Jenis Kemahiran Membaca
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Individu yang
dapat menguasai kemahiran membaca berkeupayaan untuk mengamati, mengingat,
mendengar dan membezakan bunyi dengan tepat dan jelas, menyebut lambang huruf
yang mewakili bunyi-bunyi tertentu, menggabungkan bunyi untuk membentuk
perkataan dan memindahkan lambang-lambang yang dibaca itu kepada sistem
kognitif untuk difahami dan ditafsirkan.
Niles (1963) telah mengemukakan tiga
kemahiran membaca yang jelas membezakan antara pembaca yang berjaya memahami
dengan baik dan sebaliknya. Kemahiran pertama ialah kemahiran mencari dan
memahami perhubungan antara idea dalam ayat-ayat tunggal, perenggan dan petikan
yang berbeza panjangnnya. Idea dalam teks berkaitan antara satu dengan lain
dalam pelbagai cara seperti membanding dan membeza, sebab dan akibat dan mengaitkan isi pokok dengan huraian
tertentu. Kemahiran kedua ialah menetapkan tujuan-tujuan dalam bacaan dan
ketiganya menggunakan sepenuhnya pengalaman lampau apabila mempelajari bahan
baharu.
Pendapat umum mengatakan kebanyakan
murid didapati tidak berupaya untuk menguasai kemahiran membaca dan memahami
secara berkesan di sekolah pada hari ini. Mereka tidak dapat memahami teks
pelajaran, sama ada dalam mata pelajaran bahasa atau mata pelajaran yang lain
disebabkan oleh penguasaan kemahiran membaca yang lemah. Salah satu punca
mengapa masalah tersebut berlaku adalah kerana murid tidak mempraktikan teknik
dan kaedah membaca yang betul. Dalam erti kata yang lain, murid mengabaikan
strategi membaca yang sesuai dengan bahan yang dibaca dan tujuan pembacaan
dilakukan. Secara amnya, kemahiran membaca dapat dibahagikan kepada dua seperti
yang berikut:
Kemahiran
Membaca Aktif
Menurut Siti
Hajar Abdul Aziz (2011), kemahiran membaca aktif melibatkan kemahiran membaca
dengan tujuan tertentu. Sebelum memulakan bacaan, pembacaan telah pun mempunyai
idea dalam usaha untuk memperoleh maklumat yang dicari. Kemahiran membaca jenis
ini melibatkan aktiviti yang berikut:
i. Menumpukan
perhatian kepada soalan, iaitu pembaca akan sentiasa mengingatkan diri sendiri
tentang tujuan pembacaan. Dengan cara
ini, pembaca dapat menjimatkan masa dengan membaca perkara yang berkaitan
sahaja. Pembaca juga akan mengenal pasti hujah yang relevan bagi menyokong
ideanya.
ii.
Menggunakan
jadual atau senerai kandungan bagi mendapatkan maklumat yang berkaitan secara
cepat.
iii. Menggunakan
beberapa minit untuk melihat sepintas lalu bab atau artikel yang dibaca dengan
melihat abstrak, senarai objektif, tajuk, subtajuk, pengenalan dan kesimpulan.
Dalam hal ini, pembaca tidak mengambil sebarang nota, tetapi hanya membuat
imbasan tentang perkara tersebut.
iv. Mengelompokkan
maklumat yang khusus dan spesifik secara bersama. Untuk melakukan perkara ini
pembaca perlu menggerakkan mata secara pantas pada setiap halaman sehingga
menemukan bahagian yang berkaitan, melihat kata kunci dan hujah serta kesimpulan
yang dibuat oleh penulis.
v. Mengambil
nota daripada bahan yang dibaca. Pembaca perlu bijak memilih maklumat yang
berkaitan sahaja, kenal pasti hujah utama, hujah sampingan dan bukti
menyokongnya, bertindak balas terhadap bahan yang dibaca, sama ada bersetuju
atau menolak serta mengemukakan soalan-soalan dan gunakan pen lut sinar untuk
menandakan maklumat yang dikehendaki.
Kemahiran
Membaca Kritikal
Siti Hajar Abdul
Aziz (2011) menyatakan bahawa tujuan membaca kritikal adalah untuk memperoleh pemahaman
mendalam tentang bahan yang dibaca. Oleh yang demikian, pembacaan kritikal
melibatkan pembacaan yang mendalam. Pembaca boleh mengemukakan soalan kepada
diri sendiri bagi memperoleh pemahaman seperti adakah penulis menyokong
kenyataan dan pendapatnya dengan bukti yang sebenar dan adakah alasan yang
diberikannnya itu logik.
Selain itu, pembaca juga perlu
mencatat nota dan menggariskan maklumat penting. Oleh itu, kemahiran membaca
ini berbeza dengan scanning kerana
teknik scanning hanya memfokuskan kata-kata
kunci, iaitu kata-kata yang menjadi pokok perbahasan dalam teks tersebut. Jenis
kemahiran membaca yang berfokus kepada kaedah dan cara membaca sesuatu teks
pula dijelaskan seperti yang berikut:
(a) Membaca Perlahan
Membaca secara perlahan
tidak mementingkan jumlah bahan yang dibaca, sebaliknya merujuk kepada latihan
bagi meningkatkan kefasihan atau kefahaman dan untuk hiburan. Membaca perlahan
mengurangkan kadar bacaan seseorang, terutamanya jika bahanyang dibaca agak
sukar. Membaca perlahan dalam kritikan kesusasteraan kadang kala dirujuk
sebagai bahan bacaan tertutup atau dikatakan sebagai membaca secara mendalam.
Membaca perlahan berlawanan dengan membaca pantas disebabkan membaca pantas
melibatkan teknik membaca bagi meningkatkan kadar bacaan tanpa memberikan kesan
kepada kefahaman.
(b) Membaca Pantas
Membaca pantas merupakan
satu teknik bacaan yang digunakan oleh seseorang individu bagi mendapatkan
maklumat dengan cepat daripada bahan yang dibacanya. Pembaca yang berbeza akan
menggunakan kaedah membaca pantas mengikut cara mereka sendiri. Antara cara
yang digunakan seperti mengenal pasti perkataan tanpa berfokus pada huruf demi huruf, tidak membunyikan kesemua huruf
atau frasa yang terdapat dalam teks, mengurangkan tumpuan membaca sesetengah
frasa berbanding dengan yang lain dan mengimbas bahagian-bahagian tertentu.
Membaca pantas dicirikan berdasarkan analisis antara ukuran kepantasan membaca
dengan kefahaman. Kebiasaannya, teks yang dicetak tebal menandakan bahawa
pembaca perlu memberikan fokus terhadap teks tersebut. Pembaca tidak semestinya
perlu membunyikan perkataan tersebut, tetapi membacanya sebagai satu imej yang
lengkap. Skimming, merupakan proses
membaca pantas yang kerap digunakan dengan memfokus mata pada ayat-ayat dalam teks atau idea-idea pokok
sebagai gagasan utama yang memberikan makna. Cara tersebut sesuai digunakan
bagi mendapatkan idea keseluruhan sesuatu teks.
(c) Membaca Tanpa Suara
Membaca tanpa suara juga
dikenali sebagai bacaan senyap atau bacaan dalaman. Cara ini digunakan apabila
pembaca membaca perkataan yang mengkehendakinya membayangkan bunyi perkataan
tersebut semasa membacanya. Perkara tersebut merupakan proses semula jadi
semasa membaca dan dapat membantu pembaca mengurangkan beban kognitif, di
samping membantu minda mengakses makna untuk pemahaman dan mengingati teks yang
dibaca. Setakat ini, tiada kajian yang menunjukkan membaca tanpa suara
memberikan kesan negatif dalam proses membaca, sebaliknya perkara tersebut
dapat meningkatkan kadar peringatan dan pemahaman terhadap teks.
Ulasan
Catat Ulasan