Nilai-nilai Murni dalam Sastera Kanak-kanak


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Penyerapan nilai murni dalam karya sastera kanak-kanak adalah bertujuan untuk melahirkan insan yang berketerampilan dan memiliki akhlak yang mulia. Selain itu, penghayatan dan amalan murni dapat membentuk generasi muda yang berhemah tinggi dan berkeperibadian luhur. Pemahaman dan kesedaran tentang nilai murni dalam masyarakat Malaysia harus dipupuk secara langsung atau tidak langsung selaras dengan nilai-nilai sejagat.
Kurikulum pendidikan awal prasekolah (PPK, 2000) menggariskan bahawa prinsip utama pengajaran bahasa adalah untuk menyepadukan empat kemahiran bahasa iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa yang dipelajari oleh kanak-kanak. Empat kemahiran ini dapat dimantapkan lagi menerusi penciptaan karya kreatif penulisan sastera kanak-kanak mengikut keupayaan umur kanak-kanak. Oleh yang demikian, penulisan sastera kreatif kanak-kanak ini dapat digunakan untuk membantu perkembangan bahasa dan komunikasi kanak-kanak menerusi pelbagai kaedah atau corak pengajaran sastera kanak-kanak. Contohnya, aktiviti membaca cerita kanak-kanak menggunakan suara yang kuat boleh diaplikasikan di dalam bilik darjah. Melalui aktiviti bacaan secara kuat tersebut, kanak-kanak berpeluang mendengar sebutan yang betul, menyatakan idea atau pendapat melalui perbincangan, dan menceritakan semula, menulis atau melukis cerita yang telah didengar atau dibaca (Allor & MC Cathreen, 2003). Menerusi aktiviti ini, kanak-kanak didedahkan dengan fungsi literasi secara tidak langsung seterusnya dapat menarik perhatian mereka dengan lebih mudah. Di samping itu, kaedah tersebut juga dapat memperkaya perbendaharaan kata kanak-kanak. Bagi pembaca baharu pula, pembacaan buku dengan menggunakan suara yang kuat dapat memperkenalkan cara penggunaan serta fungsi buku kepada mereka (Allor & Mc Cathreen, 2003).
Menurut Tan et al. (2003), Kohlberg membahagikan perkembangan moral kepada enam peringkat yang memfokuskan keupayaan kanak-kanak dalam mengadili sesuatu dan cara mereka menyelesaikan dilema berkaitan moral. Pada peringkat pertama, kanak-kanak didedahkan kepada orientasi ke arah hukuman dan ketaatan, iaitu mereka akan sentiasa mengikut peraturan agar tidak dikenakan hukuman. Pada peringkat kedua pula, kanak-kanak melakukan sesuatu berdasarkan keinginan atau kemahuan untuk mendapatkan sesuatu balasan. Apabila semakin matang, mereka berubah ke peringkat ketiga, iaitu melakukan perkara baik yang dilakukan oleh budak baik. Pada tahap ini, kanak-kanak telah menerima norma yang telah ditetapkan oleh masyarakat. Menurut Glazer (2000), kanak-kanak akan mendapat pengajaran tentang sebab dan akibat daripada sesuatu perlakuan melalui cerita kanak-kanak. Seperti yang dinyatakan Oleh Kohlberg, pada awalnya kanak-kanak mengikut peraturan kerana takut akan hukuman dan ingin mendapatkan balasan yang baik. Bagi orientasi seperti ini, cerita yang menggambarkan perbuatan baik akan dibalas baik dan perbuatan jahat akan mendapat balasan buruk dapat memberikan pengajaran kepada kanak-kanak. Oleh itu, cerita-cerita yang berbentuk teladan amat sesuai pada peringkat usia kanak-kanak ketika ini. Melalui cerita kanak-kanak juga, mereka akan mendapat contoh-contoh perwatakan yang dikatakan baik seterusnya menjadi idola yang ingin diikuti Oleh mereka seperti konsep seseorang budak yang baik.
