Pengenalan kepada Sastera Melayu Klasik


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Istilah klasik bermakna serius dan abadi nilainya, tertinggi mutunya dan menjadi standard kepada yang lain, mempunyai gaya yang sederhana, mempunyai ciri-ciri yang lazim dan tidak berubah mengikut peredaran waktu (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Sastera klasik ialah bentuk sastera yang masih kekal dan sentiasa mekar dalam kalangan masyarakat Melayu, sama ada sebagai sumber pengetahuan, amalan, pengajaran, sempadan tingkah laku, perundangan dan identiti masyarakat Melayu. Istilah sastera lama dan sastera klasik berbeza kerana perkataan lama mempunyai sifat yang sementara kerana apabila datang yang baharu akan hilanglah yang lama. Dalam erti kata lain, perkataan lama ialah antonim kepada perkataan baharu dan akan dilupakan apabila hadir sastera yang baharu. Sebaliknya, sastera tradisional merujuk kepada sastera yang mempunyai sifat atau mengikut tradisi secara turun-temurun walaupun dari aspek waktu sastera itu telah lama dihasilkan. Oleh yang demikian, istilah klasik lebih sesuai digunakan kerana dapat mencakupi makna lama, tradisional dan klasik itu sendiri.
Menurut Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman et al. (2009), sastera Melayu klasik pada awalnya telah menerima pengaruh Hindu dan Buddha. Sebelum abad ke-7, masyarakat Melayu telah menerima kepercayaan Buddha. Hal ini dapat dilihat pada kesan tapak kuil dan batu bersurat yang melambangkan bahasa Melayu pada ketika itu yang lebih dikenali sebagai bahasa Melayu Kuno. Setelah itu, muncul sebuah empayar iaitu kerajaan Melayu Sriwijaya yang berwibawa dan menjadi pusat pentadbiran agama Buddha. Pada era tersebut, banyak karya-karya yang dihasilkan dalam bahasa Sanskrit seperti puisi Jakatamala yang merupakan puisi sanjungan terhadap dewa-dewa. Sekitar abad ke-13 hingga ke-14, cerita yang dipamerkan masih menunjukkan pengaruh Hindu-Buddha, misalnya cerita-cerita epik dan tokoh agama tersebut. Walaupun demikian, sastera Hindu-Buddha kurang membantu dalam perkembangan kesusasteraan Melayu klasik. Perkara ini disebabkan penggunaan bahasa dan cerita yang dipaparkan sukar untuk difahami. Bahasa yang digunakan ialah bahasa Sanskrit dan Melayu Kuno, sementara cerita-cerita yang dipaparkan berkisarkan dewa-dewa yang sememangnya jauh daripada kehidupan seharian masyarakat Melayu.
Pada abad ke-14 hingga abad ke-16, kesusasteraan Melayu klasik telah mengalami perubahan dengan kehadiran Islam (Yew Chee Wai et al., 2010). Impak daripada kedatangan Islam, muncul satu tulisan yang amat penting kepada penganut Islam pada ketika itu yakni tulisan Jawi. Agama Islam mula bertapak di istana-istana dan mengambil alih peranan agama Hindu dan Buddha. Istana menjadi pusat perkembangan kesusasteraan Melayu klasik yang utama. Mereka yang mempunyai kemahiran menulis akan bertugas di istana sebagai pujangga ataupun penulis khas kepada golongan raja dan bangsawan. Penulis akan mengarang karya-karya baharu atas perintah dan memenuhi kehendak raja. Demikian juga hanya golongan bangsawan yang mampu mengupah dan membayar pujangga untuk menghasilkan hikayat. Hikayat yang dihasilkan tidak terhad kepada bidang kesusasteraan sahaja, tetapi merangkumi bidang agama, perubatan dan sejarah. Apabila keperluan terhadap karya bertambah, maka muncul pula pusat penyalinan dan penerbitan hasil kesusasteraan.
Kesusasteraan Melayu klasik ialah hasil karya seni yang disampaikan melalui perantaraan bahasa, sama ada secara lisan atau tulisan. Kesusasteraan ini menggabungkan falsafah pencipta dengan penerimanya pada zaman tersebut. Sastera Melayu klasik atau tradisional dapat dibahagikan kepada dua genre, iaitu sastera lisan dan sastera tulisan. Sastera lisan juga dikenali sebagai sastera rakyat, manakala sastera tulisan disebut sebagai sastera istana.

Ulasan

  1. Terima kasih, bahan ini dapat membantu saya mengenali Kesusasteraan Melayu Klasik.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran