Konsep Cerpen
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Cerpen ialah gabungan dua
patah perkataan, iaitu cerita dan pendek. Cerpen menjadi terkenal dalam
kesusasteraan Melayu kerana diterbitkan dalam akhbar dan majalah yang jauh
lebih luas penyebarannya. Perkembangan cerpen Melayu bermula apabila kegiatan
persuratkhabaran Melayu mencapai era kegemilangannya sekitar tahun 1930-an
(Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Cerpen bukan sahaja menjadi medium yang mencerminkan
sikap, perasaan, pandangan dan fikiran pengarang Melayu, malah sebagai hasil
sastera yang memberikan gambaran tentang sesuatu zaman, sama ada peristiwa yang
berhubung dengan masalah sosial, politik dan ekonomi. Walaubagaimanapun,
pertumbuhan cerpen terbantut pada sekitar tahun 1942 hingga 1945 kerana pada
ketika itu Jepun memerintah Tanah Melayu. Perang dunia kedua dan kedatangan
Jepun sememangnya memberikan impak yang besar kepada corak pemikiran dan
mentaliti orang Melayu. Slogan Asia Untuk
Asia yang dilaungkan oleh Jepun telah mengejutkan bangsa Melayu yang
akhirnya berasa gembira setelah terlepas daripada cengkaman penjajahan Jepun
dan seterusnya Inggeris.
Meskipun cerpen menggunakan
unsur yang sama seperti novel iaitu tema, plot, watak dan perwatakan, latar
serta sudut pandangan, tetapi wujud perbezaan dari segi pengolahan dan
pengadunannya. Cerpen mengandungi antara 500 hingga 15,000 patah perkataan dan
boleh mencecah angka 20,000 patah perkataan. Namun, cerpen yang baik adalah
cerpen yang mengandungi sekitar 500 sehingga 5,000 patah perkataan. Hal ini kerana
jumlah perkataan yang agak terhad menyebabkan cerpen tidak membicarakan sesuatu
yang banyak menimbulkan persoalan dan mengambil latar masa yang terlalu lama.
Kebiasaannya, cerpen mengemukakan
satu kejadian atau peristiwa yang menjadi fokus utama atau pusat penceritaan.
Sesuatu peristiwa itu dikembangkan dalam jangka masa yang terhad. Ada kalanya,
terdapat cerita lain yang diceritakan, tetapi fungsinya adalah untuk
mengunggulkan peristiwa yang penting yang hendak dikemukakan. Cerpen
mengandungi satu tema dan satu atau dua persoalan bagi menghasilkan impak
tertentu dan mendalam terhadap pembaca. Dari aspek perwatakan, cerpen
memusatkan perkembangan watak kepada beberapa orang tertentu sahaja. Cerpen
lebih mengutamakan identifikasi dan perkembangan watak protagonis. Sekiranya
terdapat watak-watak yang lain, watak-watak tersebut bertujuan memperkukuh
kewibawaan watak utama tersebut. Untuk mencetuskan konflik, penulis akan
mewujudkan satu pertentangan antara watak protagonis dengan watak antagonis.
Hal ini kerana, konflik dianggap penting sebagai elemen dramatik. Terdapat satu
plot sahaja dalam cerpen dan pengembangan plot tersebut dilakukan secara rapi,
teliti dan tidak rumit agar wujud jalinan yang baik, kemas dan padat.
Pencetusan perasaan dan penyemarakan emosi dalam cerpen menerbitkan ketegangan
dan menarik hati pembaca untuk merasai pengalaman yang digambarkan. Impak
sesebuah cerpen dapat diukur melalui reaksi emosi pembaca.
Ulasan
Catat Ulasan