Faktor Mempengaruhi Interaksi antara Kepelbagaian Tamadun di Asia

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Menurut Mohd Mokhtar Shafie (1986), interaksi antara tamadun yang terdapat  di Asia seperti Tamadun Islam, Tamadun China dan Tamadun India telah lama berlaku atas beberapa faktor dan tujuan tertentu. Melalui interaksi yang dilakukan, tamadun-tamadun tersebut mengasimilasikan pelbagai aspek politik, ekonomi dan sosial yang terdapat sesebuah tamadun ke dalam tamadun tersebut. Perkara tersebut adalah penting bagi sesebuah tamadun ke arah meningkatkan tahap ketamadunan tamadun tersebut sama ada dari segi lahiriah mahupun rohaniah. Hal ini dapat dilihat menerusi pencapaian setiap tamadun tersebut dalam pelbagai bidang seperti bahasa, kesusasteraan, keagamaan, sains dan teknologi, perubatan dan lain-lain. Sebagai tamsilan, interaksi antara Tamadun India dengan Tamadun China telah menyebabkan agama Buddha tersebar . Hal ini bermakna, interaksi antara tamadun mendatangkan implikasi terhadap tamadun tersebut. Interaksi berlaku melalui proses cara yang berbeza. Interaksi antara tamadun adalah penting kerana merupakan asas kepada persefahaman dan kerjasama antara tamadun. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi interaksi antara kepelbagaian tamadun di Asia.
       Azam Hamzah dan Zuleikha Yusoff (1990) menyatakan bahawa kepimpinan merupakan faktor utama yang memainkan peranan penting dalam proses interaksi antara kepelbagaian tamadun di Asia. Hal ini bermakna, sifat seseorang pemimpin sesebuah tamadun akan mempengaruhi interaksi tamadun yang lain. Pemimpin sesebuah tamadun memainkan peranan utama dalam memastikan interaksi yang wujud antara tamadun tersebut dengan tamadun yang lain berada dalam keadaan yang aman. Proses interaksi akan berlaku dalam keadaan aman dan damai seandainya pemimpin dalam sesebuah tamadun tersebut mengamalkan ciri-ciri kepimpinan yang baik seperti bersifat adil, bertoleransi dan menghormati kebudayaan tamadun yang lain dalam melakukan pemerintahan (Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman et al., 2009). Perkara ini dapat dilihat menerusi kepimpinan Nabi Muhammad SAW semasa memerintah Tamadun Madinah. Baginda tidak menyekat hak dan kebebasan orang Yahudi dan Kristian dalam memilih agama yang hendak dianuti serta menjalankan kegiatan ekonomi seperti mana yang terkandung dalam Piagam Madinah. Perkara sebaliknya pula akan berlaku sekiranya pemimpin dalam sesebuah tamadun tidak mengamalkan ciri-ciri kepimpinan yang baik. Hal ini dapat dibuktikan dalam Tamadun India yang mana sikap tidak bertoleransi Sultan Shamsuddin Altamish di India terhadap penganut Hindu sehingga menyebabkan penganut Hindu tersebut memberontak. Intihanya, kepimpinan dalam sesebuah tamadun merupakan faktor utama yang mempengaruhi interaksi antara kepelbagaian tamadun di Asia.
            Faktor seterusnya yang mempengaruhi interaksi antara kepelbagaian tamadun di Asia ialah  faktor keagamaan (Munif Zarirruddin Fikri Nordin, 2004). Hal ini demikian kerana, kebanyakan agama yang wujud di dunia kecuali Yahudi dan Shinto, berusaha untuk mengembangkan agama yang terdapat dalam tamadun mereka dengan tujuan agar penganut bagi agama tersebut meningkat. Dalam hal ini, golongan agama merupakan individu yang memainkan peranan yang penting dalam penyebaran agama. Golongan agama menjadi penentu kepada kehidupan beragama secara harmoni di mana kerukunan hidup bersama-sama insan yang mempunyai agama yang berbeza diterapkan.  Berdasarkan pernyataan tersebut, golongan agama yang terdapat dalam sesebuah tamadun akan menyebarkan agama tamadun mereka kepada tamadun yang lain sehingga agama tamadun tersebut berkekalan. Dalam  konteks Tamadun Islam, golongan agama merupakan para ulama manakala dalam konteks Tamadun India yang berteras kepada agama Hindu, minoriti kasta Brahmin menjadi tunggak kepada agama. Sebagai contoh, interaksi antara Tamadun India dan China berlaku disebabkan oleh aktiviti penyebaran agama Hindu. Keadaan tersebut telah mengakibatkan agama Hindu yang berasal daripada Tamadun India bertapak kukuh dalam Tamadun China. Deduksinya, faktor keagamaan merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi interaksi antara kepelbagaian tamadun di Asia seperti mana yang berlaku antara Tamadun India dan Tamadun China.
