Tujuan Membaca
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Siti Hajar Abdul
Aziz (2011) menyatakan bahawa tujuan utama seseorang membaca adalah untuk
memperoleh atau meninterpretasikan makna daripada bahan yang dibaca. Walau
bagaimanapun, kebanyakan individu mempunyai kelemahan dalam memahami bahan yang
dibaca. Meskipun seseorang individu itu memberikan tumpuan terhadap bahan yang
dibaca dan membaca bahan bacaan tersebut beberapa kali, namun masih gagal untuk
memahaminya dengan baik. Perkara tersebut disebabkan oleh membaca melibatkan
aktiviti mental yang agak rumit.
Membaca melibatkan interaksi antara
bahan bertulis atau jenis teks tertentu yang dibaca dengan pembaca itu sendiri.
Pembaca pula mempunyai tujuan-tujuan tertentu semasa membaca yang dikaitkan
dengan teks dan konteks pembacaan. Secara umumnya, terdapat empat tujuan
membaca seperti yang berikut:
Membaca untuk Pengalaman Sastera
Membaca untuk mendapatkan
pengalaman sastera melibatkan pembacaan bahan-bahan sastera bagi meneroka
perkara yang berlaku dipersekitaran manusia, menghubungkan peristiwa naratif
dengan pengalaman peribadi dan menghubungkaitkan emosi dengan situasi dan
kemungkinan tertentu. Di sekolah, guru menggunakan pelbagai bahan sastera
seperti novel, cerpen, fiksyen, cerita pendek, misteri, drama dan sebagainya
untuk mencapai tujuan membaca untuk pengalaman sastera kepada murid.
Membaca untuk Mendapatkan Maklumat
Membaca untuk mendapatkan
maklumat melibatkan pembacaan bahan dan teks yang berbentuk formatif bertujuan
untuk memperoleh maklumat umum atau spesifik tentang sesuatu perkara. Tujuan membaca sedemikian memerlukan
pendekatan membaca yang tertentu, iaitu yang melibatkan strategi membaca dan berfikir
yang nyata berbeza daripada tujuan membaca yang lain. Sebagai contoh, pembaca
perlu menginterpretasikan bahan lain yang disertakan dalam teks seperti carta,
graf, peta dan jadual, sama ada sebagai bahan sokongan atau data sebenar. Bahan
yang bermaklumat pula adalah seperti penulisan ilmiah, biografi, artikel sains,
bahan sejarah dan sebagainya.
Membaca untuk Menyelesaikan Sesuatu Tugasan
Membaca untuk tujuan
menyelesaikan sesuatu tugasan melibatkan pembacaan pelbagai jenis bahan bacaan.
Hal ini demikian kerana maklumat yang terdapat dalam bahan yang berbeza-beza
tersebut dapat digunakan sebagai panduan dalam menyelesaikan tugasan tersebut.
Menerusi pembacaan tersebut pembaca mendapat gambaran awal dan memperoleh makna
bagi membantu pelaksanaan aktiviti dan memulakan tugasannya. Bagi murid pula,
mereka bukan sahaja membaca untuk menyelesaikan sesuatu tugasan, malah mereka
membaca bahan bacaan yang pelagai sebagai persediaan bagi menghadapi
peperiksaan.
Membaca untuk Tujuan Akademik
Sekiranya
seseorang individu itu membaca untuk tujuan membuat kertas kerja, disertasi
atau tesis,individu tersebut mempunyai tendensi untuk menggunakan strategi
membaca secara efisien kritikal. Membaca secara kritikal bermakna mengenal
pasti kekuatan dan kelemahan yang terdapat dalam teks.sebagai tamsilan,seorang
penulis membuat ulasan tentang sesebuah buku akan berusaha untuk memperlihatkan
kelemahan atau kekuatan buku tersebut secara kritikal yang bertujuan untuk
memberikan gambaran sebenar kepada pembaca tentang buku tersebut. Membaca
secara kritikal dapat meningkatkan pemahaman dan pemikiran kita terhadap teks
dan seterusnya dapat digunakan dalam penulisan akademik.
Ulasan
Catat Ulasan