Latar Belakang Kerajaan Kedah Tua
Penulis: Nor Shazana binti Zuraidy
Kedah Tua
dikatakan telah wujud sejak abad kedua hingga keempat masihi sebagai pelabuhan
perdagangan berdasarkan sumber penulisan India. Menurut Nik Hassan Shuhaimi Nik
Abdul Rahman, Zuliskandar Ramli, Farhana Abdullah dan Asyaari Muhamad (2011),
Kedah Tua juga merupakan antara kerajaan yang dahulunya berada di bawah naungan
kerajaan Funan . Namun perkembangan Kedah Tua adalah agak terhad pada ketika
itu. Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh dasar perdagangan kerajaan Funan
yang memusatkan kepentingan perdagangannya di Oc-Eo dan fungsi Kedah Tua hanya
sebagai feeder port iaitu pusat tempat komoditi perdagangan dihasilkan atau
dikumpulkan kepada pelabuhan Oc-Eo pada masa itu (Nasha Rodziadi Khaw,
Nazarudin Zainun, Tanniji Masron dan Zulkifli Jaafar, 2008)
Kedah Tua kemudiannya membebaskan diri daripada naungan kerajaan Funan
dan menjalankan pentadbirannya sendiri apabila kerajaan Funan mula lemah (Nik
Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Zuliskandar Ramli, Farhana Abdullah dan
Asyaari Muhamad, 2011). Kemunculan tamadun Lembah Bujang dikatakan bermula seawal
abad ke-5M dan diasaskan di Sungai Mas seperti yang dinyatakan oleh Nik Hassan
Shuhaimi Nik Abdul Rahman (2008) setelah artifak dan inskripsi ditemui di
Sungai Mas ekoran projek pembinaan tali air. Menurut Nik Hassan Shuhaimi Nik
Abdul Rahman dan Othman Mohd Yatim (1990), kawasannya terletak antara Sungai
Muda di Selatan dan Sungai Sala di Utara. Luas kawasan ini dianggarkan seluas
144 batu persegi dan merangkumi daerah Seberang Perai Utara, Yan, Kuala Muda
dan Kota Setar (Nazaruddin Zainun dan Nasha Rodziadi Khaw, 2015).
Dari sudut sistem pentadbiran, tidak terdapat laporan yang jelas tentang
sistem pentadbiran tempatan yang digunakan di Kedah Tua meskipun Kedah Tua
wujud 600 tahun lebih awal daripada kerajaan Melayu Melaka. Dalam Hikayat
Merong Mahawangsa, terdapat catatan yang melaporkan kewujudan pentadbiran tempatan
di kawasan Kuala Kilah (kini Kuala Merbuk) yang diketuai oleh Tun Derma Dewa
dan Tun Maha Perkasa semasa ketibaan Maharaja Derbar Raja pada tahun 630
Masihi. Namun, hal ini masih tidak dapat menceritakan dengan jelas sistem
pentadbiran pada masa tersebut (Mazlan Ismail dan Nadzman Mustaffa, 2015).
Namun Mohammad Shariff Abu Samah (2012) menjelaskan sistem pentadbiran daerah
telah wujud semasa ketibaan Maharaja Derbar Raja yang mana kerajaan Kedah
dibahagikan kepada empat buah daerah iaitu Kuala Kilah, Kuala Bahang, Kuala
Merpah dan Kuala Bara.
Sebelum kedatangan Islam di Kedah Tua, Kedah Tua menerima dan
mengamalkan agama Buddha. Hal ini adalah berdasarkan kepada penemuan Kolonel
James Low juga menjumpai tinggalan kawasan jajahan Hindu dengan runtuhan candi
yang berselerak di sepanjang cerun Gunung Jerai serta tujuh serpihan inskripsi
yang dalam bahasa Sanskrit yang ditulis pada abad ke-4 Masihi dengan tulisan
Pallawa (Mohd. Dahlan Mansoer, 1979). I.H.N. Evans pula telah menemui patung
Durga Devi bersama arca Durga Mahisasuramardhini di Sungai Batu pada tahun 1921
manakala pada tahun 1923, beliau menjumpai arca Ganesha dan banyak lagi bahan
arkeologi telah ditemui pada tahun-tahun selepasnya (I.H.N. Evans, 1927). Agama
Buddha bertapak di Lembah Bujang pada kira-kira abad ke-5 Masihi dan
kemudiannya agama ini diresapi oleh unsur Saivisma pada abad ke-7 Masihi ekoran
hubungan yang erat dengan India (Paul Wheatley, 1959). Semasa peralihan pusat
perdagangan Kedah ke Pengkalan Bujang pada kurun ke-10 Masihi hingga kurun
ke-13 Masihi, penduduk Kedah Tua ketika itu mengamalkan Hindu-Saivisme (Adnan
Jusoh, 2013). Menurut Adnan Jusoh (2013) lagi, semasa kedatangan Islam, peranan
Pengkalan Bujang sebagai pelabuhan entrepot mulai merosot.
siapakah pengasas kerajaan ini?
BalasPadamLengkap tapi kalau boleh pendekkan la ayat tu,tk larat nk baca smpi habis
BalasPadamklau x larat nk baca, jgn baca x der org pun yg paksa awak baca
Padam