Teori dan Prinsip Perkamusan


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Menurut Arbak Othman (2000), tidak ada teori tertentu yang dikhususkan bagi maksud penyusunan kamus. Apa yang berlaku dalam perkamusan ialah pandangan tertentu yang digunakan oleh seorang penyusun kamus sebagai panduan supaya kamus yang disusunnya mencapai mutu yang baik dan termuat di dalamnya nilai-nilai kebahasaan, semantik dan semiotik, lengkap dan dapat dipertanggungjawabkan. Maksud teori untuk perkamusan ialah kecenderungan aplikasi ilmu linguistik, semantik, dan pragmatik selengkap mungkin dalam sesebuah kamus. Tugas kamus adalah untuk memberi makna atau takrif kepada kata dan pemberian ini juga menggunakan kata-kata. Dengan kata lain, dalam perkamusan kita terpaksa memberi makna kepada sesuatu lambang dengan menggunakan lambang itu sendiri. Lambang ini ialah lambang linguistik. Oleh itu, setiap kamus yang disusun mestilah mengutamakan prinsip kesarjanaan sebagai asas penyusunan kamus. Pandangan ahli linguistik perlu dipertimbangkan selain daripada keperluan pengguna kamus. Menurut Khairuddin Mohamad et al. (2014), penyusun kamus hendaklah memastikan bahawa makna yang dibuat dalam pemerian sebaik-baiknya berdasarkan sumber rujukan yang berbentuk teks supaya makna perkataan yang digunakan daripada teks tersebut dapat diasingkan menurut jenisnya sama ada kerana gayanya yang berbeza, situasi penggunaannnya atau sifat-sifat pragmatiknya yang berbeza. Prinsip-prinsip penyusunan kamus perlulah memerhatikan perkara-perkara yang berikut:
Prinsip-Prinsip Penyusunan Kamus
Huraian
Perancangan
Pentadbiran yang berkaitan dengan perbelanjaan, penentuan individu, dan penentuan prasarana.
Siapakah yang terlibat?
Individu yang terlibat bersangkutan dengan persyaratan keahlian dan kemampuan individu melaksanakan program perkamusan.
Aspek linguistic
Aspek linguistik digarap menurut cabang ilmu linguistik yang berkaitan dengan leksikologi termasuklah tatabahasa, lafaz, pengetahuan dialek, maklumat ensiklopedia dan sebagainya.
Pemasaran
Aspek yang berkaitan dengan penyebaran kamus secara meluas sebagai satu produk.
Pra-syarat kemampuan peneliti atau penyusun kamus
Penguasaan dua atau tiga bahasa di samping bahasa ibunda akan menentukan kepekaan linguistik dan keterbukaan terhadap isu-isu bahasa. Penyusun kamus juga perlulah mempunyai ketekunan yang konsisten, ketelitian dan kecermatan. Selain daripada itu, semangat untuk terus belajar dan cinta kepada bahasa serta ilmu bahasa juga tidak kurang penting.
Bagaimanakah penelitian dilakukan?
Penelitian leksikologi termasuklah yang bersangkutan dengan korpus bahasa dalam penyusunan pangkalan data. Penelitian aspek bahasa lain seperti tatabahasa sebagai maklumat pelengkap mengenai data yang disajikan.

Menurut Noresah Baharom (2009), beberapa prinsip perlu dijadikan pegangan dalam penyusunan kamus agar kamus memenuhi piawaian yang telah ditetapkan, iaitu seperti yang ditunjukkan oleh jadual di bawah:
Prinsip Perkamusan
Huraian
Keaslian
Kamus haruslah memuatkan bahasa yang ada bukti bahawa bentuk tersebut benar-benar digunakan oleh penutur jati.
Keperwakilan
Bergantung kepada format kamus yang ditentukan oleh pengguna yakni khalayak, kamus perlu memuatkan bahan yang benar-benar mewakili ruang lingkup khalayak misalnya bahasa untuk kanak-kanak.
Kelayakan
Penyusun harus memastikan bahawa hasil kerjanya sesuai dengan tujuan pekerjaannya. Keperluan bagi kamus ekabahasa tidak sama dengan kamus dwibahasa.
Selain daripada itu, kelayakan sosial juga perlu diambil kira misalnya bahasa, agama, dan adat istiadat pengguna kamus.
Sumber
Sumber bagi kata masukan atau entri perlulah sumber yang layak diterima pakai berdasarkan penelitian lapangan, iaitu sumber primer atau sumber sekunder berdasarkan rujukan kepustakaan.

Kamus tidak sekadar mencatat makna tetapi kamus mempunyai perkaitan yang rapat dengan ilmu makna atau semantik. Semantik mengkaji makna kata dan amat penting bagi seorang penyusun kamus. Apa yang menjadi kandungan kamus bukan sekadar kata tetapi makna kata-kata tersebut. Lambang mempunyai makna yakni bukan sahaja bahasa tetapi lambang memberikan makna tertentu. Contohnya apabila mata melihat sesuatu objek seperti baju pastinya mempunyai ciri-ciri warna, bentuk atau jenis kain. Lyons dalam Semantics (1977) membezakan tiga makna berasaskan bahasa, iaitu:
  1. Makna deskriptif yakni makna biasa berkenaan sifat dan sebagainya, misalnya             makna dalam kamus. 
  2. Makna sosial yakni makna dalam konteks kegunaan sosial misalnya naga                    mempunyai nilai tambah bergantung kepada budaya (masyarakat Cina                         memberikan nilai baik manakala masyarakat Barat memberikan nilai negatif) 
  3. Makna ekspresif yakni makna berkaitan dengan perasaan misalnya                               kagum atau marah berbeza berdasarkan persepsi individu.






Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Binaan Plot