Pengenalan kepada Pendidikan Inklusif


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Azad Athahiri Anuar dan Norsayyidatina Che Rozubi (2010) menyatakan bahawa pendidikan adalah hak asasi bagi setiap murid dan dari segi falsafahnya, semua murid mempunyai hak untuk menikmati proses pembelajaran dan pemudahcaraan untuk meningkatkan potensi diri masing-masing. Signifikan dengan pernyataan tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) telah meletakkan akses sebagai salah satu aspirasi sistem pendidikan negara. Dalam konteks Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025), akses menetapkan bahawa setiap kanak-kanak warganegara Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing.  Berdasarkan pernyataan tersebut, pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif merupakan salah satu langkah proaktif yang diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mewujudkan kesamarataan peluang pendidikan.
       Menurut Ragbir Kaur Joginder Singh (2013), Program Pendidikan Inklusif secara amnya adalah suatu program pendidikan yang mengintegrasikan murid-murid berkeperluan khas ke dalam bilik darjah aliran perdana. Pengintegrasian tersebut membolehkan murid-murid berkeperluan khas berpeluang menikmati segala kemudahan pembelajaran dan pemudahcaraan dalam keadaan normal seperti murid-murid yang lain tanpa mengira status.  Program Pendidikan Inklusif merupakan salah satu medium pembelajaran dan pemudahcaraan bagi murid-murid berkeperluan khas. Murid-murid berkeperluan khas dapat diklasifikasikan kepada beberapa kategori iaitu masalah pendengaran, masalah penglihatan dan masalah pembelajaran. Dalam pada itu, murid-murid berkeperluan khas yang boleh mengikuti Program Pendidikan Inklusif hendaklah menguasai asas kemahiran membaca, menulis dan mengira, mampu mengikuti arahan, tidak mempunyai masalah tingkah laku dan boleh berkomunikasi dengan baik. Oleh yang demikian, pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif amatlah penting untuk meningkatkan penyertaan dan memberikan peluang kepada murid berkeperluan khas menyertai program akademik dan bukan akademik bersama-sama murid normal di arus perdana.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran