Ciri-ciri Sastera Kanak-kanak


Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Penulisan karya sastera yang baik bergantung sepenuhnya kepada ciri-ciri yang ditekankan oleh penulis semasa menghasilkan karya berkenaan. Terdapat banyak aspek yang boleh dilihat sekiranya membincangkan ciri sastera kanak-kanak. Dalam hal ini, sastera kanak-kanak boleh dilihat daripada pelbagai perspektif kandungan dan bentuk atau sudut akademik dan komersial mahupun sudut persembahan penulisan dan persembahan fizikal. Terdapat beberapa ciri-ciri sastera kanak-kanak yang perlu dipatuhi untuk menghasilkan karya sastera kanak-kanak yang bermutu tinggi.
            Menurut Md. Sidin Ahmad Ishak (2005), dari segi pendekatan, sastera kanak-kanak tidak mengetepikan kanak-kanak sebagai khalayaknya dan akan memberikan pertimbangan yang wajar kepada kanak-kanak. Pengkarya buku seperti ini akan berusaha untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak sama ada secara langsung atau tidak langsung, bergantung pada peranan kanak-kanak sama ada sebagai pembaca langsung atau pembaca tidak langsung. Dalam hal ini, Aidan Chambers (1985) dalam Nur Ruzana Md Isa (2008) menyebut berkenaan dengan single address dan double address, iaitu sebagai kaedah bagaimana penulis harus mendekati pembacanya. Single address digunakan sekiranya khalayak dalam bukunya adalah satu iaitu kanak-kanak semata-mata dan double address untuk dua khalayak, iaitu khalayak kanak-kanak dan juga khalayak orang dewasa yang salah satunya sama ada secara langsung atau tidak langsung. Beliau juga menyebut berkenaan dengan dual address, iaitu dua khalayak sekali gus.
       Sastera kanak-kanak lebih banyak penekanan terhadap aksi sedangkan buku dewasa mengandungi lebih banyak refleksi. Halimah Mohamed et al. (2014) menyatakan bahawa kanak-kanak mempunyai tahap pemikiran yang rendah dan tidak mampu membuat penilaian dan pentafsiran melalui rumusan atau cerakinan yang kompleks. Kanak-kanak lebih tertarik pada pergerakan dan aksi-aksi yang dapat memberikan sesuatu gambaran dengan lebih jelas dan mudah. Seterusnya, buku kanak-kanak lazimnya lebih banyak menggunakan watak kanak-kanak dan juga lebih pendek isinya. Dari segi persembahan teknikal, buku kanak-kanak lazimnya mengandungi huruf yang lebih besar dan gambar-gambar yang lebih banyak (Hunt, 1994).
            Ciri didaktisisme iaitu unsur nilai pendidikan dan pengajaran merupakan salah satu aspek penting dalam sastera kanak-kanak. Terdapat penulis atau pengkaji yang berpendapat bahawa mustahil untuk mengetepikan unsur didaktik dalam buku kanak-kanak dan malahan boleh dikatakan bahawa jika tidak terdapat nilai-nilai pengajaran atau pendidikan, maka buku tersebut tidak boleh dianggap sebagai buku kanak-kanak. Dalam hal ini, semua buku kanak-kanak mestilah mengajarkan sesuatu kepada kanak-kanak. Kanak-kanak masih belum mampu untuk membuat penilaian terhadap perkara yang baik mahupun buruk. Oleh yang demikian, penulis bertanggungjawab untuk menyampaikan nilai-nilai budaya dan nilai-nilai murni kehidupan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Perkara tersebut menjadi faktor mengapa sesetengah buku kanak-kanak mengandungi pengajaran yang disampaikan melalui teknik pemberitahuan dan penceritaan. Cerita-cerita yang disampaikan bukan sekadar mengandungi watak-watak yang beraksi dalam plot-plot tertentu tetapi memancarkan nilai-nilai pendidikan.
            Dalam bukunya yang berjudul The Pleasures of Children’s Literature, Perry Nodelman (1992) menghuraikan enam perkara sebagai ciri penting buku dan sastera kanak-kanak. Perkara-perkara itu adalah seperti yang berikut:
       Mudah, tetapi tidak semestinya bermaksud simplistik.
       Berorientasikan aksi, bukannya berorientasikan watak.
       Dipersembahkan dengan lurus
       Optimistik dan berakhir dengan kebahagiaan.
       Bersifat didaktik.
       Berulangan dalam diksi struktur.
Bagi Nodelman, sastera kanak-kanak dianggap sebagai sastera yang mudah, tetapi bukan dipermudah. Sastera yang mudah bukanlah bermakna naratif yang dapat ditulis dan dihasilkan dengan mudah.  Sesetengah orang mengganggap bahawa sastera kanak-kanak lebih sukar untuk dihasilkan. Aspek simplisiti dalam hal ini boleh melibatkan aspek cerita, iaitu apa yang diceritakan. Lazimnya, ciri cerita yang mudah adalah seperti yang berikut:
       Subjek yang konkrit dan biasa, iaitu subjek yang bukan abstrak dan bukan asing.
