Peranan Guru Aliran Perdana dalam Merealisasikan Konsep, Matlamat dan Dasar Pendidikan Inklusif di Sekolah
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Berdasarkan
definisi yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2013), Program
Pendidikan Inklusif merupakan suatu program pendidikan bagi murid berkeperluan
pendidikan khas yang dihadiri oleh murid berkeperluan khas bersama-sama dengan
murid lain dalam kelas yang sama di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan
kerajaan. Lee Keok Cheong dan Sailajah Nair Sukumaran (2018) menyatakan bahawa
matlamat Program Pendidikan Inklusif adalah untuk meningkatkan penyertaan dan
memberikan peluang kepada murid berkeperluan khas menyertai program akademik
dan bukan akademik bersama-sama murid normal di arus perdana. Namun demikian,
terdapat beberapa halangan yang dihadapi dalam pelaksanaan Program Pendidikan
Inklusif di sekolah. Halangan tersebut seharusnya diatasi untuk memastikan
konsep, matlamat dan dasar Program Pendidikan Inklusif dapat direalisasikan
seperti mana yang dikehendaki oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Pelaksanaan
Program Pendidikan Inklusif adalah signifikan dengan aspirasi sistem pendidikan
negara dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) iaitu Setiap
kanak-kanak warganegara Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang
pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia
berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari
peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang
2020. Dalam merealisasikan konsep, matlamat dan dasar Program Pendidikan
Inklusif tersebut, guru aliran perdana memainkan peranan yang amat penting.
Dalam merealisasikan konsep,
matlamat dan dasar Program Pendidikan Inklusif di sekolah, guru aliran perdana
seharusnya menggunakan sumber pembelajaran dan pemudahcaraan yang bersesuaian
dengan keperluan murid yang terdapat di dalam bilik darjah inklusif.
Berdasarkan takrifan yang diberikan oleh Noriati A. Rashid et al. (2009), sumber
pembelajaran dan pemudahcaraan merupakan segala kelengkapan yang digunakan oleh
guru atau murid untuk membantunya dalam menyampaikan pengajaran di bilik darjah
inklusif. Penggunaan sumber pembelajaran dan pemudahcaraan yang bersesuaian
amatlah penting untuk membolehkan murid berkeperluan khas dapat memahami
sesuatu konsep yang disampaikan oleh guru ketika berlangsungnya proses
pembelajaran dan pemudahcaraan di dalam bilik darjah tersebut. Sebagai contoh,
guru aliran perdana boleh menggunakan sumber pembelajaran dan pemudahcaraan
berasaskan visual sekiranya dalam kelas tersebut terdapat murid yang mempunyai
masalah pendengaran. Dalam hal ini, penggunaan sumber pembelajaran dan
pemudahcaraan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi amatlah penting selaras
dengan keperluan pembelajaran abad ke-21 yang memberi fokus terhadap
pengintegrasian media teknologi maklumat dan komunikasi dalam sumber
pembelajaran dan pemudahcaraan di dalam bilik darjah. Deduksinya, guru aliran
perdana seharusnya menggunakan sumber pembelajaran dan pemudahcaraan dalam
merealisasikan konsep, matlamat dan dasar Program Pendidikan Inklusif agar
murid berkeperluan khas dapat memahami sesuatu konsep yang disampaikan oleh
guru ketika berlangsungnya proses pembelajaran dan pemudahcaraan di dalam bilik
darjah inklusif sama seperti murid yang lain.
Guru aliran perdana juga seharusnya mengaplikasikan strategi
pembelajaran dan pemudahcaraan yang bersesuaian dengan keperluan murid yang
terdapat di dalam bilik darjah dalam usaha untuk merealisasikan konsep,
matlamat dan dasar Program Pendidikan Inklusif di sekolah. Menurut Mok Soon
Sang (2009), strategi pembelajaran dan pemudahcaraan merujuk kepada kaedah
bagaimana guru mengendalikan sesuatu aktiviti pembelajaran dan pemudahcaraan
dengan sistematik untuk mencapai objektif pembelajaran dan pemudahcaraan yang
telah ditetapkan. Dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah, penggunaan strategi
pembelajaran dan pemudahcaraan yang pelbagai oleh guru amat dituntut untuk
meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran dan pemudahcaraan (Kementerian
Pendidikan Malaysia, 2013). Pengaplikasian strategi pembelajaran dan
pemudahcaraan yang bersesuaian dengan murid dalam sesebuah bilik darjah amat
penting untuk membolehkan guru aliran perdana melaksanakan proses pembelajaran
dan pemudahcaraan dengan lebih berkesan. Dalam pada itu, guru aliran perdana
seharusnya memilih strategi pembelajaran dan pemudahcaraan yang bersesuaian
dengan murid berkeperluan khas dan murid aliran perdana untuk melaksanakan
pembelajaran dan pemudahcaraan dengan lebih efektif (Lee Keok Cheong dan
Sailajah Nair Sukumaran, 2018). Sekiranya dalam kelas tersebut terdapat murid
yang mempunyai masalah pendengaran, guru aliran perdana boleh menggunakan
strategi pembelajaran dan pemudahcaraan mediatif yang menekankan penggunaan
bahan-bahan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pembelajaran dan
pemudahcaraan. Penggunaan bahan-bahan berasaskan teknologi maklumat dan
komunikasi dalam pembelajaran dan pemudahcaraan membolehkan murid berkeperluan
khas memahami konsep yang disampaikan oleh guru menerusi pengintegrasian bahan
visual, bahan audio, bahan teks dan bahan maujud dalam proses pembelajaran dan
pemudahcaraan. Konklusinya, guru aliran perdana perlu mengaplikasikan strategi
pembelajaran dan pemudahcaraan yang bersesuaian dengan keperluan murid yang
terdapat di dalam bilik darjah dalam usaha untuk merealisasikan konsep,
matlamat dan dasar Program Pendidikan Inklusif di sekolah.
Melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi
juga merupakan salah satu cara bagaimana guru aliran perdana dapat membantu
dalam merealisasikan konsep, matlamat dan dasar Program Pendidikan Inklusif di
sekolah. Penguasaan guru aliran perdana terhadap teknologi maklumat dan
komunikasi amat penting ke arah meningkatkan kompetensi diri. Noriati A. Rashid
et al. (2012) menyatakan bahawa pengaplikasian teknologi maklumat dan
komunikasi dalam proses pembelajaran dan pemudahcaraan dapat membantu
meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran dan pemudahcaraan tersebut.
Berdasarkan pernyataan tersebut, pengimplementasian teknologi maklumat dan
komunikasi dalam proses pembelajaran dan pemudahcaraan dapat membantu
mewujudkan suasana pembelajaran dan pemudahcaraan yang bermakna dalam kalangan
murid di dalam bilik darjah. Perkara tersebut signifikan dengan anjakan ketujuh
dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang berhasrat untuk
memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi bagi meningkatkan kualiti
pembelajaran di Malaysia. Dalam konteks proses pembelajaran dan pemudahcaraan,
penguasaan guru aliran perdana terhadap teknologi maklumat dan komunikasi
membolehkan guru tersebut mempelbagaikan sumber pembelajaran dan pemudahcaraan
menerusi pengintegrasian elemen audio, visual dan juga teks. Hal ini secara
tidak langsung membantu guru dalam menyediakan sumber pembelajaran dan
pemudahcaraan yang menarik serta bersesuaian dengan murid aliran perdana serta
murid berkeperluan khas dalam bilik darjah inklusif. Tamsilannya, menerusi
penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi, guru dapat membantu murid
bermasalah pendengaran untuk memahami sesuatu konsep dengan bantuan video.
Intihanya, penguasaan guru terhadap teknologi maklumat dan komunikasi
membolehkan murid berkeperluan khas memahami isi pelajaran bertepatan dengan konsep,
matlamat dan dasar Program Pendidikan Inklusif di sekolah.
Untuk merealisasikan konsep, matlamat dan dasar Program Pendidikan
Inklusif di sekolah, guru aliran perdana perlu melakukan kolaboratif dengan
guru pendidikan khas. Dalam hal ini, guru pendidikan khas akan memberikan
maklumat berkenaan dengan murid berkeperluan khas yang diinklusifkan kepada
guru aliran perdana. Maklumat tersebut amat penting kepada guru aliran perdana
dalam melakukan penyesuaian kurikulum menerusi perbincangan yang lebih
terperinci untuk membantu proses pembelajaran dan pemudahcaraan yang bermakna.
Dalam erti kata yang lain, kolaboratif tersebut membolehkan guru aliran perdana
melakukan modifikasi terhadap strategi, pendekatan, kaedah dan teknik
pembelajaran dan pemudahcaraan ketika berlangsungnya proses pembelajaran dan
pemudahcaraan di dalam bilik darjah terutamanya dalam penghasilan Rancangan
Pengajaran Individu. Hal tersebut sejajar dengan penyataan Lee Keok Cheong dan
Sailajah Nair Sukumaran (2018) yang menegaskan bahawa adalah penting untuk guru
aliran perdana dan guru pendidikan khas mewujudkan budaya kolaboratif dalam
usaha untuk menyediakan pembelajaran yang bermakna bagi murid berkeperluan khas
yang diinklusifkan. Dengan itu, murid berkeperluan khas dapat mengikuti sesi pembelajaran
dan pemudahcaraan yang bersesuaian dengan tahap kognitif serta kemampuan mereka
menerusi modifikasi kurikulum yang telah dilaksanakan. Keadaan tersebut
membolehkan murid berkeperluan khas mengikuti sesi pembelajaran dan
pemudahcaraan secara aktif. Ringkasnya, kolaboratif antara guru aliran perdana
dan dengan guru pendidikan khas mewujudkan suasana pembelajaran dan
pemudahcaraan yang bermakna kepada murid berkeperluan khas ke arah
merealisasikan konsep, matlamat dan dasar Program Pendidikan Inklusif di
sekolah.
Pelaksanaan konsep komuniti pembelajaran professional juga perlu untuk
merealisasikan konsep, matlamat dan dasar Program Pendidikan Inklusif di
sekolah. Menerusi pelaksanaan konsep komuniti pembelajaran professional, guru
aliran perdana dapat meningkatkan pengetahuan mereka dalam pelbagai aspek
seperti pedagogi pembelajaran dan pemudaharaan, kemahiran teknologi maklumat
dan komunikasi serta kompetensi diri untuk meningkatkan keberkesanan proses
pembelajaran dan pemudaharaan yang dilaksanakan. Menurut Ragbir Kaur Joginder
Singh (2013), komuniti pembelajaran professional merujuk kepada usaha para
pendidik yang komited dan
bekerja secara kolaboratif serta
berterusan dalam membuat inkuiri atau kajian tindakan untuk mencapai prestasi
yang lebih baik untuk murid mereka. Berdasarkan konteks Program Pendidikan
Inklusif, pelaksanaan konsep komuniti pembelajaran professional membantu guru
aliran perdana dalam meningkatkan pengetahuan mereka terhadap pedagogi yang
bersesuaian dengan murid aliran perdana dan murid berkeperluan khas yang
diinklusifkan dalam sesebuah bilik darjah. Hal tersebut amatlah penting untuk
membolehkan guru aliran perdana melaksanakan proses pembelajaran dan
pemudaharaan dengan lebih bermakna. Noriati A. Rashid et al. (2009) menyatakan bahawa
pemilihan langkah pembelajaran dan pemudaharaan yang relevan adalah perlu untuk
membolehkan murid dalam kelas mengalami
proses pembelajaran dan pemudaharaan yang bermakna. Antara contoh aktiviti komuniti
pembelajaran professional yang boleh dilaksanakan oleh guru aliran perdana
ialah bimbingan rakan sebaya guru, pembelajaran menerusi rancangan pengajaran
harian, sesi perkongsian guru dan kajian video pengajaran guru. Aktiviti
tersebut membolehkan guru aliran perdana melaksanakan amalan reflektif iaitu
melakukan penambahbaikan terhadap proses pembelajaran dan pemudaharaan yang
dilaksanakan agar murid berkeperluan khas yang diinklusifkan memperoleh
pengalaman pembelajaran dan pemudaharaan yang bermakna. Tuntasnya, pelaksanaan
konsep komuniti pembelajaran profesional
membolehkan guru aliran perdana meningkatkan kemahiran mereka dalam
melaksanakan proses pembelajaran dan pemudaharaan dalam bilik darjah inklusif
signifikan dengan usaha untuk merealisasikan konsep, matlamat dan dasar Program
Pendidikan Inklusif di sekolah.
Secara holistik, guru aliran perdana memainkan peranan yang cukup
signifikan dalam usaha untuk merealisasikan konsep, matlamat dan dasar Program
Pendidikan Inklusif di sekolah. Perkara tersebut amatlah penting dalam usaha
untuk menjayakan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang
ingin mewujudkan kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan murid mencapai
potensi masing-masing tanpa mengira perbezaan fizikal menerusi pelaksanaan Program
Pendidikan Inklusif. Dalam hal ini, Program Pendidikan Inklusif merupakan
medium yang efektif dan penting untuk mewujudkan kesamarataan peluang
pendidikan antara murid aliran perdana dengan murid berkeperluan khas dalam
bilik darjah inklusif. Untuk itu, Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai
sebuah organisasi yang penting dalam pelaksanaan sistem pendidikan di Malaysia
seharusnya mengambil langkah yang proaktif dalam usaha untuk meningkatkan
keberkesanan pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif di setiap sekolah. Dalam pada itu, guru aliran perdana sebagai
tunjang dalam pelaksanaan kurikulum dalam konteks sistem pendidikan negara
seharusnya mencari inisiatif bagi meningkatkan kemahiran dan kompetensi diri.
Perkara tersebut perlu untuk memastikan proses pembelajaran dan pemudahcaraan
dalam bilik darjah inklusif berjalan dengan lancar. Oleh yang demikian, dalam
usaha untuk merealisasikan konsep, matlamat dan dasar Program Pendidikan
Inklusif di sekolah, semua pihak haruslah mengimplementasikan budaya
kolaboratif.
Terbaik.....pohon share yer
BalasPadamkalau ada sumber rujukan lagi cantik.
BalasPadam