pada kepercayaan masyrakat China seperti Yin Yang dan Feng Shui. Setiap bangunan yang terdapat dalam Tamadun China mempunyai tembok yang besar khususnya istana-istana lama. Penggunaan warna merah merupakan satu kebiasaan bagi bangunan-bangunan utama di Tamadun China kerana masyarakat China beranggapan bahawa warna tersebut melambangkan keberanian dan kesejahteraan kepada pemiliknya. Tamadun China mempunyai seni bina yang unik dari segi struktur, bentuk bumbung, warna yang banyak dipengaruhi oleh tradisi masyarakat Cina. Kayu merupakan bahan binaan struktur utama dan juga medium kesenian seperti ukiran, lukisan dan perhiasan tradisional. Struktur bangunan diperbuat daripada batang kepingan kayu yang disambung dengan rekaan cantuman yang khas dan tanpa dipaku. Tiang pula daripada kayu balak besar, batu kapur, menyokong bumbung dan batu manakala jubin digunakan untuk membuat lantai, dinding, membina makam. Antara seni bina Tamadun China yang masih kekal ialah Tembok Besar yang mula dibina pada abad ke-7 SM yang bertujuan untuk melindungi Tamadun China daripada serangan orang gasar. Kini, Tembok Besar China merupakan salah satu tarikan pelancongan di negara China. Secara ringkas, Tamadun China mempunyai ciri seni bina yang unik berdasarkan budaya tamadun tersebut.

            Keunikan Tamadun China juga dapat dilihat menerusi aspek seni muzik. Seni muzik merupakan salah satu bidang yang telah lama berkembang dalam Tamadun China. Tokoh Tamadun China yang menyokong perkembangan muzik dalam tamadun tersebut ialah Confucius.  Hal ini demikian kerana, Confucius berpendapat bahawa muzik merupakan unsur yang penting dalam perkembangan Tamadun China. Perkembangan seni muzik dalam Tamadun China dapat dibuktikan apabila terdapat buku tentang seni muzik iaitu Kuan Tzu pada abad ke-4 S.M (Chris Scarre, 1999).  Ketika era pemerintahan dinasti Tang, seni muzik dalam Tamadu China mengalami perkembangan yang amat pesat. Menurut Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman et al. (2009), pembahagian muzik dalam perkembangsn Tamadun China dapat dipecahkan kepada dua iaitu muzik rakyat dan muzik golongan atasan. Perkara tersebut merupakan ciri-ciri unik seni muzik dalam Tamadun China. Pada asasnya, muzik rakyat merupakan asas perkembangan seni muzik Tamadun China. Hal tersebut kerana, muzik mempunyai perkaitan yang rapat dengan kehidupan rakyat.  Seni muzik untuk golongan atasan pula lahir hasil daripada pengubahsuaian yang dilakukan terhadap seni muzik rakyat. Dalam tamadun China, muzik mempunyai peranan tertentu, iaitu sebagai medium hiburan, wahan menyampaikan pelaburan serta memberi gambaran kepada kehidupan masyarakat. Alat-alat muzik Tamadun China dikategorikan mengikut bahan akustik yang digunakan dan cara sesuatu alat itu dimainkan. Pada dasarnya bahan-bahan tersebut terdiri daripada logam, batu, tanah liat, kulit, sutera, kayu, labu dan buluh. Muzik Tamadun China dapat diklasifikasikan kepada kategori meniup, genderang, memetik dan menggesek berdasarkan kaedah alat muzik tersebut dimainkan. Seni muzik Tamadun China juga turut menpengaruhi seni muzik Tamadun yang lain seperti Korea dan Vietnam. Antara alat muzik Tamadun China yang masih berkekalan sehingga ke hari ini ialah seruling, pipa, yangqin dan erh-hu. Alat-alat muzik tersebut sering kali digunakan ketika persembahan opera Cina dan persembahan muzikal tradisional Cina. Intihanya, seni muzik yang terdapat dalam Tamadun China mempunyai keunikan yang tersendiri.
            Aspek seni perhiasan yang terdiri daripada barang kemas dan pakaian juga merupakan salah satu ciri unik Tamadun China. Pakaian merupakan suatu bentuk komunikasi visual dalam budaya Tamadun China (Mohd Mokhtar Shafie, 1996). Hal ini demikian kerana, pakaian dapat membezakan status sosial antara pemerintah dengan rakyat. Dalam Tamadun China, pakaian menunjukkan perbezaan tidak hanya di dalam kelas dan jantina, tetapi juga etnik, memandangkan kedua-dua kumpulan etnik utama, Han Cina dan Manchu, memakai pakaian yang berbeza. Unit ini akan memulakan dengan melihat corak tradisional, kemudian mempertimbangkan bagaimana besar perubahan sosial dan politik abad kedua puluh mengubah sistem ini. Tamadun China juga terkenal dengan pembinaan tembikar China. Terdapat dua jenis seramik yang menarik dari segi nilai estetika iaitu seramik Seladon (celadonware) yang berasal dari Dinasti Sung dan tembikar biru-putih (blu and white porcelain) yang berasal dari Dinasti Yuan (Mongol) dan Dinasti Ming. Seladon ialah suatu istilah yang digunakan untuk menunjukkan seramik yang mempunyai lapisan kaca berwarna biru hijau atau kelabu hijau serta menyerupai batu permata jed. Tembikar tersebut amat disukai oleh pentadbir Tamadun China. Tembikar biru-putih (blue and white porcelain) berasal dari negara China pada Dinasti Yuan pada abad ke-13 dan juga merupakan tembikar yang sebenar kerana pakar-pakar dari Barat berpendapat bahawa tukang labu Cina menunjukkan kemahiran yang paling tinggi apabila mereka mencipta tembikar (sejenis seramik) yang keras, putih dan juga lutsinar. Perkara tersebut merupakan satu revolusi dalam citarasa masyarakat  Cina. Barang kemas yang popular dalam Tamadun China dikenali sebagai batu Jed. Berdasarkan kepercayaan masyarakat China, batu Jed bagi orang Cina melambangkan kebaikan, keluhuran budi pekerti, kemuliaan dan keindahan. Batu jed merupakan perhiasan yang paling digemari oleh masyarakat China kerana dipercayai dapat melanjutkan usia seseorang dan membawa kesejahteraan hidup kepada pemakainya. Seni perhiasan Tamadun China tersebut masih diamalkan dan berkekalkan sehingga ke hari ini khususnya tembikar China. Tembikar tersebut juga menjadi salah satu tarikan pelancongan di negara China dan dijual dengan harga yang agak mahal. Oleh itu, Tamadun China mempunyai keunikan yang tersendiri dari aspek seni perhiasan.