       Genre yang dapat dibezakan dengan jelas seperti kisah pengembaraan, kisah keluarga, kisah alam persekolahan dan sebagainya.
       Satu plot utama yang jelas tanpa plot-plot sekunder atau plot-plot kecil yang kompleks.
       Penyusunan peristiwa yang langsung, iaitu biasanya secara kronologi.
       Watak-watak yang terhad, mudah diingati, bersifat pipih sama ada jahat atau baik.
       Latar cerita dilukiskan dalam suasana yang biasa bagi kanak-kanak, rapat dengan dunia mereka dan mereka dapat mengaitkan dengan kehidupan mereka secara mudah.

            Dari segi persembahan wacana, kriteria untuk simplisiti amnya dilihat dari segi sudut pandangan yang tetap dan menonjol, misalnya sudut pandangan didaktik dan autoritatif. Ini merupakan sudut pandangan yang dapat meluahkan ulasan-ulasan, huraian dan keterangan secara jelas, tidak kabur dan tidak diselaputi ambiguiti. Pencerita sedemikian mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang lebih luas daripada watak-watak dalam cerita mahupun pembaca itu sendiri (Md. Sidin Ahmad Ishak, 2006). Jelaslah bahawa kebanyakan kriteria ini sejajar dengan apa yang terdapat dalam sastera tradisional bagi kanak-kanak. Namun demikian, perkara tersebut juga relevan dengan hasil-hasil karya yang ditulis untuk kanak-kanak pada hari ini.
Menurut Alimah Salam (1989), kanak-kanak dianggap menggemari aksi yang bersifat aktif, penuh tenaga dan penuh pergerakan yang sesuai dengan ciri kanak-kanak itu sendiri. Namun demikian, pada masa yang sama, kanak-kanak digambarkan sebagai orang yang lurus, jujur, manis, kurang pengalaman dan pengetahuan. Dalam hal ini, amatlah penting agar buku kanak-kanak bersifat mendidik, mengarah, mempengaruh dan lebih kelihatan sebagai petunjuk atau panduan. Penulis buku kanak-kanak bertanggungjawab dalam memindahkan nilai-nilai budaya, bukan sekadar menceritakan sebuah kisah.
            Namun demikian, pendapat Nodelman dikritik oleh beberapa orang pengkaji sastera kanak-kanak yang lain seperti Maria Nikolajeva (Exit Children’s Literature) yang mengkaji karya-karya penulis kontemporari Barat yang terkenal, iaitu Alan Garner, Aidan Chambers dan Diana Wynne Jones dari Britain, Robert Cormier dan Patricia MacLachlan dari Amerika Syarikat, Margaret Mahy dari Afrika Selatan, Lesley Beake dari Sweden, Peter Pohl dari Norwat, Tormod Haugen dari Jerman, Michael Ende dan French Michel Tournier dari Perancis serta Radi Pogodin dari Rusia. Menurut Nikolajeva, tiada satu pun karya penulis-penulis tersebut yang sesuai dengan definisi yang diberikan oleh Nodelman. Andaian Nikolajeva ialah terdapat semakin banyak karya sastera kanak-kanak yang melanggar sempadannya sendiri dan kini semakin menghampiri sastera arus perdana. Beliau menyatakan bahawa semakin banyak sastera kanak-kanak kontemporari melanggar sempadannya sendiri dan berkembang ke arah sastera aurs perdana dengan memperlihatkan ciri-ciri pascamodensime yang sangat jelas seperti penggabungan genre atau yang diistilahkan oleh Maria Nikolajeva sebagai genre eclecticism, disintegrasi struktur naratif tradisional, polifoni, intersubjektiviti dan metafiksyen.
            Di sebalik watak, latar dan subjek yang dikatakan mudah dari segi luarannya dalam sastera kanak-kanak, sesetengah cerita merupakan representasi metafora yang jauh lebih bermakna. Misalnya, kematian watak haiwan kesayangan seperti kucing, burung atau anjing memanglah mudah, tetapi di sebalik itu perkara tersebut mungkin merupakan gambaran kepada kematian ahli keluarga, sahabat atau saudara mara yang rapat. Begitu juga, nasib malang yang dialami oleh watak pokok atau bunga mungkin merupakan representasi masalah-maslaah pencemaran alam yang berlaku pada hari ini.
            Secara tradisinya, memanglah sempadan yang kukuh diwujudkan dan dikekalkan dalam buku kanak-kanak oleh para penerbit, pustakawan, pendidik dan pengkritik lalu menghasilkan buku pengembaraan, cerita binatang, cerita fantasi, cerita pari-pari dan sebagainya. Namun demikian, banyak penulis kontemporari mempersoalkan sempadan-sempadan ini dan bagi Maria Nikolajeva (1996), ciri paling penting bagi sastera kanak-kanak pascamodenisme ialah penggabungan genre. Perkara ini dapat dilihat menerusi buku sastera kanak-kanak bahasa Inggeris yang popular dewasa ini.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran