Konsep Novel


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Novel ialah prosa rekaan yang panjang yang dalamnya termuat sebahagian daripada kehidupan (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Isitilah novel berasal daripada bahasa Itali, iaitu novella yang bermaksud satu benda kecil yang baharu. Novel mengisahkan kejadian yang dipusatkan kepada serpihan hidup manusia pada sesuatu tempat dan masa tertentu. Novel merupakan satu bentuk pentafsiran rencam hidup manusia yang terbina dalam bentuk sastera cereka. Cerpen merupakan rangkuman tiga faktor utama yang saling berkait, iaitu pengalaman peribadi, realiti rencam hidup dan imaginasi. Ketiga-tiga faktor ini mencetuskan idea pokok yang kemudiannya diadun dan diolah kembali untuk dijadikan sebuah karya yang unik dengan segala unsur yang terpadu dalamnya. Idea yang tercetus daripada ketiga-tiga faktor ini berkisar bukan sahaja pada tahap kehidupan manusia dengan segala liku, keserabutan dan kerencamannya, malah boleh berlegar di sekitar kehidupan selain daripada manusia itu sendiri.
Ada pendapat mengatakan bahawa novel menceritakan kejadian yang luar biasa daripada kehidupan manusia. Luar biasa kerana daripada kejadian tersebutlah wujud sesuatu konflik dan pertikaian. Novel merupakan kisah yang dibukukan dan dianggap sebagai sebuah karya fiksyen yang dalamnya terkandung imaginasi pengarangnya. Sesebuah novel mempunyai kaitan yang erat dengan masyarakat dan dapat dikatakan sebagai satu dokumentasi sosial. Isinya juga ialah isi masyarakat yang menggambarkan perjuangan dalam kehidupan, pertentangan antara keadilan dengan penindasan, konflik antara manusia, alam, ketuhanan dan perasaan masyarakat yang bercampur baur dengan imaginasi.
Sekitar tahun 1940-an, perkembangan novel dipengaruhi oleh faktor sosial dan politik. Sebagai contoh, novel-novel karya Ahmad Lufti menggunakan masyarakat sebagai bahan cerita, misalnya novel yang bertajuk Pelayan (1948) dan Bilik 169 (1949). Segala permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat Melayu pada zamannya seperti kepincangan hidup, keruntuhan moral dan iman, kegilaan judi dan arak, kekurangan asuhan agama, kekalahan kepada nafsu serta pergaulan bebas menjadi persoalan utama yang digarap dalam novelnya. Persoalan masyarakat tersebut dikemukakan dengan tujuan untuk menimbulkan  keinsafan dan kesedaran kepada masyarakat, terutamanya masyarakat Melayu.
Harun Aminurrashid turut menghasilkan novel bercorak kemasyarakatan. Antara novelnya ialah Cinta Gadis Rimba (1947), Darah Kedayan (1947) dan Minah Joget Moden (1949). Novel Minah Joget Moden dianggap menarik kerana memperlihatkan sikap negatif masyarakat terhadap penari-penari joget. Mereka dianggap bergelumang dengan maksiat walaupun tidak semuanya berkelakuan demikian. Tafsiran masyarakat seperti ini cuba diperbetulkan oleh pengarang melalui watak anak wayang, iaitu Minah yang petah bercakap dan bersyarah tentang kesucian para seniman dan seniwati Melayu.
Selain novel yang bercorak kemasyarakatan, wujud juga novel yang bercorak semangat kebangsaan yang menyuarakan persoalan tentang politik dan kemerdekaan sekitar pertengahan tahun 1940-an. Sebagai contoh, karya Keris Mas yang bertajuk Pahlawan Rimba Malaya (1946). Novel ini membawa persoalan tentang semangat kebangsaan yang berfokus kepada perjuangan gerila Melayu menentang penjajah Jepun. Harun Aminurrashid pula menghasilkan novel Siapakah Yang Bersalah (1949) yang berkisar pengalaman pengarang sendiri yang terpaksa bekerjasama dengan Jepun. Daripada kerjasama itulah beliau dapat menolong bangsanya sendiri. Penceritaannya disampaikan dalam bentuk dokumentasi. Banyak peristiwa yang ditimbulkan dengan disertai petikan akhbar dan foto bagi mengukuhkan cerita.
Novel yang membicarakan pelbagai persoalan tentang perperangan akibat Perang Dunia Kedua, termasuklah persoalan tentang perperangan menentang Jepun dan kesannya terhadap kehidupan rakyat turut mendapat tempat di hati pengkarya. Misalnya, novel bercorak perperangan yang ditulis oleh Ahmad Lufti ialah 1374 hari berjuang (1948), Balik Dari Medan Perjuangan (1948), Sisa Neraka Dunia (1949) dan Bangkai Bernyawa (1949). Ahmad Murad Nasaruddin pula menghasilkan novel Nyawa Di Hujung Pedang (1948) dan Zain Zawiyah (1948). Kedua-duanya dianggap novel yang paling berhasil. Novel Nyawa Di Hujung Pedang misalnya, memenangi hadiah pertama dalam sayembara mengarang cerita yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Persekutuan Tanah Melayu. Novel ini menceritakan penderitaan seorang pemuda Melayu yang bernama Yazid, ditangkap oleh M.P. Jepun apabila dia difitnah oleh sahabat karibnya sendiri, iaitu seorang pemberi maklumat kepada pihak Jepun yang ingin memiliki kekasih Yazid yang jelita.
Novel Melayu dikatakan mengalami zaman kegemilangan pada tahun 1960-an, iaitu tahun-tahun bagi mengisi kemerdekaan. Penciptaan hasil karya dipertingkatkan bukan sahaja dari aspek kuantiti, tetapi juga kualitinya. Peraduan mengarang pula telah diadakan pada tahun 1958, 1962dan 1967. Rentetan daripada itu, lahirlah beberapa naskah novel yang baik dan tinggi nilainya seperti Salina  oleh A. Samad Said, Lingkaran dan Sandera oleh Arena Wati, Merpati Putih Terbang Lagi oleh Khadijah Hashim dan Pulanglah perantau oleh Ibrahim Omar. Peraduan ini seterusnya melahirkan pengarang baharu yang gigih dan berbakat besar seperti A. Samad Said, Arena Wati, Shanon Ahmad, Ibrahim Omar, Yahya Samah, Alias Ali, Ruhi Hayat, Abdullah Hussain, Salmi Manja dan Khadijah Hashim. Shanon merupakan pengarang yang paling produktif. Sekitar tahun 1960-an, beliau telah menghasilkan enam buah novel iaitu Rentong (1965), Terdedah (1965), Ranjau Sepanjang Jalan (1966), Protes (1967), Menteri (1967) dan Perdana (1969). A. Samad Said pula menjadi terkenal sebagai pengarang novel yang berjaya melalui novel Salina (1961). Novel ini mengisahkan tentang kehidupan sebahagian mangsa Perang Dunia Kedua di sebuah kampung kecil di Singapura yang bernama Kampung Kambing. Antara mangsanya ialah Siti Salina yang berasal daripada sebuah keluarga saudagar intan berlian yang terkorban dalam perperangan.
Pada tahun 1970-an, Shanon Ahmad terus giat berkarya. Beliau telah menghasilkan empat buah novel, iaitu Srengenge (1973), Sampah (1974), Kemelut (1977) dan Seluang Menodak Baung (1978). Arena Wati pula hanya menghasilkan sebuah novel, iaitu Sandera (1971).  Tokoh yang turut menghasilkan novel bermutu ialah Azizi Hj. Abdullah, Anwar Ridwan, A. Talib Hassan, Zahari Affandi dan Fatimah Busu.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran