Keperluan Memahami Budaya Bahasa Sumber dan Bahasa Sasaran dalam Penterjemahan
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Adat
Resam
Adat secara umumnya didefinisikan
sebagai suatu aturan dan cara hidup yang mencerminkan segala perbuatan yang ada
kalanya dilakukan setiap hari ataupun musim sama ada berpandukan bulan atau
tahun. Adat bagi setiap masyarakat pastinya dilihat dari sistem nilai yang
berbeza. Sebagai contoh, bagi masyarakat Minangkabau, adat dianggap sebagai
sebuah tradisi lisan yang tinggi sekali martabatnya dalam kehidupan mereka.
Adat
dalam konteks masyarakat Minangkabau bukan sekadar cara bersanding, cara
menyantap hidangan makanan, cara pertabalan Luak dan sebagainya, tetapi adat
ialah suatu peraturan hidup yang perlu dipegang kuat oleh generasi mereka
sehingga ke hari ini. Justeru tidak hairanlah jika dalam masyarakat mereka
wujud istilah-istilah seperti undang-undang adat, mahkamah adat, ketua adat dan
sebagainya. Oleh sebab itu, penterjemah harus mengambil kira aspek adat resam
dalam penterjemahan kerana adat resam ialah suatu ketetapan yang tidak boleh
berubah dan dianggap sebagai suatu pengungkap identiti bangsa.
Dalam
erti kata lain, penterjemah perlu memahami adat resam bahasa sumber dan bahasa
sasaran termasuk hukum agama dan pantang larang. Dengan membuat penyelidikan
terlebih dahulu untuk memahami adat resam sesuatu masyarakat, maka barulah kita
dapat memahami adat resam dan melakukan penterjemahan dengan penyampaian makna
yang berkesan.
Geografi
dan Persekitaran
Setiap bahasa mempunyai kepelbagaian
perbendaharaan kata yang berbeza. Perbezaan ini sangat bergantung kepada
budaya, dalam hal ini termasuk lokasi geografi dan persekitaran. Sebagai
contoh, penduduk luar bandar di Papua menumpukan perhatian terhadap kehidupan
memburu dan mengumpul makanan di dalam hutan. Manakala penduduk yang tinggal di
pelabuhan menumpukan kehidupan mereka dalam perdagangan dan pelayaran. Selain
itu, masyarakat yang tinggal di bandar menumpukan kehidupan mereka terhadap
pekerjaan bagi mendapatkan wang, bersukan dan bersekolah. Perbezaan dalam fokus
kehidupan ini mewujudkan perbezaan dalam perbendaharaan kata.
Sebagai
contoh, masyarakat yang tinggal di kawasan perladangan dan pertanian sudah
tentu mempunyai lebih banyak perbendaharaan kata berkaitan tanaman,
tumbuh-tumbuhan dan musim tumbuhan berbanding masyarakat yang tinggal di
kawasan perdagangan. Dalam proses penterjemahan, selain memahami teks yang akan
diterjemahkan, penterjemah juga harus mempertimbangkan aspek budaya bahasa
sumber dan bahasa sasaran supaya penyampaian maksud dapat dicapai.
Kepercayaan,
Mitos dan Legenda
Terdapat kepercayaan karut yang masih
dipegang oleh segelintir masyarakat di dunia contohnya masyarakat di Korea.
Perkataan bujeog ialah aksesori yang
dipakai oleh seseorang tertera tulisan, rajah ataupun gambar yang dibawa ke
mana-mana atau ditampal di dinding sebagai azimat dan pelindung. Kepercayaan
masyarakat Korea ini mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu yang
mempercayai tangkal. Tangkal ini biasanya dibuat oleh bomoh atau dukun. Dalam
masyarakat Melayu juga ada anggapan bahawa penggunaan tangkal sebagai pelindung
tetapi perkara ini dilarang sama sekali dalam amalan agama Islam kerana membawa
kepada amalan syirik. Persamaan dari segi kepercayaan tersebut membolehkan
perkataan bujeog (bahasa sumber)
diterjemahkan kepada perkataan tangkal (bahasa
sasaran) disebabkan penterjemah mengetahui serba sedikit tentang kepercayaan
budaya bahasa sumber dan bahasa sasaran tersebut.
Peribahasa
dan Kiasan
Tiap-tiap bahasa mempunyai caranya
sendiri apabila menggunakan peribahasa untuk menyampaikan perasaan dan
prasangka mereka. Oleh yang demikian, peribahasa daripada bahasa asing
hendaklah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu supaya tepat dengan konteksnya.
Peribahasa
ialah bentuk ungkapan yang unik yang terdapat dalam sesuatu bahasa. Salah satu
punca sukarnya menterjemahkan peribahasa adalah disebabkan makna sesuatu
peribahasa itu tidak mungkin dapat diteka daripada susunan ayat. Kita hanya
tahu makna peribahasa apabila kita memang sudah mengetahui makna peribahasa itu
sebelum membaca ayat.
Contoh:
Perkataan
|
Makna
|
Sunday
|
Ahad
|
week
|
minggu
|
Makna
Sunday Week ialah Ahad
selepas Ahad depan.
|
Pelbagai
bahasa mempunyai cara-caranya mencipta istilah-istilah secara kiasan. Biasanya
perkataan-perkataan yang dikiaskan itu tidak serupa antara satu bahasa dengan
bahasa lain.
Contoh:
Perkataan
|
Makna
|
wife
|
isteri
|
Kiasan:
Istilah
|
Makna
|
midwife
|
bidan
|
dutch wife
|
bantal
peluk
|
housewife
|
suri
rumah
|
Istilah-istilah peribahasa boleh
diterjemahkan dengan menggunakan kaedah berikut:
1. Peribahasa menjadi peribahasa
Dalam teknik ini, istilah peribahasa
dalam bahasa Inggeris kekal sebagai peribahasa dalam bahasa Melayu. Ini boleh
dibuat dengan dua cara:
a.
Peribahasa
Inggeris itu dipinjam dengan cara menterjemahkannya secara literal. Contohnya:
yellow culture
– kebudayaan kuning
honeymoon –
bulan madu
in black and white – dengan hitam putih
cold war –
perang dingin
skyscraper –
pencakar langit
Dalam bidang sains dan
teknologi, cara ini tidak digalakkan kerana makna peribahasa asing yang baru
dipinjam tidak terang dan jelas. Sebagai contoh:
feedback –
suap balik (biologi) ... maklum balas
wear and tear
– haus dan lusuh (ekonomi) ... haus
foul bite –
gigitan salah (seni lukis) ...
green belt –
jalur hijau (geografi) ... kawasan subur
b.
Peribahasa
Inggeris itu digantikan dengan peribahasa Melayu.
double face – talam dua muka
lip-service
– melepas batok di tangga
double-edged advantage – serampang dua mata
to kill two birds with one stone – sambil menyelam minum air
2. Istilah peribahasa itu menjadi bukan peribahasa di dalam bahasa Melayu
Ini dibuat dengan cara memberikan
sahaja makna sebenar peribahasa Inggeris itu.
Contoh:
yellow
culture –
budaya negatif
in
black and white –
secara bertulis
backfire – menikam diri sendiri
white-collar
job – kerja
pejabat
blue-collar
job – kerja
buruh
3. Istilah bukan peribahasa dalam bahasa Inggeris menjadi peribahasa dalam
bahasa Melayu
Sesetengah istilah dalam bahasa
Inggeris adalah dalam bentuk bukan peribahasa. Ada kalanya istilah-istilah itu
boleh diganti dengan istilah-istilah kita sendiri yang berbentuk peribahasa.
Contoh:
illiterate – buta huruf
stream – anak sungai
adopted
child – anak
angkat
manual
job –
kerja kasar
image – air muka
married – berumah tangga
Makanan
dan Pakaian
Sesetengah masyarakat mempunyai makanan dan pakaian
tradisi dengan nama tersendiri. Kebanyakan nama bagi makanan dan pakaian
tersebut dikekalkan dan tidak berubah. Contohnya, cheongsam (bahasa sumber) apabila diterjemahkan tetap menjadi cheongsam (bahasa sasaran). Oleh itu,
penterjemah perlu mengambil kira aspek makanan dan pakaian agar maksud yang
diterjemahkan sampai kepada pembaca.
Nota Tambahan:
Terdapat
beberapa banyak keadaan yang membawa kepada ketiadaan padanan pada peringkat
kata. Keadaan-keadaan tersebut adalah seperti dalam berikut:
a)
Apabila teks bahasa sumber
memperkatakan konsep-konsep budaya yang langsung tidak diketahui dalam bahasa
sasaran;
b)
Konsep yang wujud dalam bahasa
sumber tidak ada kata dalam bahasa sasaran untuk menamainya;
c)
Satu-satu kata dalam bahasa sumber
sarat dengan makna dan perlukan banyak kata untuk menterjemahkannya ke dalam
bahasa sasaran;
d)
Bahasa sumber dan bahasa sasaran
membuat perbezaan makna yang berlainan bagi satu-satu perkataan dalam erti kata
perbezaan makna yang dipentingkan dalam bahasa sumber mungkin dipentingkan
dalam bahasa sasaran atau sebaliknya;
e)
Bahasa sumber mempunyai kata umum
dan superordinat tetapi ini tidak wujud dalam bahasa sasaran;
f)
Bahasa sumber mempunyai kata
khusus atau hiponim merujuk sesuatu tetapi bahasa sasaran ketiadaan unsur ini;
g)
Bahasa sumber memerlukan jarak
fizikal atau kedudukan seseorang diketahui sebelum dapat menyatakan sesuatu
tetapi ciri ini tidak wujud dalam bahasa sasaran atau sebaliknya;
h)
Terdapat kata padanan dalam bahasa
sasaran yang mempunyai maksud yang sama tetapi memberikan kesan makna yang
berlainan dan kelainan ini mungkin sedikit sahaja atau mungkin ketara sehingga
mendatangkan masalah terjemahan dalam konteks keperihalan keadaan berkenaan;
i)
Kelainan bentuk antara bahasa
sumber dan bahasa sasaran seperti imbuhan dalam bahasa Inggeris, yang digunakan
secara kreatif untuk membentuk perkataan baru mendatangkan masalah apabila diterjemahkan
ke dalam bahasa yang kurang menggunakan imbuhan dengan cara yang sama;
j)
kekerapan dan tujuan menggunakan
sesuatu kata ini berlainan antara bahasa sumber dan bahasa sasaran. Walaupun
kata yang terbabit itu mungkin kata padanan dalam bahasa sasaran, tetapi kekerapan
dan tujuan kata itu digunakan dalam bahasa sasaran tidak sama dengan kata yang
sama dalam teks sumber. Hal ini membawa implikasi stail atau gaya yang tidak
bersahaja atau sejadi dalam teks yang diterjemahkan;
k) teks bahasa sumber menggunakan kata pinjaman yang bertujuan menambahkan
prestij dalam teks asal tetapi kesan ini hilang dalam teks terjemahan akibat
tidak mendapat kata padanan atau kata pinjaman yang dapat memberikan maksud
yang sama
Ulasan
Catat Ulasan