Kanak-kanak yang memiliki pemikiran bijak dapat dilihat apabila mereka mampu menilai orang lain yang berada di persekitaran mereka. Selain itu, mereka juga sentiasa bertolak-ansur dalam apa-apa juga keadaan sekiranya mereka bersetuju dengan perkara yang dikehendaki. Cerita sastera kanak-kanak banyak dipenuhi dengan kisah-kisah pengaj aran bertujuan menyemai semangat kerohanian dalam jiwa kanak-kanak. Watak-watak yang digunakan mengambil contoh daripada watak sebenar sebagai panduan kepada kanak-kanak untuk meniru perlakuan baik yang dilakukan oleh watak-watak dalam cerita kanak-kanak tersebut,
Menurut pensyarah akademik dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, iaitu Profesor Madya Dr. Sohaimi Abdul Aziz dan Rohaya Md Ali ketika memperkatakan perihal Pengajian Sastera Kanak-kanak di Malaysia: Sejarah dan Perkembangannya, sastera kanak-kanak di Malaysia berkembang dengan pesat berdasarkan jumlah judul buku yang diterbitkan sejak tahun 1970-an. Namun, mereka berpendapat bahawa sastera kanak-kanak di Malaysia merupakan satu bidang pengajian atau disiplin akademik yang masih belum bercambah. Tinjauan pada peringkat institusi pengajian tinggi mendapati bahawa hanya ti ga buah universiti yang menawarkan kursus sastera kanak-kanak, manakala bidang penyelidikan yang paling popular ialah analisis isi dan idea cerita seperti tema, plot, watak, unsur pengajaran serta nilai murni dalam karya sastera pilihan. Perkembangan bahan bacaan kanak-kanak tidak boleh diperkaya tanpa kajian dan penyelidikan untuk meningkatkan mutu pengeluarannya. Kajian tentang sastera kanak-kanak dari pelbagai aspek secara tidak langsung dapat mengatasi kekurangan dalam penyelidikan sastera kanak-kanak di Malaysia.
Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang, Mohd Haidi Mohd Kasran pula yakin bahawa penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa dapat meningkatkan keupayaan pelajar dari segi penggunaan bahasa kerana karya sastera mengandungi perbendaharaan kata yang indah, tinggi, dan mewah. Beliau turut menyatakan bahawa karya sastera sama ada untuk kanak-kanak, remaja atau dewasa bermatlamat mendidik dan membangunkan diri manusia dari segi personaliti, pemikiran atau kebahasaan. Hal ini diperkatakan oleh beliau ketika membincangkan Kurikulum dalam Pembelajaran Sastera untuk Kanak-kanak menerusi pelaksanaan Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Kurikulum ini bukan sahaja mampu meningkatkan keupayaan pembelajaran bahasa kanak-kanak, malah kaedah ini turut memberikan rangsangan dan minat yang tinggi kepada kanak-kanak untuk terus mendalami dunia sastera. Langkah tersebut juga melatih kanak-kanak untuk mendedahkan diri mereka kepada dunia sastera kanak-kanak sekali gus mendorong mereka untuk menjadi penulis sastera kanak-kanak dengan lebih serius.
Penulisan sastera kreatif kanak-kanak ini tidak Iari daripada cerita-cerita tentang haiwan, jenaka, dan sebagainya. Cerita-cerita haiwan seperti Kancil dengan Buaya, Monyet yang Tamak, Ular dengan Singa, Raja Rimba, Kerbau dengan Buaya, Si Biring, Monyet yang Bodoh dan sebagainya menjadi cerita kegemaran kanak-kanak di samping berfungsi sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran guru-guru di dalam bilik darjah. Cerita-cerita ini juga menjadi bualan masyarakat daripada satu generasi kepada generasi yang seterusnya. Cerita-cerita haiwan ini telah wujud sejak zaman tradisional lagi dan diperturunkan secara lisan. Cerita-cerita ini menjadi terkenal kerana mengandungi pelbagai nilai dan pengajaran yang boleh dijadikan teladan kepada kanak-kanak.
Cerita-cerita haiwan merupakan cerita yang dapat menarik perhatian, sentiasa segar, dan tidak jemu didengar walaupun diceritakan berulang-ulang kali. Terdapat ibu bapa yang menjadikan cerita haiwan ini sebagai salah satu kaedah untuk mendidik anak-anak secara tidak langsung sebelum menidurkan mereka. Apabila anak-anak leka mendengar cerita haiwan dan tertidur, mereka sering kali menjadi watak-watak tertentu dalam mimpi seterusnya memberikan kesan yang mendalam dalam diri mereka. Hal ini berlaku sekiranya mereka sering melihat cerita-cerita tersebut menerusi televisyen atau membaca buku-buku cerita. Persoalan yang timbul dalam kepala anak-anak sebelum tidur dan selepas mereka bangun daripada tidur akan membangkitkan perasaan ingin tahu yang mendalam. Hal ini menyebabkan anak-anak bertanya kepada ibu bapa masing-masing atau guru yang mengajar di sekolah. Keadaan ini dapat melatih mereka untuk berfikir dan membuat perkaitan cerita dengan perkara yang berlaku pada setiap hari.
Cerita-cerita haiwan juga berkait rapat dengan cerita jenaka yang sentiasa disebut-sebut oleh guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa di sekolah. Bukan itu sahaja, ibu bapa turut memainkan peranan dengan menjadikan cerita-cerita tersebut sebagai daya tarikan kepada anak-anak supaya anak-anak tidak ketinggalan daripada menguasai folklore masyarakat menerusi cerita-cerita tersebut. Cerita jenaka merupakan sejenis cerita rakyat yang disampaikan secara lisan. Cerita ini dikategorikan dalam sastera rakyat yang mengandungi unsur-unsur humor. Cerita-cerita yang mengandungi aspek lelucon ini bertujuan memberikan hiburan secara langsung dan mendidik anak-anak untuk menilai kebaikan yang terkandung dalam cerita secara tidak langsung. Cerita jenaka banyak memperlihatkan aksi lucu dan mengandungi unsur-unsur humor yang mendidik. Unsur-unsur lucu yang dibawa menerusi watak-watak manusia atau binatang bertujuan memberikan perasaan gembira kepada kanak-kanak. Pelbagai aksi boleh menimbulkan kelucuan sekali gus mendidik kanak-kanak dalam pelbagai aspek kehidupan.
Cerita jenaka terbahagi kepada dua versi, iaitu cerita jenaka tempatan dan cerita jenaka yang sudah dicampuradukkan dengan versi luar. Cerita jenaka yang sudah dicampuradukkan dengan versi luar bermaksud cerita tersebut menerima pengaruh asing seperti pengaruh Arab dan Parsi. Contoh cerita jenaka versi tempatan adalah seperti cerita Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Belalang, Si Luncai dengan Labu-labunya, Pak Kaduk, Bawang Putih Bawang Merah, dan sebagainya. Contoh cerita jenaka yang bercampur dengan pengaruh asing pula adalah seperti cerita Mat Jenin yang menerima pengaruh Hindu serta cerita Abu Nawas dan Musang Berjanggut yang menerima pengaruh Islam. Pengaruh-pengaruh ini terjadi kerana berlakunya dakwah dalam bidang agama masing-masing. Kedatangan Islam turut mencorakkan ciri-ciri jenaka ke arah cerita yang memberikan pengajaran menerusi perwatakan, corak berpakaian, dan tingkah laku watak-watak yang terlibat. Cerita-cerita tersebut bertujuan memberikan mesej yang positif dan menerapkan nilai-nilai murni kepada anak-anak.
Cerita jenaka juga berfungsi sebagai hiburan dan alat kritikan sosial kepada masyarakat. Masyarakat tradisional yang tidak banyak mempunyai hiburan bergantung kepada penglipur lara untuk menghiburkan hati mereka. Kebiasaannya, cerita-cerita jenaka disampaikan oleh penglipur lara setelah orang kampung selesai melaksanakan sesuatu kerja seperti selesai musim menuai atau memenuhi masa ketika musim tengkujuh bagi orang yang mencari sumber pendapatan di sungai. Mereka akan duduk berkumpul bersama-sama dan mendengar cerita daripada penglipur lara. Cerita jenaka ini akan membuatkan mereka terhibur dan melupakan seketika kesusahan hidup yang dialami. Meskipun cerita tersebut tidak dapat meleraikan masalah mereka, sekurang-kurangnya cerita tersebut dapat menghiburkan hati mereka yang dilanda kesedihan.
Cerita-cerita yang diperdengarkan juga mempunyai mesej untuk mengkritik sesetengah golongan masyarakat terutamanya golongan pemerintah yang mementingkan diri dan keluarga masing-masing. Walaupun cerita jenaka ini disampaikan dalam bentuk gurauan, namun mesej yang terkandung memberikan pengajaran dan membuatkan orang kampung berfikir tentang keadaan yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka juga sering melihat dan membuat perbandingan antara cerita-cerita jenaka yang diperdengarkan dengan situasi sebenar yang berlaku. Meskipun mereka tidak mampu bertindak untuk melawan ketidakadilan sosial, namun cerita jenaka tersebut mampu mengkritik sesetengah golongan yang tidak meletakkan kepentingan kepada masyarakat. Ada juga cerita yang menyindir masyarakat tentang perilaku dan perangai masing-masing yang malas berikhtiar serta berusaha untuk mencari kesenangan hidup.
Walaupun cerita kanak-kanak ini direka dan diceritakan tanpa asas yang kukuh dari aspek penceritaan, namun kanak-kanak masih lagi percaya terhadap perkara yang didengari dan diceritakan kepada mereka. Kepercayaan mereka dikuatkan lagi apabila cerita yang disampaikan tersebut disampaikan oleh orang dewasa. Meskipun seperti tidak masuk akal, namun cerita tersebut mampu menarik perhatian mereka apabila disampaikan dengan penuh kesungguhan dan emosi oleh sang pencerita. Cerita kanak-kanak yang mempunyai unsur pelik dan ajaib menyebabkan kanak-kanak sangat mudah untuk mempercayainya. Cerita sedemikian sering menghantui mereka dan menyebabkan mereka percaya sena yakin bahawa cerita tersebut boleh mendatangkan sesuatu kebaikan atau keburukan. Cerita yang mengandungi kebaikan akan membuatkan kanak-kanak tersebut berazam dan berusaha untuk mencapai sesuatu impian ekoran daripada cerita tersebut. Namun, cerita-cerita yang membawa keburukan sering membuatkan kanak-kanak terbawa-bawa perasaan takut atau sebagainya sehingga membataskan pergerakan dan semangat mereka.
Sifat semula jadi kanak-kanak yang menyukai sesuatu yang baharu dan cerita yang menarik perhatian menjadikan cerita dongeng sebagai salah satu cerita yang dapat menarik kepercayaan mereka jika disampaikan menggunakan kaedah yang berkesan. Cerita dongeng yang menarik seperti Sang Kancil dan Sang Gajah, Serigala dan 7 Ekor Anak Kambing, Tukang Kasut, dan Orang Bunian menjadi cerita dongeng yang terkenal di Malaysia. Cerita dongeng Serigala dan 7 Ekor Anak Kambing pernah dijadikan sebagai bahan sitcom Upin dan Ipin dalam program televisyen yang menjadi kegilaan dan sangat diminati oleh kanak-kanak di Malaysia. Cerita dongeng kanak-kanak ini memberikan pengaruh besar kepada kehidupan mereka. Ada juga dalam kalangan kanak-kanak yang mempercayai bahawa cerita dongeng ini akan menjadi benar sekiranya sifat-sifat buruk watak diamalkan dalam kehidupan seharian.
Walaupun cerita dongeng tidak benar dan hanya rekaan semata-mata, namun ciri-cirinya yang menarik dan memberikan nilai-nilai positif menerusi pembawaan watak-watak tertentu berjaya meletakkan cerita dongeng ini menjadi sebahagian daripada cerita kanak-kanak yang terkenal di Malaysia. Cerita-cerita dongeng ini boleh dirujuk menerusi pakar cerita kanak-kanak. Sebahagian daripada cerita-cerita dongeng ini telah dibukukan dalam penulisan sastera kreatif kanak-kanak untuk menambahkan lagi koleksi cerita kanak-kanak di Malaysia. Langkah ini juga perlu diambil untuk mengelakkan kepupusan khazanah penulisan sastera kreatif kanak-kanak akibat cerita yang dibawa oleh pengaruh dan kemodenan teknologi komunikasi kini yang cepat berkembang. Koleksi cerita dongeng ini boleh juga dirujuk menerusi Koleksi Cerita Dongeng Termasyhur yang diterjemahkan oleh Aniza Anis Sallihudin.
Selain cerita haiwan, cerita jenaka, dan cerita dongeng, cerita-cerita rakyat legenda juga menjadi kegemaran dan pilihan kanak-kanak. Banyak cerita legenda yang masih dipercayai dan diperkatakan oleh masyarakat sehingga menjadi salah satu daya tarikan kepada kanak-kanak untuk mencontohi amalan mulia dan menolak amalan jahat yang ada pada watak-watak dalam cerita-cerita tersebut. Contoh cerita-cerita rakyat legenda adalah seperti cerita Batu Belah Batu Bertangkup, Badang, Si Tanggang Anak Derhaka, Anak Buluh Betung, Puteri Gunung Ledang dan Malim Kundang. Cerita Si Tanggang Anak Derhaka menjadi senario yang sangat disukai dan dipercayai oleh kanak-kanak sehingga cerita ini mempengaruhi minda mereka untuk tidak menderhaka kepada ibu. Sekiranya mereka menderhaka kepada ibu mereka, maka mereka akan disumpah menjadi batu dan dimurkai oleh Tuhan. Begitu juga dengan cerita Batu Belah Batu Bertangkup yang sangat tragis. Ccrita ini sering dipersembahkan dalam pertandingan bercerita untuk kanak-kanak. Penyampaian cerita yang menarik mampu membuatkan anak-anak terpegun dan turut menangis terhadap insiden yang berlaku kepada ibu Melor dan Pekan (watak dalam ecrita ini). Cerita ini secara tidak langsung mengajar kanak-kanak untuk menghormati ibu.
Cerita lain yang sering diperkatakan oleh kanak-kanak ialah cerita Pemotong Kayu yang Jujur, Belalang dan Semut, Semut dan Lalat serta Anak Itik yang Hodoh. Cerita-cerita ini juga dikategorikan sebagai cerita dongeng kanak-kanak untuk menarik minat kanak-kanak dan meniru perlakuan baik yang ditonjolkan oleh watak-watak dalam cerita tersebut. Cerita Pemotong Kayu yang Jujur mengisahkan pasangan suami isteri yang sentiasa bersama-sama mencari rezeki dengan menebang pokok untuk mendapatkan kayu. Pada suatu hari, kapak yang digunakan oleh lelaki itu telah terjatuh ke dalam sungai. Lelaki itu amat sedih, namun muncul pari-pari membantunya. Oleh sebab kejujurannya, lelaki itu telah mendapat kapaknya kembali bersama-sama kapak emas dan kapak gangsa yang dihadiahkan oleh pari-pari.
Cerita Belalang dan Semut pula mengisahkan dua haiwan yang mempunyai tabiat berbeza. Belalang mewakili haiwan yang malas untuk bekerja, manakala semut pula merupakan haiwan yang rajin bekerja. Pada musim panas, semut berusaha mengumpulkan makanan sebagai bekalan sebelum menjelang musim sejuk. Manakala, belalang hanya sibuk berfoya-foya dengan mencipta lagu. Apabila tiba musim sejuk, belalang meminta makanan daripada semut, namun tidak dihiraukan oleh semut. Cerita ini memberikan pengajaran bahawa orang yang berusaha dan berikhtiar akan mendapat kesenangan berbanding dengan orang yang malas berusaha.
Cerita Semut dan Lalat pula mengisahkan seekor lalat yang hanya memikirkan keseronokan tanpa memikirkan akibat yang akan diterima kelak. Semut pula hanya melihat kelakuan lalat. Semasa semut memerhatikan lalat yang keletihan untuk melepaskan diri dari sebuah rumah yang besar, semut tersebut membuat andaian bahawa lalat tidak sepatutnya memikirkan kepentingan diri semata-mata kerana perkara tersebut akan memudaratkan dirinya sendiri. Pengajaran yang diperoleh kanak-kanak melalui cerita ini ialah setiap individu tidak boleh
mementingkan diri sendiri dan melupakan rakan-rakan.
Cerita Anak Itik yang Hodoh mengisahkan anak itik yang menetas dari telur bersama-sama adik-beradiknya yang lain. Namun demikian, lima adik-beradiknya dilahirkan dengan bulu yang cantik tetapi anak itik itu menetas sebagai anak itik yang memiliki bulu yang tidak cantik. Setelah dipulaukan oleh adik-beradiknya, anak itik yang hodoh tersebut telah membawa diri. Setelah penat berjalan jauh, akhirnya anak itik tersebut telah tertidur. Apabila terjaga, anak itik tersebut mendapati dirinya telah bertukar menjadi angsa yang berbulu cantik. Pengajaran cerita ini ialah setiap orang tidak boleh menghina orang lain kerana segala yang dijadikan oleh Tuhan mempunyai kelebihan masing-masing. Cerita-cerita haiwan tersebut memberikan ‘pelbagai pengajaran kepada kanak-kanak seterusnya menambahkan lagi koleksi penulisan sastera kreanf kanak-kanak.
Cerita-cerita sedemikian menjadi medium atau saluran maklumat untuk kanak-kanak membina serta membentuk pemikiran yang baharu. Pemikiran tersebut dapat membantu kanak-kanak menanam sistem nilai dan kepercayaan dalam diri mereka sendiri. Perkara ini secara tidak langsung meningkatkan tahap kepercayaan dan keyakinan kanak-kanak terhadap diri sendiri seterusnya memperlihatkan kematangan yang berbeza berbanding dengan kanak-kanak yang kurang membaca bahan-bahan penulisan kreatif. Malah, apabila berkomunikasi dengan rakan sebaya, kanak-kanak yang banyak membaca kelihatan lebih cepat bertindak dan tidak malu untuk mengemukakan sesuatu pendapat di samping mudah mesra dengan suasana persekitaran walaupun mereka berada dalam kalangan rakan-rakan yang baharu.
Bahan-bahan penulisan kreatif sastera kanak-kanak ini boleh juga dijadikan sebagai medium untuk membimbing anak-anak berhubung dengan alam sebenar kerana anak-anak pada zaman teknologi terkini banyak terasing daripada rakan-rakan sebaya. Dunia yang penuh dengan teknologi banyak menjadikan kanak-kanak bersikap pasif, terasing, dan hidup dalam dunia ciptaan mereka sendiri. Oleh itu, bahan penulisan sastera kanak-kanak ini mampu membawa anak-anak kepada proses komunikasi tradisional yang akan membawa mereka mengamalkan kaedah perhubungan secara tradisional.
Umumnya, cerita kanak-kanak banyak memberikan pengajaran. Cerita kanak-kanak pada mulanya disampaikan secara lisan daripada satu generasi kepada generasi yang seterusnya dan terdapat cerita kanak-kanak yang telah dibukukan juga. Dalam dunia teknologi kini, ada juga cerita kanak-kanak yang dijadikan cereka atau filem oleh pengusaha filem tempatan. Hal ini demikian kerana cereka atau filem dapat meninggalkan kesan ingatan yang berpanjangan kepada kanak-kanak. Kebanyakan cerita kanak-kanak mengandungi mesej dan pengajaran yang memberikan semangat dan dorongan kepada kanak-kanak untuk mengamalkan perlakuan-perlakuan yang baik. Pgrlakuan-perlakuan tersebut menjadi pendorong kepada mereka untuk mencapai kemajuan diri tanpa sebarang paksaan. Ironinya, watak-watak protagonis sentiasa dijadikan contoh dan idola kepada kanak-kanak, manakala watak-watak antagonis yang sentiasa menentang watak utama menjadi pedoman kepada kanak-kanak supaya tidak meniru perbuatan yang dilakukan oleh watak antagonis tersebut dalam kehidupan seharian.
Penulisan kreatif sastera kanak-kanak ini juga banyak mengetengahkan pengajaran dan moral yang baik untuk dicontohi oleh kanak-kanak. Hal ini demikian kerana cerita-cerita tersebut banyak memuatkan kejadian sebenar berasaskan zaman untuk proses pembelajaran kanak-kanak. Cerita kanak-kanak juga mendedahkan kanak-kanak tentang kaedah menyelesaikan atau menangani sesuatu masalah dengan sendiri tanpa bantuan orang dewasa. Usaha untuk mengajar kanak-kanak menerusi penulisan kreatif sastera kanak-kanak bertujuan memenuhi keperluan dan cita-cita di samping mendidik mereka supaya bijak membuat pertimbangan bagi mencapai keseimbangan diri dan pandai menilai sesuatu perkara sama ada baik atau sebaliknya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Binaan Plot