Laporan Temu Bual Mengenai Aspek, Kesan dan Implikasi Kepelbagaian Sosiobudaya di Malaysia
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Pada 16 Mac 2017,
saya telah menjalankan sesi temu bual bersama dengan salah seorang guru di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna, Sabah.
Tujuan saya melakukan sesi temu bual tersebut adalah untuk mengetahui berkenaan
dengan aspek, kesan dan implikasi kepelbagaian sosiobudaya di Malaysia. Perkara
tersebut bertepatan dengan tugasan kursus asas pendidikan iaitu EDUP3073 Budaya dan Pembelajaran yang
mana mengkehendaki saya menjalankan sesi temu bual terhadap guru di sekolah
pilihan saya menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah. Semasa melaksanakan sesi
temu bual bersama guru tersebut, saya telah mengutarakan beberapa soalan yang
berkaitan dengan aspek, kesan dan implikasi kepelbagaian sosiobudaya khususnya
di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna.
Berdasarkan
temu bual yang telah saya jalankan, terdapat beberapa aspek, kesan dan
implikasi kepelbagaian sosiobudaya di Malaysia khususnya di Sekolah Kebangsaan
Pekan Semporna. Menurut responden, terdapat lima aspek kepelbagaian sosiobudaya
di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna iaitu bangsa, bahasa, struktur sosial,
kepercayaan dan adat resam. Saya bersetujua dengan kenyataan responden berkenaan
dengan aspek sosiobdaya. Noriati A. Rashid et al. (2014) bahawa aspek budaya
sosiobudaya seperti bangsa, bahasa, adat resam dan jantina. Dari segi bangsa,
murid di Sekolah Kebangsaan majoritinya berbangsa Bajau. Terdapat juga murid
daripada bangsa-bangsa lain seperti Bugis, Suluk dan Melayu. Untuk aspek
struktur sosial pula, responden menyatakan bahawa terdapat dua peringkat
struktur sosial di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna iaitu kelas pertengahan
dan kelas bawahan. Berlandaskan aspek bahasa, kebanyakan murid di sekolah
tersebut menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi meskipun terdapat
sedikit penggunaan bahasa ibunda. Menerusi temu bual yang dijalankan, responden
menyatakan bahawa kepelbagaian sosiobudaya dari aspek kepercayaan tidak wujud
di sekolah ini kerana semua murid menganut agama Islam. Untuk aspek adat resam
pula, terdapat pelbagai jenis adat resam
murid di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna kerana muridnya terdiri
daripada pelbagai kaum meskipun didominasi oleh kaum Bajau.
Responden
telah menyatakan beberapa kesan kepelbagaian sosiobudaya dalam kalangan murid
di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna. Menurut responden, kesan yang paling
ketara akibat wujudnya sosiobudaya yang pelbagai dalam kalangan murid di dalam
bilik darjah ialah penggunaan bahasa. Dalam hal ini, responden menerangkan
bahawa murid di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna ini menggunakan bahasa ibunda
apabila berkomunikasi dengan rakan mereka yang terdiri daripada suku kaum yang
sama. Keadaan tersebut bertepatan dengan pernyataan Sufean Hussin (2004) yang
menyatakan bahawa murid-murid yang terdiri daripada bangsa yang sama lebih
cenderung untuk menggunakan bahasa ibunda bangsa masing-masing apabila
berkomunikasi sesama mereka. Kepelbagaian sosiobudaya dalam kalangan murid juga
menyebabkan murid di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna ini mengetahui tentang
budaya kaum lain menerusi interaksi sesama murid yang berbeza kaum. Perkara
tersebut bertepatan dengan Najeemah Md. Yusof (2006) yang menyatakan bahawa
interaksi antara murid yang terdiri daripada kaum berbeza menyebabkan murid
tersebut mengetahui aspek-aspek sosiobudaya yang berbeza sesama mereka. Kepelbagaian
sosiobudaya yang wujud dalam kalangan murid juga mengakibatkan murid berkumpul
mengikut kumpulan tertentu mengikut bangsa, bahasa dan struktur sosial seperti
mana yang dapat dilihat di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna. Hal ini
signifikan dengan teori perapatan Ainsworth iaitu kanak-kanak menjalinkan
hubungan sosial dengan individu yang mempunyai persamaan dengan mereka (Wong
Kiet Wah et al., 2013).
Dalam
sesi temu bual yang telah dijalankan, responden telah menyatakan beberapa
implikasi kepelbagaian sosiobudaya dalam kalangan murid berdasarkan empat aspek
iaitu murid, guru, sekolah dan pelaksanaan kurikulum tersirat. Dalam konteks murid, kepelbagaian sosiobudaya
memerlukan murid tersebut menggunakan Bahasa Melayu ketika berkomunikasi sesama
mereka. Menerusi penggunaan Bahasa Melayu yang juga merupakan bahasa
kebangsaan, semangat perpaduan dalam kalangan murid dapat diwujudkan (Siti
Hajar Abdul Aziz, 2011). Implikasi kepelbagaian sosiobudaya yang seterusnya
ialah murid perlu memahami perbezaan dalam kalangan mereka. Perkara tersebut
adalah penting untuk mewujudkan penerimaan terhadap perbezaan aspek sosiobudaya
dalam kalangan murid untuk mewujudkan perasaan saling hormat-menghormati sesama
murid seperti mana yang ditekankan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(2013-2025) menerusi aspek identiti nasional (Goay Teck Chong et al., 2013).
Menurut
responden kepelbagaian sosiobudaya dalam kalangan murid juga memberikan
implikasi terhadap guru kerana guru merupakan individu yang berperanan sebagai
pendidik murid. Berdasarkan pernyataan tersebut, implikasi kepelbagaian
sosiobudaya dalam kalangan murid terhadap guru ialah guru perlu merancang
aktiviti pembelajaran yang sesuai dengan semua kepercayaan, nilai dan agama
murid menerusi pembelajaran secara koperatif. Menurut Ragbir Kaur Joginer Singh
(2013), pembelajaran secara koperatif mengalakkan murid untuk menerima perbezaan
sesama mereka. Implikasi kepelbagaian sosiobudaya yang berikutnya ialah guru
menggunakan Bahasa Melayu ketika berkomunikasi untuk membudayakan penggunaan
Bahasa Melayu dalam kalangan murid. Hal ini selaras dengan teori pembelajaran
Albert Bandura yang mana murid belajar menerusi aktiviti peniruan (Wong Kiet
Wah et al., 2013).
Responden
juga turut menyatakan bahawa implikasi kepelbagaian sosiobudaya tidak hanya
terhad dalam konteks murid dan guru. Kepelbagaian sosiobudaya dalam kalangan
murid turut memberi implikasi terhadap sekolah. Implikasi kepelbagaian
sosiobudaya dalam kalangan murid terhadap sekolah ialah ialah pihak sekolah seharusnya
merancang aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan
murid yang pelbagai kaum. Sebagai tamsilan, pihak pengurusan sekolah boleh
menganjurkan aktiviti sukaneka dan sebagainya. Pihak pengurusan sekolah
juga perlu memberi perhatian terhadap pembahagian murid di dalam bilik darjah iaitu membahagikan murid yang terdiri
pelbagai kaum dengan seimbang bagi setiap kelas. Respondan menyatakan bahawa
berdasarkan situasi ketidakseimbangan kaum di Sekolah Kebangsaan Pekan
Semporna, pihak pengurusan sekolah membahagikan murid ke dalam kelas yang
terdiri daripada pelbagai kaum meskipun kelas tersebut didominasi oleh murid
berbangsa Bajau.
Berdasarpan
perspektif responden, kepelbagaian sosiobudaya dalam kalangan murid turut
memberikan implikasi terhadap pengimplementasian kurikulum tersirat. Responden
berpendapat bahawa implikasi kepelbagaian sosiobudaya dalam kalangan murid
terhadap pengimplementasian kurikulum tersirat ialah pengajaran dan
pembelajaran termasuklah pemupukan nilai-nilai murni dalam diri murid. Seterusnya,
implikasi kepelbagaian sosiobudaya terhadap kurikulum tersembunyi ialah guru
memberikan peneguhan kepada murid tanpa mengira bangsa, agama dan kelas sosial
sewaktu mengajar.
Secara
holistik, terdapat pelbagai aspek sosiobudaya yang mendatangkan pelbagai kelas
dan implikasi terhadap murid, guru, sekolah dan pelaksanaan kurikulum tersirat
berdasarkan sesi temu bual yang telah dijalankan.
Disediakan oleh,
18 Mac 2017
(MUHAMMAD AL AFZAN BIN ALI HUSSIN)
Pelajar PISMP Bahasa Melayu (SK) Ambilan Jun
2015
IPG Kampus Tawau, Sabah.
(892 patah perkataan)
Ulasan
Catat Ulasan