Cerita Mitos


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Mitos ialah cerita yang dianggap benar-benar terjadi dan dianggap suci oleh orang yang empunya cerita dan masyarakat yang mendukungnya. Mitos mengisahkan kejadian alam semesta, manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan, bentuk muka bumi dan bencana alam semula jadi. Tokoh yang terlibat pula terdiri daripada makhluk halus, dewa atau separuh dewa yang terjadi pada zaman dahulu. Mitos menceritakan kisah dan perkara-perkara yang berada di luar horizon pemikiran manusia. Antara ciri-ciri mitos termasuklah dianggap benar-benar terjadi, peristiwa yang berlaku penting tetapi aneh dan dianggap keramat dan memberikan impak kepada masyarakat serta latar belakang berlaku pada zaman lampau. Terdapat tiga jenis mitos dalam sastera Melayu seperti yang ditunjukkan oleh rajah berikut.
     Mitos asal usul ialah cerita yang berlaku pada zaman silam yang boleh dianggap keramat dan mempengaruhi hal kehidupan masyarakat Melayu. Jalan ceritanya menunjukkan corak pemikiran yang mistik dan bersangkut paut dengan sesuatu rahsia dan magis, misalnya asal usul kejadian alam dan unsur-unsur alam seperti asal kejadian manusia, asal kejadian bentuk-bentuk khas binatang dan asal kejadian bentuk-bentuk topografi seperti Kisah Tasik Cini.
     Mitos institusi sosial atau budaya pula merupakan cerita yang mengisahkan asal usul sesebuah institusi sosial dalam masyarakat Melayu. Misalnya, mitos kedatangan Islam, institusi atau lembaga, institusi pawang atau bomoh yang melibatkan perubatan pemulihan, pendinding diri, adat berandam dan semah pantai, dan dalam pekerjaan seperti menangkap buaya dan sebagainya.
     Manakala mitos politik merupakan cerita yang berkisar tentang struktur pemerintahan dan kerajaan, misalnya mitos keturunan raja-raja Melayu, mitos penubuhan sesebuah negeri atau kerajaan seperti Pasai, Melaka dan Samudera.
Cerita-cerita mitos Melayu sudah banyak mengalami kecairan dan pengolahan lanjut hingga kadang-kadang tidak lagi menjadi cerita mitos. Hal ini demikian kerana, masyarakat Melayu sudah mengalami beberapa fasa pembudayaan dan proses adaptasi, terutama melalui anutan dan pengaruh agama.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Binaan Plot