Sumbangan Sastera Kanak-kanak
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Berdasarkan definisi yang diberikan oleh Khairuddin Mohamad et al.
(2014), sastera kanak-kanak dapat didefinisikan sebagai karya sastera yang dihasilkan dalam bentuk buku yang
boleh dibaca oleh kanak-kanak dan mampu menimbulkan keseronokan kepada mereka.
Bagi mencapai tahap tertinggi nilai sastera dan estetika karya, penghasilan
sastera awal kanak-kanak ini dilakukan dalam bentuk tulisan dan ilustrasi.
Sastera kanak-kanak merupakan salah satu elemen yang dikenal pasti berupaya
melengkapkan perkembangan seseorang kanak-kanak. Hal ini demikian kerana,
sastera awal kanak-kanak mampu memberikan keseronokan, dapat merangsang
imaginasi, dapat membantu mengenal dan memahami diri sendiri, dapat memahami
bahasa secara semula jadi, dapat membantu mendapatkan maklumat dan dapat
memupuk nilai-nilai murni kepada individu kanak-kanak. Dalam konteks
pendidikan, sastera kanak-kanak memainkan peranan yang penting dalam
memperkembang bahasa dan komunikasi kanak-kanak, kognitif kanak-kanak,
personaliti kanak-kanak, kerohanian dan moral kanak-kanak, sosial kanak-kanak
dan kreativiti dan estetika dalam kalangan kanak-kanak (Zainiah Mohamed Isa,
2007). Terdapat beberapa sumbangan sastera kanak-kanak dalam perkembangan
kesusasteraan Melayu di Malaysia.
Kemunculan
sastera kanak-kanak telah menghasilkan bahan-bahan bacaan yang bersesuaian
dengan peringkat umur kanak-kanak. Dalam hal ini, kanak-kanak memerlukan bahan
bacaan yang mengandungi penggunaan bahasa yang mudah difahami dan tidak terlalu
kompleks. Berdasarkan pernyataan tersebut, laras bahasa yang digunakan dalam
penulisan karya sastera kanak-kanak adalah mudah untuk membolehkan kanak-kanak
memahami mesej yang terkandung dalam karya sastera kanak-kanak tersebut. Perkara tersebut selaras dengan Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget
yang menyatakan bahawa perbendaharaan kata dalam kalangan kanak-kanak amatlah
terhad menyebabkan mereka tidak dapat memahami beberapa perkataan yang bersifat
abstrak (Wong Kiet Wah et al., 2013). Menurut Khairuddin Mohamad et al. (2014),
penulisan karya sastera kanak-kanak menggunakan bahasa yang bersesuaian dengan
peringkat umur kanak-kanak. Penggunaan ilustrasi juga amat dalam karya sastera
kanak-kanak untuk menimbulkan minat kanak-kanak terhadap pembacaan. Dengan itu,
kanak-kanak dapat memahami penceritaan yang terkandung dalam sesuatu karya
sastera kanak-kanak. Hal ini secara tidak langsung dapat mengelakkan
kanak-kanak daripada berasa bosan ketika membaca karya sastera. Deduksinya, kemunculan sastera kanak-kanak telah menghasilkan bahan-bahan bacaan yang bersesuaian
dengan peringkat umur kanak-kanak menerusi penggunaan
bahasa yang mudah serta ilustrasi yang menarik.
Sastera
kanak-kanak juga turut mengekalkan nilai-nilai kebudayaan
masyarakat Melayu dalam penghasilan karya
sastera kanak-kanak tersebut. Dalam hal ini, penghasilan karya sastera
kanak-kanak membolehkan kanak-kanak mengetahui jenis-jenis karya sastera yang
terdapat dalam masyarakat Melayu. Menurut Husin Fateh Din dan Nazariyah Sani
(2014), genre sastera kanak-kanak dapat dikasifikasikan kepada bentuk naratif
seperti cerita kanak-kanak dan bentuk bukan naratif seperti pantun kanak-kanak.
Karya sastera kanak-kanak berbentuk naratif menekankan aspek perkembangan
penceritaan dalam karya tersebut. Manakala, karya sastera kanak-kanak bukan
naratif pula tidak menekankan aspek penceritaan tetapi mengandungi mesej-mesej
yang berbentuk nasihat untuk memberi pengajaran kepada kanak-kanak sebagai
pembaca karya tersebut. Penggunaan ilustrasi menarik dalam karya sastera
kanak-kanak juga turut menimbulkan minat kanak-kanak untuk mendalami karya
tersebut. Pernyataan ini signifikan dengan pendapat Khairuddin Mohamad et al.
(2014) yang menyatakan bahawa karya sastera kanak-kanak mengandungi ilustrasi
yang menarik untuk menarik minat kanak-kanak membaca karya tersebut. Dengan
timbulnya minat kanak-kanak terhadap karya sastera kanak-kanak tersebut, secara
tidak langsung kelestarian nilai-nilai kebudayaan masyarakat Melayu dalam konteks kesusasteraan dapat dikekalkan. Hal ini demikian kerana,
menerusi karya sastera kanak-kanak, kanak-kanak dapat memahami pelbagai jenis
karya sastera kanak-kanak yang terdapat dalam masyarakat Melayu dengan lebih
mudah. Konklusinya, nilai-nilai kebudayaan masyarakat Melayu dalam konteks kesusasteraan dapat dilestarikan menerusi sastera
kanak-kanak.
Dalam
konteks pendidikan, sastera kanak-kanak juga memainkan peranan penting dalam
pembelajaran kanak-kanak seperti mana yang ditekankan dalam Dokumen Standard
Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Elemen sastera kanak-kanak dalam Dokumen
Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Melayu Sekolah Rendah dapat dilihat
menerusi penyerapan aspek seni bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa
Melayu pada peringkat sekolah rendah. Aspek seni bahasa merujuk kepada
keupayaan murid mengungkap dan mengapresiasi keindahan bahasa, memahami dan
menghargai bahasa melalui pembelajaran yang menyeronokkan menerusi kepelbagaian
aktiviti secara didik hibur. Seni bahasa memberi penekanan kepada keindahan
bahasa yang dipelajari oleh murid melalui teknik penyampaian yang menarik dan
menyeronokkan seperti bernyanyi, bercerita, berlakon dan berpuisi. Pembentukan
ayat yang menggunakan simile, peribahasa, bahasa kiasan dan personafikasi yang
terdapat dalam puisi dan penulisan kreatif juga menampakkan keindahan dan seni
dalam bahasa Melayu. Berdasarkan pernyataan tersebut, sastera kanak-kanak mampi
meningkatkan kemahiran berbahasa dalam kalangan murid menerusi penerapkan
elemen seni bahasa yang mengintegrasikan pelbagai genre sastera kanak-kanak
seperti pantun kanak-kanak, cerita kanak-kanak serta lagu kanak-kanak.
Intihanya, sastera kanak-kanak juga memainkan peranan penting dalam
pembelajaran bahasa kanak-kanak untuk meningkatkan kemahiran berbahasa dalam
kalangaan murid.
Secara
holistik, sastera kanak-kanak merupakan karya sastera yang dihasilkan untuk
kanak-kanak bagi meningkatkan perbendaharaan kata dalam kalangan kanak-kanak. Sastera
kanak-kanak dapat diklasifikasikan kepada beberapa genre seperti pantun
kanak-kanak, cerita kanak-kanak dan lagu kanak-kanak. Sastera kanak-kanak
memainkan peranan penting dalam perkembangan kanak-kanak terutamanya untuk
meningkatkan proses kreatif dan imaginatif. Kemunculan sastera kanak-kanak
telah menghasilkan bahan bacaan yang sesuai untuk peringkat umur kanak-kanak
menerusi penggunaan bahasa yang mudah untuk difahami. Dengan adanya sastera
kanak-kanak juga, kanak-kanak dapat memahami keindahan bidang kesusasteraan
Melayu. Sastera kanak-kanak juga memainkan peranan penting dalam bidang
pendidikan menerusi pengenalan aspek seni bahasa dalam Kurikulum Standard
Sekolah Rendah yang mengandungi pelbagai genre sastera kanak-kanak seperti lagu
kanak-kanak, cerita kanak-kanak, drama kanak-kanak dan puisi kanak-kanak. Oleh
yang demikian, sastera kanak-kanak memberi sumbangan yang besar terhadap
perkembangan kesusasteraan Melayu di negara ini dalam pelbagai bidang.
Ulasan
Catat Ulasan