Sejarah Perkembangan Sastera Kanak-kanak


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Md. Sidin Ahmad Ishak (2005) menyatakan bahawa kanak-kanak didapati menggunakan buku sebelum adanya usaha-usaha yang khusus untuk menerbitkan buku bagi kegunaan mereka. Di Barat, semua teks pratahun 1700 boleh juga dianggap sebagai teks untuk golongan kanak-kanak dan remaja. Ini sesungguhnya benar kerana buku-buku sastera rakyat yang meliputi cerita-cerita binatang, kisah mitos, kisah legenda dan cerita fantasi juga menarik minat kanak-kanak. Sastera lisan yang dibukukan ini dibacakan oleh orang dewasa kepada kanak-kanak atau dinikmati bersama-sama oleh orang dewasa dan kanak-kanak.
            Dalam dunia Islam, kanak-kanak didedahkan dengan kitab-kitab keagamaan, termasuk al-Quran atas tuntutan dan kewajipan agama (Sohaimi Abdul Aziz, 1997). Dengan yang demikian, buku kanak-kanak boleh dianggap bermula bersama-sama dengan bermulanya sejarah perbukuan. Lama-kelamaan, apabila buku dewasa semakin mantap dan keperluan kanak-kanak pula semakin luas, maka penulis dan penerbit mula memberi perhatian terhadap aspek persembahan dan format buku yang benar-benar dapat memenuhi cita rasa kanak-kanak. Salah satu buku komersial untuk kanak-kanak yang paling awal di England telah diterbitkan pada tahun 1744 oleh seorang penjual buku yang paling berpengaruh pada ketika itu, iaitu John Newbery (Hunt dalam Hadijah Rahmat, 2006). Buku tersebut berjudul A Little Pretty Pocket Book. Walaupun perdebatan pada waktu itu masih tetap berterusan sama ada buku-buku komersial yang bukan bersifat keagamaan patut dibenarkan penerbitan dan pengedarannya, namun permintaan terhadap buku semakin bertambah dan tuntutan penerbit-penerbit komersial semakin kuat.
            Menurut Misran Rokimin (2000) sejarah penerbitan buku kanak-kanak dapat dilihat berkembang dalam tiga tahap yang umum di negara kita. Tahap permulaan berlaku apabila pengembang-pengembang agama Kristian dari England dan Amerika Syarikat bertapak di Negeri-negeri Selat untuk menyebarkan ajaran agama Kristian. Pada masa yang sama, kumpulan-kumpulan ini menjalankan kegiatan pendidikan dalam kalangan golongan muda. Tahap kedua memperlihatkan perkembangan yang diterajui oleh Pejabat Karang-mengarang melalui sokongan penguasa pendidikan colonial dan kerjasama penerbit, pencetak dan pengedar Inggeris. Tahap ketiga pula berlaku apabila negara mencapai kemerdekaan dan penerbit-penerbit tempatan muncul bersama-sama dengan kedatangan lebih banyak penerbit antarabangsa yang membuka operasinya di Malaysia.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Binaan Plot