Konsep Pantun
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Pantun merupakan puisi
Melayu tradisional yang terkenal di Nusantara. Pantun dikatakan karangan asal
orang Melayu yang telah wujud sejak zaman dahulu. Pada ketika itu, pantun
berupa sastera lisan iaitu dihasilkan dan dibacakan secara spontan. Pada hari
ini, karya pantun telah dibukukan dan dijadikan bahan bacaan umum. Dari segi
bentuk asal, pantun terdiri daripada empat baris serangkap. Pola akhir pantun
ialah a-b-a-b. Terdapat juga pantun
yang wujud dalam bentuk rima syair (a-a-a-a),
tetapi masih perlu mempunyai baris pembayang dan maksud.
Semua
bentuk pantun mempunyai dua bahagian, iaitu sampiran atau pembayang dan maksud.
Pembayang merupakan dua baris pertama dan selalunya berkaitan dengan elemen
alam untuk memperlihatkan budaya masyarakat pendukungnya. Pembayangnya juga
diandaikan sebagai transisi ke isi. Pembayang berfungsi sebagai pelengkap rima
untuk mempermudahkan pendengar memahami isi pantun. Pada umumnya, pembayang
tidaklah berhubungan dengan isi, tetapi kerap kali pembayang itu membayangkan
maksud pantun. Dua baris seterusnya ialah isi yang merupakan tujuan atau maksud
pantun tersebut. Pantun yang baik terdiri daripada 4-5 suku kata dan 8-12 suku
kata dalam sebaris. Bagi masyarakat Melayu, pantun menjadi wahana pemelihara
bahasa dan sebagai penjaga fungsi dan kemampuan alur berfikir. Pantun melatih
seseorang untuk berfikir tentang makna kata sebelum mengujarkannya. Pantun juga
berperanan untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan anggota masyarakat,
terutama pantun yang berkaitan dengan adat tertentu. Pantun dapat
diklasifikasikan berdasarkan tema dan bentuk.
Ulasan
Catat Ulasan