Faktor-faktor Kemerosotan Kedah Tua
Penulis: Nor Shazana binti Zuraidy
Terdapat
beberapa faktor yang menyebabkan kemerosotan Kedah Tua terutamanya perubahan
politik dan sosioekonomi pada kurun ke-13.
Perubahan politik dan dasar
perdagangan China
Pada awalnya, Dinasti Song Utara mengamalkan dasar state monopoly dan hal ini dapat dilihat melalui tindakan
pemerintah yang mengawal kegiatan perdagangan dan mengenakan cukai terhadap
barang dagangan. Dinasti Song juga mengamalkan dasar ufti. Kawalan terhadap
perdagangan dan dasar ufti ini menguntungkan pelabuhan entrepot Srivijaya serta
pelabuhan di pesisir Selat Melaka termasuklah pelabuhan Kedah Tua (O.W.
Wolters, 1990). Dinasti Song Utara juga mengawal perdagangan antarabangsa. Hal
ini dapat dibuktikan melalui kewujudan jawatan Inspector of Foreign yang ditugaskan untuk mengawal perdagangan di
setiap pelabuhan utama di China (C. P. Fitzgerald, 1961).
Perubahan politik dan dasar perdagangan China bermula pada penghujung
kurun ke-12 apabila Dinasti Song Utara menghadapi masalah dengan puak-puak
nomad yang terdiri daripada puak Khitan (Dinasti Liao), puak Tongut (Dinasti
Hsia) dan puak Juchen (Dinasti Chin) (Nasha Rodziadi Khaw, Nazarudin Zainun,
Tanniji Masron dan Zulkifli Jaafar, 2008). Pada tahun 1125, Dinasti Chin
berjaya menjatuhkan tiga dinasti yang lain dan menyebabkan waris-waris Dinasti
Song berundur ke Selatan China kemudian mengasaskan Kerajaan Song Selatan.
Ancaman berterusan daripada puak nomad menyebabkan dasar ufti mula diabaikan. Menurut
Ann Paludan (), pada tahun 1178, Maharaja Sung Hsiao Tung (1163-1190) tidak
membenarkan ufti dihantar ke istana tetapi terus dihantar ke Fukien seperti
yang dicatatkan oleh Ma Tuan Lin. Sehubungan dengan perubahan dasar ini,
bermula pada awal hingga hujung kurun ke-13, kapal-kapal dagang dari nusantara
mula berdagang terus dengan pusat pengeluaran barang dan tidak lagi berdagang
di pusat-pusat pengumpulan barangan.
Ketiadaan dasar perdagangan yang
konsisten selepas kejatuhan Dinasti Song Selatan kepada orang Mongol pada tahun
1280 menyebabkan kejatuhan kebanyakan pelabuhan entrepot di nusantara
termasuklah Kedah Tua. Hal ini adalah kerana, kemakmuran pelabuhan entrepot
bergantung kepada penguasaan perdagangan atau peranannya sebagai penghubung
antara pusat pengeluaran komoditi dengan pembeli. Terdapat juga dasar Dinasti
Mongol yang mengehadkan penglibatan orang China dalam aktiviti perdagangan
antarabangsa. Perubahan politik China ini membawa kepada ketiadaan penemuan
seramik zaman Ming yang menunjukkan kemerosotan perdagangan di nusantara
terutamanya Kedah Tua.
Perkembangan pelabuhan Jawa
Secara umumnya, pelabuhan yang terletak pada laluan perdagangan akan
menjadi pelabuhan yang paling kerap dilawati dan akan meningkatkan hasil
kutipan cukai sekali gus membawa kepada kekayaan pelabuhan tersebut. Hal ini
dapat dibuktikan melalui kemakmuran pelabuhan-pelabuhan entrepot di pesisir
Selat Melaka yang diketahui merupakan laluan utama pedagang-pedagang
antarabangsa.
Walau bagaimanapun, pada penghujung
kurun ke-12, pelabuhan di Pulau Jawa mula berkembang dan telah mengatasi
kepentingan Melayu-Jambi. Hal ini seperti yang dicatatkan dalam penulisan
Chou-K'ii-Fei yang menyatakan bahawa
kepentingan pelabuhan ShO-Po [Jawa] telah mendahului kepentingan
pelabuhan San-Fo-Tsi [Suvarnadvipa, Melayu-Jambi]. (K. A. Nilakantha Sastri). Perkembangan
pelabuhan di Jawa bermula selepas perpindahan pusat kerajaan Mataram ke Jawa
Timur dan berkesinambungan sehingga ke zaman kerajaan Majapahit pada penghujung
kurun ke-13. Perkembangan pelabuhan di Pulau Jawa berkemungkinan menjadi antara
faktor kemerosoton Kedah Tua.
Pada zaman awal perkembangan
pelabuhan Jawa, empayar Srivijaya masih mampu menghalang pelabuhan Jawa Timur
daripada menjadi saingan kepada pelabuhan-pelabuhannya di Selat Melaka kerana
empayar Srivijaya masih mempunyai kuasa di perairan Asia Tenggara. Perkembangan
kepentingan pelabuhan maritim Jawa Timur dibuktikan melalui konflik antara Raja
Dharmawangsa Teguh dengan Melayu-Jambi pada tahun 997M (Boechari, 1976). Namun,
pelabuhan Jawa Timur masih belum dapat mengatasi kepentingan pelabuhan
Srivijaya sehingga kurun ke-12.
Konflik politik yang berlaku dalam
kerajaan Mataram menyebabkan Raja Airlangga membahagikan kerajaan Mataram
kepada dua iaitu kerajaan Panglaju dan kerajaan Janggala (Nasha Rodziadi Khaw,
Nazarudin Zainun, Tanniji Masron dan Zulkifli Jaafar. 2008). Pembahagian
kerajaan ini kurang membawa kesan kepada perdagangan di Jawa kerana kekayaan
hasil bumi Jawa telah menarik perhatian pedagang-pedagang asing dan menyebabkan
kegiatan perdagangan maritim tetap berkembang di sana. Menurut Boechari (1976),
pelabuhan di Pulau Jawa dikatakan pernah dilawati oleh para pedagang
antarabangsa seperti Champa, Khmer, Burma, Sri Lanka dan India semasa
pemerintahan Raja Kamesvara. Hal ini membuktikan peranan Pelabuhan Jawa sebagai
pelabuhan entrepot pada masa itu. Kemakmuran Jawa juga adalah selari dengan
kemerosotan kerajaan Srivijaya (Wolters, O.W., 1990).
Dasar perdagangan yang diamalkan
oleh Srivijaya juga menjadi lebih agresif pada kurun ke-13. Sebagai contohnya,
Srivijaya akan menyerang kapal-kapal yang tidak singgah di pelabuhannya.
Kegiatan perlanunan yang berleluasa di Karimata dan Bentan berpunca disebabkan
kegiatan Datu-Datu orang laut yang bebas merompak kapal dagang yang melalui
perairan Selat Melaka juga turut mengkucar-kacirkan perdagangan di Selat Melaka
(Wolters, O.W., 1990). Hal ini jelas menunjukkan mereka tidak lagi terikat atau
menghormati dasar perdagangan yang diamalkan oleh Srivijaya dan keadaan ini menyebabkan
pedagang-pedagang luar mula hilang sabar. Pedagang mula berusaha untuk mencari
pelabuhan lain dan kemudiannya memilih pelabuhan Jawa yang menggunakan dasar
perdagangan yang tidak bersifat menindas pedagang sebagai alternatif kepada
pedagang-pedagang antarabangsa untuk mengelak daripada perairan Srivijaya.
Kekayaan hasil bumi Jawa juga berkemungkinan telah meningkatkan jumlah pedagang
di Pelabuhan Jawa dan secara tidak langsung membawa kepada penurunan jumlah
pedagang di pelabuhan entrepot Srivijaya iaitu Kedah Tua.
Kebangkitan Majapahit
Pada pertengahan kurun ke-14, terdapat pelbagai perubahan politik yang ketara
seperti berlakunya kebangkitan kuasa Ayutthaya, kebangkitan kuasa Majapahit,
kejatuhan kuasa Angkor dan pertumbuhan kerajaan-kerajaan Islam di Sumatera
Utara. (George Coedes, 1988). Perubahan ini telah melenyapkan struktur sosiopolitik
dan ekonomi yang pernah wujud sejak zaman proto sejarah lagi.
Kedah Tua yang diapit oleh kuasa
Angkor-Champa di Utara, Jawa di Selatan, China di Timur dan India di Barat
telah menerima kesan yang amat mendalam akibat daripada perubahan-perubahan
yang berlaku tersebut. Peranan Kedah sebagai sebuah pusat entrepot mula hilang
apabila tiada seramik-seramik dan artifak-artifak yang dapat dipertarikhkan
pada zaman Ming (Nasha Rodziadi Khaw, Nazarudin Zainun, Tanniji Masron dan
Zulkifli Jaafar. 2008). Menurut Ann Paludan (1998), Dinasti Ming merupakan kuasa
yang menggantikan Dinasti Mongol di Tanah Besar China.
Penulisan Nagarakretagama menceritakan tentang bermulanya penguasaan Majapahit
di nusantara telah menyenaraikan Kedah Tua sebagai jajahannya (Siametmujiana,
1976). Pada kurun ke-14, Majapahit yang memulakan dasar peluasan kuasa yang
lebih agresif. Walau bagaimanapun, peluasan kerajaan Agraris yang kurang memberi
perhatian terhadap perdagangan Kedah Tua berkemungkinan menyebabkan tiada usaha
dilakukan untuk menghidupkannya semula. Perluasan kuasa Majapahit sehingga ke
Selatan Thai kadangkala bertindih dengan kawasan naungan Thai membawa kepada
ketidaktentuan politik di pesisiran Selat Melaka (Paul Wheatley, 1961). Hal sebegini
sememangnya mendatangkan kesan negatif terhadap perdagangan pada masa itu.
Kejatuhan Dinasti Mongol dan kebangkitan Dinasti Ming pada pertengahan kurun
ke-14 dilihat sebagai zaman transisi dalam pembabakan sejarah Asia Tenggara
kerana zaman ini memperlihatkan kejatuhan pelabuhan-pelabuhan tradisional di
pesisiran Selat Melaka dan kebangkitan pelabuhan-pelabuhan yang baru.
Ulasan
Catat Ulasan