        Menurut Abdul Rahman Abdullah (2000), perkembangan ilmu pengetahuan juga turut menyumbang ke arah interaksi antara pelbagai tamadun di Asia. Hal ini demikian kerana, setiap tamadun melakukan interaksi antara satu dengan lain untuk memperkembang dan membangunkan tamadun tersebut. Faktor tersebut juga disokong oleh sifat keterbukaan rakyat dan pemerintah sesebuah tamadun dalam menerima pembaharuan yang dibawa oleh tamadun lain. Perkara tersebut adalah perlu untuk meningkatkan tahap ketamadunan sesebuah tamadun. Sebagai tamsilan, menerusi interaksi antara Tamadun Jepun dan Tamadun China, beberapa ciptaan sains dan teknologi Tamadun China berkembang dalam Tamadun Jepun. Antara ciptaan tersebut ialah teknologi pembuatan kertas, bahan letupan, percetakan, kompas dan sebagainya. Menerusi interaksi antara Tamadun China dan Jepun, tulisan-tulisan kaligrafi China telah memperkembang tradisi sistem tulisan Tamadun Jepun sehingga menyebabkan tulisan tersebut menjadi medium komunikasi sosial dan penciptaan kesenian yang mana banyak membantu perkembangan tradisi keintelektualan Tamadun Jepun. Konklusinya, perkembangan ilmu pengetahuan dalam sesebuah tamadun mempengaruhi interaksi kepelbagaian tamadun di Asia khususnya Tamadun China dan Tamadun Jepun.
       Mohd Taib Osman dan A. Aziz Deraman (2000) menyatakan bahawa aktiviti perdagangan merupakan faktor terawal yang mempengaruhi interaksi antara kepelbagaian tamadun di Asia. Perkara tersebut dapat dilihat menerusi hubungan perdagangan antara masyarakat Arab dan masyarakat China yang dikatakan telah berlaku sejak abad ketiga Masihi lagi apabila dilaporkan dalam utusan Arab yang pertama dihantar ke istana kerajaan Wei. Menurut catatan China, kapal-kapal China telah berlayar sehingga ke Teluk Parsi dan berdagang di Pelabuhan Siraf pada abad kelima (Mahayudin Haji Yahya, 1987). Tedapat juga hubungan perdagangan antara Tamadun Islam dengan Tamadun India. Ismail Hussien et al. (1997) menyatakan bahawa masyarakat Arab telah berlayar di lautan Hindi untuk menubuhkan wilayah perdagangan di pantai barat India yang dikenali sebagai Malabar pada masa kini. Dalam konteks Alam Melayu, salah satu faktor yang membawa ke arah kemasyhuran sesuatu tamadun ialah aktiviti perdagangan. Misalnya, ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511) pedagang-pedagang daripada Arab, India dan China mengungjungi Melaka untuk menjalankan aktiviti perniagaan. Aktiviti perdagangan sebagai faktor interaksi tamadun dapat dibuktikan melalui penulisan sejarah pada zaman dinasti Song seperti buku Zhu Fan Zhi (Perihak Negeri-negeri Asing) yang menyatakan bahawa Tamadun China dan Tamadun Alam Melayu saling melengkapi antara satu dengan lain dalam hubungan perniagaan. Oleh itu, aktiviti perdagangan mempengaruhi interaksi antara kepelbagaian tamadun di Asia.
       Kedudukan geografi sesebuah tamadun yang strategik juga merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi interaksi antara kepelbagaian tamadun di Asia (Ahmad Nazri Abdullah, 1995). Kedudukan geografi sesebuah tamadun yang strategik kerana memberi kemudahan perhubungan antara sesebuah tamadun serta menjadi laluan utama dalam aktiviti perdagangan. Sejarah telah membuktikan bahawa kedudukan geografi memainkan peranan penting dalam mempengaruhi faktor interaksi tamadun. Perkara ini dapat dilihat menerusi interaksi Tamadun China dengan tamadun Asia yang lain. Sebagai contoh, Tamadun China berinteraksi dengan pelbagai tamadun lain kerana terdapat dua laluan utama iaitu laluan sutera yang menggunakan jalan darat dan laut.  Laluan sutera darat menghubungkan China dengan Khurasan, Samarqand, Xinjiang hingga ke Peking.  Manakala, laluan laut pula merentasi Laut Arab ke benua kecil India, Kepulauan Melayu hingga ke Canton di Tenggara China.  Dapatlah dilihat bahawa kedua-dua laluan tersebut membolehkan tamadun-tamadun yang terlibat berinteraksi dan menjalankan aktiviti perdagangan.  Pelabuhan Melaka juga terkenal kerana kedudukan geografinya yang strategik dan terlindung dari angin monsun.  Perkara tersebut menyebabkan pelabuhan Melaka menjadi tumpuan dan persinggahan para pedagang.  Deduksinya, kedudukan geografi yang strategik turut mempengaruhi interaksi antara tamadun di Asia.
      Menurut Abdullah Alwi Hassan (2000), faktor misi politik juga menpengaruhi interaksi antara kepelbagaian tamadun di Asia dalam keadaan yang harmoni. Perkara tersebut dapat dilihat menerusi hubungan diplomatik antara Tamadun Melayu dengan Tamadun China. Sebagai tamsilan, hubungan diplomatik antara kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dengan Tamadun China berlaku sejak tahun 1404 M seperti mana yang tercatat dalam sejarah Melaka.  Tujuan Melaka mengadakan hubungan diplomatik ini adalah untuk mendapatkan perlindungan daripada Tamadun China bagi mengelakkan ancaman Siam. Persetujuan Cina terbukti dengan penghantaran Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam ke Melaka. Dasar perlindungan Tamadun China terhadap negeri-negeri di rantau Alam Melayu secara tidak langsung menggalakkan Islamisasi di rantau Alam Melayu. Perlindungan ini juga memberikan impak yang sama kepada negeri-negeri di Kepulauan Melayu yang lain seperti Kedah, Johor, Kampar dan sebagainya. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa faktor misi politik juga memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi interaksi Tamadun di Asia seperti mana yang berlaku dalam kerajaan Melaka dan Tamadun China.
       Perkahwinan juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi  interaksi antara tamadun-tamadun di Asia. Perkara tersebut secara jelas dapat dilihat menerusi lembaran sejarah dan salasilah masyarakat di rantau Alam Melayu. Menurut Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman et al. (2009), masyarakat yang wujud di rantau Alam Melayu telah menjalinkan interaksi dengan pedagang Arab sehingga terdapat sebahagian pedagang tersebut berkahwin dengan gadis tempatan kerana telah bermukim di pelabuhan Alam Melayu dalam beberapa waktu sementara menunggu perubahan angin monsun. Keadaan tersebut telah menjurus ke arah proses Islamisasi kerana bagi membolehkan wanita tempatan berkahwin dengan pedagang Arab yang beragama Islam, wanita tersebut mesti diislamkan terlebih dahulu. Sejarah turut mencatatkan, perkahwinan ini tidak sahaja mengislamkan gadis tempatan yang dikahwini pedagang Arab, tetapi kaum keluarga gadis turut menerima Islam. Selain itu, perkahwinan bukan sahaja berlaku di kalangan rakyat jelata, malah juga berlaku di kalangan golongan bangsawan dan pemerintah. Sebagai contohnya, perkahwinan Megat Iskandar Shah dengan Puteri Pasai. Ringkasnya, interaksi antara tamadun di Asia dipengaruhi oleh faktor perkahwinan.
      Secara keseluruhan, interkasi antara sesebuah tamadun dengan tamadun yang lain telah lama wujud di Asia. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi interaksi antara kepelbagaian tamadun di Asia. Interaksi antara tamadun adalah perlu ke arah memperkembang dan membangunkan sesebuah tamadun. Hal ini demikian kerana, tamadun-tamadun tersebut saling melengkapi antara satu dengan lain. Interaksi antara tamadun juga dilihat sebagai medium untuk meningkatkan tahap ketamadunan sesebuah tamadun melalui pertukaran teknologi. Oleh yang demikian, interaksi antara kepelbagaian tamadun di Asia tersebut seharusnya diaplikasikan dalam konteks dunia modenisasi kini kerana interaksi tersebut mendatangkan pelbagai implikasi yang positif terhadap sesebuah negara.

Ulasan

  1. penulisam yang menarik, tapi kalau ada sumber rujukan yang dicitation kan ia lebih baik lagi

    BalasPadam
  2. apekah interaksi antara tamadun islam dan tamadun india

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran