Tema Penulisan Sastera Kanak-kanak

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Menurut Fadzri Aris et al. (2013), tema ialah idea dasar atau persoalan pokok yang diungkapkan oleh pengkarya, sama ada cerpenis, novelis, penyair, penyajak atau penulis skrip drama bagi mendasari karyanya. Sesebuah karya sastera hanya memiliki satu tema sahaja. Dalam usaha mengumpulkan, memilih dan menyusun bahan-bahan bagi sesuatu karya, tema menjadi garis panduan kepada pengkarya. Tema dalam sesuatu karya tidak semestinya dinyatakan secara langsung, tetapi dinyatakan melalui unsur-unsur yang membentuk karya itu. Oleh sebab itu, tema sesuatu karya hanya dapat diketahui setelah sesuatu karya itu dibaca dan dihayati seluruhnya. Dalam konteks sastera kanak-kanak, perkara yang sering dijadikan tema oleh penulis adalah berkenaan dengan nilai-nilai murni dan pengajaran agar kanak-kanak dapat mencontohi dan mengamalkan nilai-nilai murni tersebut.
Tema penulisan sastera kreatif atau penulisan buku sastera kanak-kanak adalah tentang cerita dan persekitaran kanak-kanak (Othman Puteh dan Abdul Ahmad, 1984). Tema-tema penulisan sastera kanak-kanak yang menjadi kegemaran ialah pengembaraan, nyanyian, penyiasatan, dan cerita berbentuk permainan. Tema-tema Iain adalah seperti menyelongkar dunia misteri, hiburan, pendidikan, dan bertemakan ejen pembangunan untuk meningkatkan tahap kematangan kanak-kanak. Tema penulisan sastera kanak-kanak yang pelbagai ini memberikan laluan kepada kanak-kanak untuk memilih saluran bacaan mengikut kegemaran masing-masing. Keadaan ini sekali gus meningkatkan tahap pemikiran kognitif mereka. Menurut Lynch-Brown (1999), perkembangan kognitif dapat diterapkan kepada kanak-kanak dengan memberikan pengetahuan baharu dan mempertingkatkan kefahaman kanak-kanak terhadap pengetahuan sedia ada di samping menggalakkan mereka untuk mencari maklumat sendiri. Usaha mencari maklumat secara individu menyebabkan mereka mampu menjana pemikiran ke arah yang lebih baik. Hal sebegini mampu juga meningkatkan kreativiti kanak-kanak.
Kementerian Pendidikan Malaysia amat mementingkan peningkatan kreativiti dan estetika dalam pembelajaran kanak-kanak. Pelbagai buku aktiviti telah dibekalkan oleh kementerian untuk diberikan kepada murid bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti ke arah merangsang pemikiran kreatif dan estetika mereka. Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia (2003), komponen kreativiti dan estetika memberikan fokus kepada perkembangan sifat kreatif dan ekspresif melalui imaginasi dan pemikiran kanak-kanak. Oleh itu, guru-guru harus menggerakkan minat dan memupuk kecenderungan kanak-kanak untuk mengembangkan potensi kreativiti dengan memberikan peluang kepada mereka untuk mengambil bahagian dalam aktiviti kesenian yang menggunakan daya imaginasi (Glaser, 2000).
Tema hiburan dan penyelongkaran dunia misteri sangat digemari oleh kanak-kanak. Perkara ini memberikan idea kepada pengarang untuk menghasilkan kelainan dalam penulisan sastera kanak-kanak. Buku-buku yang bertemakan hiburan dan cerita-cerita misteri sama ada novel atau cerita ringkas sering mendapat perhatian kanak-kanak. Hal ini demikian kerana perkembangan pemikiran kanak-kanak masih belum meluas dan mereka hanya memikirkan hiburan serta keseronokan menerusi bahan-bahan bacaan. Mereka juga sering memikirkan kelainan dan perkara-perkara yang luar biasa. Orang dewasa sukar untuk menembusi pemikiran kanak-kanak yang pelbagai dan penuh dengan daya pemikiran di luar kotak pemikiran biasa. Oleh itu, penulis sastera kanak-kanak senang membawa isu-isu dan cerita yang berlainan bagi menarik perhatian kanak-kanak untuk membaca dan menghayati bahan-bahan penulisan mereka.
Tema pengembaraan juga menjadi sebahagian daripada kegemaran kanak-kanak apabila mereka memilih bacaan tambahan untuk dibaca. Pengembaraan ini memberikan suatu perasaan yang luar biasa seterusnya mencabar kebolehan mereka untuk berfikir dengan lebih mendalam. Kanak-kanak juga sering memasuki dunia khayalan mereka yang tersendiri apabila membaca bahan-bahan bacaan sedemikian. Tindakan ini membolehkan mereka mengasah pemikiran dengan lebih jauh di samping merangsang kreativiti mereka untuk mencari penyelesaian bagi setiap permasalahan. Kanak-kanak yang mampu menilai dan menyelesaikan masalah mereka menerusi pembacaan yang pelbagai membolehkan mereka berkeupayaan menyelesaikan sebarang masalah yang timbul sama ada dalam pembelajaran atau kehidupan seharian mereka.
Walaupun wujud pelbagai tema dalam penulisan sastera kanak-kanak, namun perkara yang paling penting ialah bahan kesusasteraan ini dapat meningkatkan minat kanak-kanak untuk mengenal dunia sastera kanak-kanak. Buku-buku cerita yang bertemakan pelbagai isu dapat membantu kanak-kanak untuk mencari nilai diri dan menentukan tindakan yang bakal diambil. Penulisan yang berkesan dapat membina sahsiah dan mencorakkan nilai yang lebih baik dalam diri kanak-kanak. Penulisan buku kanak-kanak ini bertujuan memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk mengenal erti kehidupan, mengetahui dan memahami bahawa permukaan bercetak mempunyai makna serta memberikan kesedaran bahawa aktiviti yang melibatkan buku amat penting dalam kehidupan manusia yang bertamadun


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran