Kaedah Pengajaran Kemahiran Membaca
Penulis: Muhammad
Al Afzan bin Ali Hussin
Menurut Abd. Aziz Abd. Talib (2000) dalam buku bukunya
yang bertajuk Pedagogi Bahasa Melayu:
Prinsip, Kaedah dan Teknik, terdapat empat kaedah mengajar kemahiran
membaca dalam Bahasa Melayu seperti yang berikut:
•
Kaedah Pandang Sebut
•
Kaedah Abjad
•
Kaedah Fonik
•
Kaedah Bunyi Kata
•
Kaedah Cerakinan
•
Kaedah Binaan
Kaedah
Pandang Sebut
Kaedah ini sangat popular dalam mengajar bacaan
dalam bahasa Inggeris, namun guru boleh mencuba kaedah ini untuk mengajar
membaca dalam Bahasa Melayu. Berdasarkan kaedah ini, pengajaran membaca adalah
berdasarkan perkataan-perkataan yang biasa diguna oleh murid dalam kehidupan
seharian yang membentuk kebanyakan pertuturan murid tersebut seperti saya, makan, lari, main, emak, bapa dan
sebagainya (Kamarudin Hj. Husin, 1998). Guru akan memperkenalkan beberapa
perkataan dahulu dan menyebut perkataan tersebut secara berulang. Pada
kebiasaannya, perkataan tersebut disertakan gambar untuk memudahkan pembelajaran
murid melalui pembelajaran secara visual. Kaedah tersebut tidak menggunakan
aktiviti mengeja sama sekali. Sekiranya murid tidak dapat menyebut perkataan tertentu,
guru menggunakan fonik atau bunyi huruf, iaitu menghubungkan satu huruf dengan
satu bunyi untuk membantu pelajar menyebut perkataan tersebut. Misalnya bagi
perkataan rumah, guru boleh membantu
murid dengan menyebut bunyi huruf r
iaitu [r] dan kalau perlu membunyikan
suku kata [ru]. Secara ringkas,
kaedah pandang sebut ini dapat membantu murid dalam mengukuhkan asas bacaan
berdasarkan skema bahasa sedia ada mereka.
Kaedah
Abjad
Raminah Hj. Sabran dan Rahim Syam (1985) menerusi
buku yang bertajuk Kaedah Pengajaran
Bahasa Melayu menyatakan bahawa kaedah abjad merupakan kaedah yang sering
kali digunakan oleh guru dalam pengajaran kemahiran membaca di sekolah. Menurut
kaedah tersebut, kanak-kanak diperkenalkan dengan nama-nama huruf bermula dari
huruf a sehingga huruf z. Setelah murid mengetahui nama-nama
huruf, murid akan diajar untuk mengenali huruf-huruf vokal iaitu a, e, i, o dan u, huruf-huruf konsonan serta diftong iaitu ai, au dan oi. Pada peringkat tersebut juga,
bunyi-bunyi huruf diperkenalkan kepada murid agar mereka mengetahui bunyi-bunyi
huruf tersebut. Selepas itu, huruf-huruf tersebut digabungkan bagi membolehkan
murid membentuk suku kata dan seterusnya membentuk perkataan.
•
Memperkenalkan huruf : a - z
•
Memperkenalkan huruf vokal a, e, i, o, u
•
Menggabungkan huruf konsonan dan vokal : ba, be,
bi, bo, bu
•
Membentuk perkataan daripada suku kata : ba
+ tu = batu
•
Seterusnya membentuk rangkai kata dan ayat mudah.
Kaedah abjad adalah dianggap sebagai satu
kaedah yang berkesan dalam pengajaran kemahiran membaca dalam kalangan murid kerana
kaedah tersebut bersesuaian dengan binaan perkataan bahasa Melayu yang terdiri
daripada suku kata yang tetap bunyinya. Kaedah ini juga membolehkan murid-murid
mengeja perkataan-perkataan baru yang belum dipelajarinya. Selain itu, kaedah
ini memberi asas yang kukuh dalam kemahiran membaca murid.
Kaedah
Fonik
Menurut Abd. Aziz Abd. Talib (2000), kaedah fonetik
mensyaratkan murid mengenal dan mengingat bentuk huruf dan bunyinya tanpa
mengingat nama huruf. Kaedah ini adalah berasaskan teori bahawa belajar membaca
melibatkan kebolehan mengenal kod (lambang), hubungan antara bunyi dan lambang
yang dilihat. Kaedah ini menekankan kepada setiap bunyi-bunyi abjad yang
terdapat dalam bahasa. Setiap abjad mempunyai bunyi-bunyi tertentu dan ada juga
abjad yang mempunyai lebih daripada satu bunyi terutama dalam bahasa Inggeris.
Kaedah ini boleh dimulakan dengan pengenalan bunyi huruf-huruf vokal dan
konsonan.
Bunyi-bunyi tersebut kemudian
digabungkan untuk membentuk suku kata, dan seterusnya kepada pembentukan
perkataan yang bermakna. Guru-guru boleh menggunakan gambar-gambar ilustrasi
untuk menarik minat murid-murid sebagai sokongan. Murid-murid tidak diajar
nama-nama huruf, sebaliknya diajar bunyi-bunyi huruf. Setelah mereka tahu
hubungan tiap-tiap huruf dengan bunyinya, sukukata pula boleh dibina, kemudian
baru digabungkan suku kata-suku kata ini menjadi perkataan-perkataan.
Seterusnya murid-murid diberi latihan membaca ayat-ayat mudah yang menggunakan
perkataan-perkataan yang telah dipelajari.
Kaedah
Bunyi Kata
Profesor Isahak Haron merupakan individu yang
memperkenalkan kaedah bunyi kata dalam pengajaran kemahiran membaca.
Berdasarkan kaedah ini, pembelajaran kemahiran membaca murid berlaku secara
berperingkat bermula dengan bunyi huruf digabungkan dengan nama huruf dan
bentuk huruf (Abd. Aziz Abd. Talib, 2000). Setelah itu, murid membina suku kata
dan seterusnya membina perkataan. Contoh aktiviti bagi pengajaran kemahiran
membaca adalah seperti yang berikut:
• Guru menunjukkan huruf pada kad imbasan dengan
gambar di sebelah belakang. Murid menyebut nama huruf tersebut.
•
Guru menyebut perkataan dan bunyi huruf.
•
Murid mengulangi menyebut perkataan dan bunyi
huruf.
•
Guru menyebut bunyi huruf dan kemudian menyebut
nama huruf.
• Murid mengulang bunyi dan menyebut nama huruf,
menulis huruf sambil menyebutnya (terjemahkan bunyi yang didengar kepada
tulisan) dan seterusnya murid menulis huruf-huruf.
•
Murid membaca apa yg telah ditulisnya, iaitu
membunyikan huruf (terjemahkan huruf yang ditulis kepada bunyi yang boleh
didengar).
•
Murid menulis huruf dengan mata tertutup untuk
dapat merasakan huruf itu
Setelah murid sudah biasa
dengan nama, bunyi, dan bentuk huruf, guru boleh teruskan dengan latih tubi bagi
kemahiran membaca seperti yang berikut:
•
Murid melihat semula kad imbasan dan membunyikan
huruf dengan kuat (proses bacaan).
•
Guru membunyikan huruf-huruf tertentu secara rawak.
Murid menyebut nama huruf dan kemudiannya menulis (proses mengeja).
Hubungan antara nama, bunyi, dan bentuk huruf hendaklah diajar terlebih dahulu kepada
murid dengan pengetahuan bahawa sesetengah huruf adalah vokal dan sangat
diperlukan dalam setiap perkataan. Kemudian diajar huruf dan bunyi vokal pula.
Kaedah Cerakinan
Pendekatan cerakinan ini
dikenali sebagai pendekatan analisis iaitu pendekatan pengajaran ini
mendahulukan unsur yang besar, kemudian unsur itu dicerakinkan kepada
unsur-unsur yang kecil yang membentuk struktur yang besar tersebut. Melalui
pendekatan ini, pengajaran bacaan ini dimulakan dengan memperkenalkan ayat
kepada murid – murid kemudian ayat itu dicerakinkan kepada perkataan-perkataan,
daripada perkataan dipecahkan kepada suku kata seterusnya huruf-huruf. Contoh
ayat seperti ‘saya sayang ibu’. Dalam ayat ini, perkataan-perkataan
ialah ‘saya’ , ‘sayang’, ‘ibu’, manakala suku kata terdiri
daripada ‘sa + ya’ , ‘sa + yang’ , ‘i + bu’ , dan
huruf-huruf ialah ‘s’, ‘a’, ‘y’, ‘a’, ‘s’, ‘a’, ‘y’, ‘a’, ‘n’. ‘g’, ‘i’,
‘b’, ‘u’. Kaedah yang sesuai dengan pendekatan ini ialah kaedah pandang dan
sebut yang di dalamnya terangkum kaedah seluruh perkataan, kaedah rangkai kata,
kaedah ayat dan kaedah cerita.
Kaedah Binaan
Pendekatan binaan juga
dikenali sebagai pendekatan sintesis iaitu pengajaran bacaan bagi pendekatan
ini dimulakan dengan memperkenalkan unsur-unsur yang terkecil terlebih dahulu
kemudian diikuti dengan unsur yang lebih besar. Dalam pendekatan ini,
murid-murid akan diperkenalkan dengan huruf-huruf terlebih dahulu kemudian
diikuti dengan suku kata, perkataan, rangkai kata, ayat dan cerita. Contoh,
untuk mengajar perkataan ‘makan’, murid-murid perlu diperkenalkan dahulu
dengan huruf-huruf ‘m’, ‘a’, ‘k’, ’a’ dan ‘n’ dan daripadanya
dibentuk suku kata ‘ma’ dan ‘kan’, kemudian digabungkan menjadi ‘makan’.
Perkataan ini akan digalurkan dengan perkataan lain yang telah diketahui oleh
pelajar untuk membentuk rangkai kata, ayat dan seterusnya cerita. Kaedah yang
sesuai dengan pendekatan ini ialah kaedah abjad.
Ulasan
Catat Ulasan