Pengenalan kepada Sastera Lisan
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Dalam sastera rakyat,
sastera bermaksud hasil-hasil kreatif yang termasuk dalamnya daya ciptaan
imaginatif pencipta yang mengandungi nilai-nilai world view masyarakat itu sendiri (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011).
Masyarakat yang dimaksudkan dalam konteks ini merujuk kepada orang biasa atau
masyarakat desa yang hidup secara kolektif dalam satu ikatan kekeluargaan yang
besar. Mereka saling berkongsi suka, duka dan kesusahan, bekerjasama dalam
melakukan sesuatu aktiviti dan bergotong royong dalam pekerjaan, serta
bersama-sama dalam urusan dunia dan akhirat. Mereka hidup secara berkelompok
dengan mengamalkan nilai kemasyarakatan yang tinggi dan semangat kekitaan yang
erat. Masyarakat sastera rakyat ini agak tertutup dan kurang hubungannya dengan
masyarakat luar kerana mereka sangat berpegang teguh pada corak budaya lama
atau tradisional. Konsep tersebut izhar menyatakan bahawa sastera rakyat
merupakan hasil-hasil sastera yang dilahirkan oleh masyarakat atau rakyat yang
diaspirasikan melalui bentuk lisan.
Sastera rakyat mejadi hasil sastera milik masyarakat yang diperturunkan
daripada satu generasi kepada generasi yang lain secara lisan. Antara ciri
sastera rakyat termasuklah penyebaran dan pewarisannya berlaku secara lisan,
bersifat tradisional dan lama, iaitu berada dalam sesuatu kebudayaan dalam
tempoh lebih daripada dua generasi dan dalam bentuk relatif tetap serta
bersifat anonimi yakni menggunakan nama samaran atau langsung tiada nama
pencipta. Sastera rakyat besifat dinamis kerana sastera ini akan berubah mengikut
peredaran zaman. Sastera rakyat merupakan satu dunia yang luas merangkumi
segala pengucapan indah-indah yang lahir di kalangan masyarakat dan tidak hanya
merujuk kepada cerita rakyat. Secara kasarnya sastera rakyat boleh dibahagikan
kepada 2 kategori yang besar, iaitu sastera rakyat naratif dan sastera rakyat
bukan naratif.
Ulasan
Catat Ulasan