Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi
Seperti mana yang diketahui umum bahawa dalam bidang sains dan teknologi, hanya perkataan-perkataan daripada Bahasa Inggeris yang digunakan untuk membina atau menghasilkan sesuatu penemuan atau penciptaan yang baru khususnya dalam bidang perubatan. Oleh hal yang demikian, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah berusaha dan memainkan peranan yang sangat penting bagi memperkaya bahasa kebangsaan kita iaitu Bahasa Melayu supaya lebih banyak perkataan daripada Bahasa Melayu dihasilkan di dalam bidang-bidang yang pesat berkembang sperti bidang sains dan teknologi

Memajukan bakat kesusasteraan terutama dalam bahasa kebangsaan
Menurut Berita Harian, DBP menggiatkan program dari semasa ke semasa iaitu Minggu Penulis Remaja dengan motif melahirkan dan memupuk penulis muda. Program ini juga bertujuan melahirkan pewaris ilmu kesusasteraan pada masa depan. Dalam usaha memperkasakan ilmu kesusasteraan ini, DBP sekali lagi menggunakan kaedah penganugerahan bagi menggalakkan sasterawan-sasterawan menceburi bidang ini. Kepentingan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah begitu penting sehingga ia diiktiraf oleh jabatan kerajaan sebagai Badan Berkanun melalui Akta Parlimen pada tahun 1959 dalam memantapkan lagi pengembangan bahasa sastera. Begitu juga dengan pengaturan rancangan memupuk bahasa sastera dengan baik.

Mencetak / menerbitkan / membantu usaha percetakan atau penerbitan buku-buku, risalah-risalah dan lain-lain bentuk persuratan dalam bahasa kebangsaan
Pihak DBP merupakan sebuah organisasi yang begitu penting dalam industri percetakan dan penerbitan buku-buku, risalah-risalah, kamus-kamus, serta pelbagai bentuk bahan ilmiah kerana ia merupakan salah sebuah organisasi penerbitan yang terbesar di Malaysia. Pihak DBP telah banyak mencetak dan menerbitkan buku-buku untuk sekolah-sekolah seperti buku teks dan buku rujukan yang merupakan bahan ilmiah yang sangat penting bagi pelajar-pelajar sekolah rendah mahupun sekolah menengah. DBP juga bergiat aktif dalam menerbitkan buku-buku kesusasteraan Bahasa Melayu mahupun dalam Bahasa Inggeris. Ini bermakna peranan yang dimainkan oleh DBP adalah sangat penting dan ia juga memberi impak yang baik dalam bidang kesusasteraan, pendidikan dan juga industri percetakan Negara. Menurut Bekas Menteri Kehakiman Malaysia, Dato’ Dr. Sulaiman Hj. Daud (1990:1) bahawa Dewan Bahasa dan Pustakan (DBP) sejak 20 tahun lalu berjaya menerbitkan tidak kurang daripada 50 judul buku undang-undang Bahasa Melayu. Ini menunjukkan DBP juga bertindak sebagai medium penterjemahaan karya-karya asing.
Maka ilmu dari luar dapat diadaptasikan dalam Bahasa Melayu bagi memperkayakan perbendaharaannya. Dalam masa yang sama DBP juga memerlukan penglibatan para sarjana, pengkritik dan pemantau bahasa, agar buku-buku terbitan DBP dapat dianalisa dan diberi ulasan-ulasan fragmentasi atau resensi buku, agar orang ramai akan dapat menikmati dan memahami intipati buku-buku yang diterbitkan oleh DBP.

Membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan
Pelaksanaan dasar bahasa yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah, menengah dan peringkat institusi pengajian tinggi menggerakkan kegiatan peristilahan yang didukung oleh DBP. Banyak Jawatankuasa Istilah (JKI) telah ditubuhkan oleh DBP dengan kerjasama institusi pengajian tinggi awam untuk mengumpul, membentuk dan menyebar luas istilah bahasa Melayu dalam bidang sains asas dan sains gunaan. Perubahan ini menyaksikan perancangan korpus bahasa Melayu berkembang dengan cepat sekali.

Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul
Seperti mana yang sedia maklum, tidak ramai atau hanya segelintir sahaja daripada rakyat Malaysia yang menggunakan Bahasa Melayu dengan betul. Majoriti daripada mereka menggunakan Bahasa Melayu yang tidak betul. Sebagai contoh yang paling ketara ialah rakyat Malaysia menggunakan bahasa pasar sebagai bahasa percakapan harian mereka. Bukan sahaja sebagai bahasa percakapan harian, malah notis-notis ataupun risalah-risalah awam yang diedarkan kebanyakannya tidak menggunakan Bahasa Melayu yang betul seperti risalah-risalah ataupun poster-poster untuk konsert dan promosi kompleks-kompleks beli-belah. Oleh hal yang demikian, pihak DBP perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk mengatasi masalah yang telah berleluasa hingga ke hari ini seperti mewujudkan buku-buku dan risalah-risalah dan akhbar-akhbar yang menggunakan dan memperbetulkan penggunaan Bahasa Melayu yang tidak betul di kalangan rakyat Malaysia. Walaupun DBP menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan namun setelah masa beredar melangkaui peredaran zaman kini banyak pecampuran bahasa seperti bahasa rojak yang sedang menular dalam masyarakat masa kini. Oleh itu, dengan adanya DBP masalah penyalahgunaan bahasa ini dapat dibendung. Disamping itu, keaslian bahasa kebangsaan ini tidak dicemar. Begitu juga dengan penggunaan bahasa singkatan. Contohnya, singkatan bagi sungai, bukit, jalan dan sebagainya. Penggunaan singkatan ini memudahkan penulis surat bagi alamat dan kawasan.

Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa
Dalam usaha memperkembangkan bahasa Melayu DBP melaksanakan pelbagai program melalui fungsi pengukuhan dasar bahasa kebangsaan, pemantauan, pemupukan, penataran, pekhidmatan dan penyebaran. Pelbagai kegiatan dilaksanakan melalui fungsi-fungsi ini bagi memastikan kedudukan bahasa Melayu terus menjadi mantap sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa perpaduan negara Malaysia.  Di sinilah peranan yang dimainkan oleh DBP sangat penting ke arah memasyarakatkan secara meluas penggunaan bahasa Melayu dengan pendekatan dan kaedah yang menarik dan selaras dengan perkembangan teknologi info-telekomunikasi. Daripada kaedah biasa dan stereotaip yang sering digunakan, DBP perlu meneroka pendekatan baru melalui industri kreatif, media sosial dan elektronik mengadakan program pembelajaran bahasa Melayu dan menghasilkan promo, iklan, drama dan sitkom televisyen serta radio yang bersangkutan dengan bahasa Melayu.

Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi yang cekap dan berkesan dalam semua bidang
Bidang yang dimaksudkan ialah bidang pentadbiran negara, bidang pengajian tinggi, dan dalam kegiatan yang maju serta kompleks seperti kegiatan intelektual, kegiatan kebudayaan, ekonomi dan perdagangan. Masalah yang timbul ialah terdapat golongan yang berpandangan bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa yang maju dan bersifat saintifik. Tetapi kita jangan lupa bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua franca suatu ketika dahulu yang dituturkan dan digunakan sebagai bahasa komunikasi oleh golongan pedagang, golongan agama dan golongan pemodal di nusantara ini. Bahasa Melayu kini telah dituturkan oleh masyarakat di negara ini sebagai bahasa komunikasi, bahasa perpaduan dan sebagainya.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran