Contoh Penulisan Refleksi Pengajaran Mikro
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Saya telah
melaksanakan pengajaran mikro bersama rakan kumpulan saya bagi mata pelajaran
Matematik (SK). Sesi pengajaran mikro yang telah dilaksanakan adalah untuk
memenuhi tugasan kursus elektif teras iaitu MTES3182 Pengajaran Sukatan,
Geometri dan Perwakilan Data yang mana mengekehendaki siswa pendidik untuk
melaksanakan satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran berdasarkan resos pembelajaran
yang telah disediakan seperti mana yang terdapat dalam Rancangan Pengajaran
Harian secara berkumpulan. Pada sesi pengajaran dan pembelajaran tersebut, saya
telah memilih tajuk panjang di bawah bidang sukatan bagi murid Tahun 1.
Standard Pembelajaran yang telah dipilih ialah 6.1 Menggunakan
Unit Relatif untuk Mengukur Panjang. Setelah selesai melaksanakan sesi
pengajaran mikro, saya telah melakukan sesi perbincangan bersama dengan ketua
panitia dan guru mata pelajaran Matematik di sekolah tersebut untuk mengenal
pasti aspek kekuatan, kelemahan dan cadangan penambahbaikan terhadap aktiviti
pengajaran mikro yang dilaksanakan.
Berdasarkan
sesi perbincangan yang telah dilaksanakan, antara kekuatan yang telah dikenal
pasti terhadap pelaksanaan langkah pengajaran dan pembelajaran seperti mana
yang terdapat dalam Rancangan Pengajaran Harian ialah aktiviti pengajaran dan
pembelajaran yang telah laksanakan selaras dengan prinsip pembelajaran iaitu
pembelajaran seharusnya bermula daripada mudah kepada sukar. Perkara tersebut
bertepatan dengan teori perkembangan kogntif Jean Piaget yang mana menegaskan
bahawa pembelajaran kanak-kanak seharusnya bermula daripada kemahiran yang
mudah kepada yang sukar (Wong Kiet Wah et al., 2013). Hal ini demikian kerana,
murid pada peringkat sekolah rendah berada pada peringkat operasi konkrit yang
mana tidak dapat menaakul secara abstrak. Berdasarkan Rancangan Pengajaran
Harian yang telah dihasilkan, langkah-langkah pengajaran yang telah ditetapkan
disusun daripada yang mudah kepada sukar berdasarkan Standard Pembelajaran
seperti mana yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran
Matematik Tahun 1 Sekolah Kebangsaan. Sebagai contoh, aktiviti pengajaran dan
pembelajaran pada Langkah 1 dalam Rancangan Pengajaran Harian dirancang
berdasarkan Standard Pembelajaran yang
mudah iaitu Membuat pengukuran objek
menggunakan unit bukan piawai menerusi aktiviti mengukur kepanjangan pokok
yang ditayangkan menerusi paparan slaid dengan menggunakan jengkal. Pada
langkah pembelajaran yang berikutnya, aras kesukaran bagi aktiviti pengajaran
dan pembelajaran bertambah kerana memerlukan murid mengaplikasi konsep yang
telah dipelajari pada langkah sebelumnya. Deduksinya, aktiviti pengajaran dan
pembelajaran yang telah dilaksanakan selaras dengan teori perkembangan kognitif
jean Piaget yang menekankan pembelajaran seharusnya bermula daripada perkara
mudah kepada yang lebih kompleks.
Penggunaan
resos pembelajaran yang bersesuaian juga merupakan salah satu kekuatan sesi
pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan. Dalam hal ini, resos
pembelajaran yang telah digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran
meningkatkan tahap kefahaman murid terhadap isi pelajaran yang guru sampaikan. Menurut
Ragbir Kaur Joginder Singh (2013), penggunaan resos pembelajaran yang
bersesuaian adalah fundamental bagi memperkukuh kefahaman murid terhadap
sesuatu konsep terutamanya konsep yang abstrak. Berdasarkan pernyataan
tersebut, teknik serta kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dimplementasikan
oleh guru bukanlah penentu berlakunya suatu proses pengajaran dan pembelajaran
yang bermakna dan efektif tanpa penggunaan resos pembelajaran yang sesuai.
Perkara ini signifikan dengan pernyataan Mok Soon Sang (2009) iaitu resos
pembelajaran yang digunakan oleh guru untuk membantu guru tersebut melaksanakan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang bermakna di dalam bilik darjah. Dalam
konteks sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan salah satu
resos pembelajaran yang digunakan ialah riben. Penggunaan resos pembelajaran
tersebut membolehkan murid mengetahui cara untuk mengukur sesuatu benda dengan
menggunakan unit bukan piawai. Konklusinya, resos pembelajaran yang telah
digunakan adalah bersesuaian kerana membantu murid dalam pembinaan konsep.
Kekuatan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang seterusnya ialah mengimplementasikan
penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran. Pengaplikasian teknologi maklumat dan komunikasi dalam konteks
pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah adalah signifikan dengan
salah satu aspek Elemen Merentas Kurikulum dalam Dokumen Standard Kurikulum dan
Pentaksiran Matematik Tahun 1 Sekolah Kebangsaan iaitu teknologi maklumat dan
komunikasi (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2010). Penggunaan resos
pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi dapat meningkatkan
minat murid terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran yang guru laksanakan.
Perkara ini bertepatan dengan pernyataan Noraiti A. Rashid et al. (2012) yang
menegaskan bahawa penggunaan resos pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan
komunikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran meningkatkan motivasi murid
untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru.
Sebagai tamsilan, terdapat pelbagai resos pembelajaran berasaskan teknologi
maklumat dan komunikasi yang telah digunakan dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran seperti video, paparan slaid, komputer riba dan pembesar suara.
Intihanya, penggunaan resos pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan
komunikasi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan
meningkatkan motivasi murid untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran
yang telah dilaksanakan.
Pengimplementasian
strategi pembelajaran berpusatkan murid dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran merupakan salah satu kekuatan yang telah dikenal pasti ketika
pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan takrifan yang diberikan
oleh Noriati A. Rashid et al. (2009), strategi pembelajaran berpusatkan murid
bermaksud murid mengambil alih sedikit tanggungjawab terhadap aktiviti
pembelajaran. Menerusi pengaplikasian strategi ini, masa yang banyak
diperuntukkan kepada murid untuk meneroka dan menyelesaikan masalah
pembelajaran dengan bimbingan daripada guru. Dalam erti kata yang lain,
strategi pembelajaran berpusatkan murid memerlukan murid untuk memahami isi
pelajaran yang guru sampaikan secara praktikal dengan bimbingan guru. Hal ini
sejajar dengan teori pembelajaran konstruktivisme yang menekankan peranan murid
sebagai pembina ilmu pengetahuan ketika berlangsungnya sesi pengajaran dan
pembelajaran. Berlandaskan sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah
dilaksanakan, pengaplikasian strategi pembelajaran berpusatkan murid dapat
dilihat menerusi aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada Langkah 2 dalam
Rancangan Pengajaran Harian iaitu murid secara berkumpulan mengukur riben
dengan menggunakan klip kertas. Dalam hal ini, murid melakukan pembelajaran secara
koperatif dengan bimbingan guru untuk menguasai konsep pengukuran. Secara
tuntas, strategi pembelajaran berpusatkan murid yang diaplikasikan dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran bertepatan dengan pembelajaran abad ke-21 yang
menekankan aspek koperatif.
Menerusi
sesi perbincangan yang dilakukan juga, tedapat beberapa kelemahan yang telah
dikesan berkenaan dengan pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Salah
satu kelemahan tersebut ialah guru tidak menunjukkan simulasi kepada murid
untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Implikasinya, murid
tidak dapat melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah diarahkan
oleh guru dengan betul kerana guru tidak menunjukkan cara-cara yang betul bagi
melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Menurut teori kognitif
sosial Albert Bandura, kanak-kanak mempelajari sesuatu berdasarkan peniruan
terhadap sesuatu yang berlaku dalam persekitaran sosialnya (Noriati A. Rashid
et al., 2009). Berdasarkan pernyataan tersebut, simulasi yang dilakukan oleh
guru adalah penting bagi membolehkan murid mengetahui cara-cara melaksanakan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang guru arahkan dengan betul. Dalam
konteks sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan, guru tidak
menunjukkan cara untuk mengukur dengan betul sehingga menyebabkan ukuran yang
diperoleh oleh murid tidak tepat. Sebagai cadangan penambahbaikan, guru perlu
menunjukkan simulasi berkenaan dengan cara untuk melaksanakan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran dengan betul agar murid dapat mengaplikasikan
simulasi tersebut. Oleh itu, guru seharusnya menunjukkan simulasi pelaksanaan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran kepada murid signifikan dengan teori
kognitif sosial Albert Bandura agar murid melaksanakan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran dengan betul.
Kelemahan
yang seterusnya yang dikenal pasti dalam pelaksanaan sesi pengajaran dan
pembelajaran ialah arahan dan penerangan yang guru berikan tidak jelas. Arahan
dan penerangan guru yang tidak jelas menyebabkan murid tidak dapat memahami
arahan dan penerangan yang guru berikan. Hal ini menyebabkan murid tersebut
tidak dapat memberikan tindak balas yang sesuai berdasarkan arahan dan
penerangan guru. Ragbir Kaur Joginder Singh (2013) yang menegaskan bahawa
arahan dan penerangan yang jelas oleh guru membolehkan murid untuk memberi
respons yang bersesuaian. Berdasarkan pernyataan tersebut guru seharusnya
memberikan arahan dan penerangan kepada murid dengan menggunakan ayat yang
mudah difahami. Dalam hal ini, guru perlu memberi perhatian terhadap aspek
penggunaan kosa kata dan struktur ayat dalam memberi arahan dan penerangan.
Penggunaan kosa kata yang diluar pengetahuan murid menyebabkan murid tidak
dapat memahami aspek semantik yang terkandung dalam arahan dan penerangan guru.
Contohnya, guru tidak memberikan arahan yang jelas kepada murid dalam menjawab
soalan yang terdapat lembaran kerja yang diberikan. Kesannya, murid mengambil
tempoh masa yang agak panjang untuk menyelesaikan soalan dalam lembaran kerja.
Untuk tujuan penambahbaikan, guru perlu memberikan arahan dan penerangan yang
jelas agar murid dapat memberikan tindak balas yang sesuai seperti mana yang
terkandung dalam arahan dan penerangan guru.
Secara
holistik, terdapat beberapa kekuatan dan kelemahan pelaksanaan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran yang telah dikenal pasti menerusi aktiviti
perbincangan yang dilakukan dengan ketua panitia dan guru Matematik. Menerusi aktiviti
perbincangan yang dilakukan, guru pelatih dapat melakukan penambahbaikan
terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan. Perkara tersebut
secara tidak langsung dapat membantu guru pelatih dalam meningkatkan
keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan.
Terima kasih tulisan tuan. Semoga akan lebih banyak hasil tulisan dari tuan. Ana uhibbu iqra.
BalasPadamAna uhibbu..
Padam