            Seni penulisan juga merupakan salah satu ciri keunikan Tamadun China. Menurut Ismail Hussien et al. (1997) sejarah kesusasteraan China bermula pada awal abad ke-14 S. M. dan berkembang secara berterusan selama 3000 tahun. Terdapat pelbagai genre sastera Cina seperti puisi, prosa, drama dan fiksyen.  Antologi puisi Cina yang terawal bertajuk Shijing (Klasik Puisi). Antologi ini mengandungi 305 buah nyanyian kuil, nyanyian istana dan nyanyian rakyat. Antara antologi puisi yang terkenal dalam Tamadun China ialah Shijing, Yijing (Klasik Perubahan),Shujing (Klasik Sejarah), Liji (Rekod Ritual) dan Chun Qiu (Klasik Musim Bunga dan Musim Luruh) yang mana sangat dihormati oleh sarjana-sarjana Cina. Puisi yang terkandung dalam Shijing pada asasnya dinyanyikan denga iringan muzik. Puisi dalam Shijing mempunyai fungsi politik dan sosial selain daripada fungsi sastera. Prosa dalam Tamadun China  juga turut menjalankan fungsi yang sama dengan puisi iaitu menjalankan fungsi sosial dan politik. Salah satu tujuan penulisan prosa adalah untuk menyampaikan dao atau menunjukkan jalan atau cara dari segi moral dan etika. Genre Drama Cina berkembang agak lewat. Pada dinasti Yuan (1279-1368). Drama dalam Tamadun China bertujuan mendukung kelakuan baik dan memberi amaran atau berwaspada terhadap perbuatan-perbuatan jahat seperti mana yang ditekankan oleh Konfucius. Fiksyen dalam Tamadun China tidak setanding dengan puisi atau prosa yang selama ini disebabkan cerita-cerita yang ditulis adalah dalam bahasa vernakular maka golongan terpelajar tradisional yang memandang tinggi gaya klasik secara rasmi tidak menganggap fiksyen bernilai untuk diberi taraf sastera. Hasil karya berbentuk fiksyen begitu banyak dicipta dan kebanyakannya merupakan naratif yang panjang. Tetapi beberapa fiksyen mempunyai nilai yang amat tinggi misalnya Honglou  (Mimpi Loteng Merah), yang melukiskan kehidupan dan nasib sebuah keluarga besar pada zaman dinasti Qing. la merupakan sebuah novel dengan pencapaian sangat cemerlang kelihatan dari segi perwatakan dan pelukisan gambaran yang mendalam serta bermaklumat tentang kehidupan dan adat resam orang Cina. Selain itu, terdapat juga fiksyen yang temanya telah diilhamkan oleh catatan agama Buddha. Antara contoh terbaik ialah Xiyou ji, yang menceritakan dengan penuh imaginasi perjalanan seorang sami Cina ke India untuk mendapatkan kitab suci Buddha. Genre kesusasteraan Tamadun China tersebut masih berkekalan sehingga ke hari ini khususnya puisi-puisi yang berkatian dengan nyanyian kuil yang sering digunakan dalam upacara agama Hindu. Salah satu sumbangan penting Tamadun China dalam bidang kesusasteraan yang digunakan sehingga ke hari ini ialah karya Sun Tzu yang bertajuk The Art of War yang telah diulang cetak dalam pelbagai bahasa.  Karya tersebut membicarakan selok belok pperang dan bagaimana cara untuk menangani musuh. Kini, karya tersebut menjadi rujukan dalam mengatur strategi perniagaan. Tuntasnya, seni penulisan Tamadun China mempunyai keunikan yang tersendiri yang menyebabkan seni penulisan tamadun tersebut berbeza dengan penulisan seni tamadun lain.
            Antara keunikan Tamadun China yang masih kekal sehingga kini ialah seni bina tamadun tersebut. Perkara ini dapat dilihat menerusi seni bina Tokong Cheng Hoon Teng yang terletak di negeri Melaka.  Cheng Hoon Teng telah dibina dengan menunjukkan budaya cina, pelbagai seni ketukangan daripada tukang-tukang mahir datang dari China yang telah menunjukkan beberapa kemahiran dan teknik seperti ukiran. Ukiran tersebut terdiri daripada ukiran  patung seperti naga, harimau, singa dan sebagainya yang berperanan untuk menghiasi perkarangan bangunan tersebut atau diukir di dinding-dinding atau atap bangunan tersebut. Penggunaan warna merah yang terdapat dalam tokong tersebut merupakan adalah sama dengan yang terdapat dalam pembinaan bangunan-bangunan utama di Tamadun China. Bahagian atap Tokong tersebut juga mempunyai persamaan dengan Kota Larangan yang terdapat dalam Tamadun China iaitu berbentuk melentik pada bahagian penghujungnya. Senibina Tamadun China juga dapat dilihat menerusi seni bina masjid Tengkera Melaka yang hampir sama dengan menara pagoda dan menunjukkan unsur seni bina Tamadun China di bumbung dan digabungkan dengan tirai dan kisi-kisi berunsur barat. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa seni bina Tamadun China masih dikekalkan sehingga ke hari ini seperti mana yang terdapat dalam Tokong Chen Hoon Teng.
            Menurut Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman et al. (2009), salah ciri Tamadun China yang masih kekal sehingga ke hari ini ialah tulisan tamadun tersebut. Tulisan Tamadun China terhasil menerusi amalan penilikan tulang oracle. Rekahan-rekahan pada tulang tersebut menimbulkan idea masyarakat China pada ketika itu untuk menghasilkan sistem tulisan. Tulisan Tamadun China berbentuk ideogram, iaitu tulisan berbentuk simbol. Tulisan tersebut telah mengalami transformasi mengikut zaman dan menjadi lebih kompleks. Melalui penghasilan sistem tulisan juga, Tamadun China Berjaya memperkembang bidang kesusasteraannya. Menurut Muhammad Yusof Hashim (1989), tulisan China tersebut telah menjadi asas kepada pembentukan sistem tulisan tamadun-tamadun lain yang terletak berhampiran dengan Tamadun China ialah Tamadun Jepun dan Tamadun Korea. Tulisan tamadun tersebut masih digunakan sehingga ke hari ini terdapat di negara China dan dikenali sebagai tulisan Pin Yin. Deduksinya, sistem tulisan Tamadun China telah bertahan dalam suatu jangka masa yang lama kerana masih kekal dan di amalkan sehingga ke hari ini. Hal ini jelas membuktikan bahawa Tamadun China telah memiliki tahap ketamadunan yang tinggi menerusi penciptaan sistem tulisan untuk penyebaran ilmu pengetahuan.
            Sistem peperiksaan awam yang kekal sehingga ke hari ini merupakan salah satu ciri keunikan Tamadun China. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman et al. (2009) menyatakan bahawa dalam Tamadun China, matlamat pendidikan adalah untuk lulus peperiksaan awam kerajaan. Peperiksaan awam dalam Tamadun China terbahagi kepada tiga tahap, iaitu tahap pertama Hsiu Tai, tahap kedua Chun Jen, dan Tahap ketiga Chin Shih. Tahap pertama setaraf dengan ijazah tahap pertama, tahap kedua setaraf dengan sarjana manakala tahap ketiga setaraf dengan doktof falsafah dalam konteks sistem pendidikan moden kini. Peperiksaan tahap pertama dijalankan di daerah, tahap kedua di ibu kota dan tahap ketiga di ibu kota empayar yang bertempat di istana yakni di hadapan maharaja. Sistem peperiksaan yang diperkenalkan oleh Tamadun China telah digunakan dalam kebanyakan sistem pendidikan negara lain pada masa kini. Dalam konteks Malaysia, peperiksaan awam yang dilaksanakan ialah Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Kesimpulannya, sistem peperiksaan yang terdapat di negara kita merupakan aplikasi sistem peperiksaan yang terdapat dalam Tamadun China.
            Secara keseluruhan, Tamadun China mempunyai keunikan tersendiri  yang menyebabkan tamadun tersebut mempunyai perbezaan dengan tamadun yang lain. Keunikan tamadun China dapat dilihat menerusi aspek seni bina, seni muzik, seni perhiasan dan seni penulisan. Sebahagian daripada keunikan Tamadun China masih berkekalan sehingga ke hari ini yang menjadi salah satu daya tarikan terhadap aktiviti pelancongan di negara China khususnya Tembok Besar China. Perkara tersebut juga jelas membuktikan bahawa masyarakat Tamadun China pada suatu ketika dahulu telah mencapai satu tahap ketamadunan yang tinggi. Keunikan Tamadun China tersebut seharusnya dikekalkan oleh masyarakat China pada masa kini agar keunikan tidak pupus ditelan zaman. Perkara tersebut juga perlu dikekalkan agar generasi muda tidak lupa akan sejarah ketamadunan bangsa mereka.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran