Peringkat Kemahiran Mendengar
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Siti Hajar Abdul Aziz (2011) menyatakan bahawa
terdapat tiga peringkat kemahiran mendengar iaitu:
Peringkat Awal
Pada
peringkat awal kemahiran mendengar, murid akan diajar untuk mengecam, mengajuk
dan memilih bunyi. Mereka juga diajar untuk mendengar dan mengecam makna
perkataan, rangkai kata dan ayat-ayat dalam petikan. Pada peringkat ini juga,
murid akan melakukan perkara dan aktiviti yang diarahkan oleh guru. Sebagai
contoh, guru mengarahkan muridnya menggayakan gaya seekor kucing, maka murid
tersebut akan bertindak balas dengan menggayakan aksi seekor kucing mengikut
kekreatifan masing-masing. Selain itu, pada peringkat awal ini, murid cepat
bertindak terhadap soalan yang mudah. Para murid juga dapat mengingat dan
memadankan perkataan dan ayat-ayat mudah dengan tepat.
Peringkat Pertengahan
Pada
peringkat kedua atau peringkat pertengahan dalam kemahiran mendengar ini, murid
didedahkan untuk mengecam dan mengingat fakta dan butiran secara tepat dan
terperinci. Murid juga diajar untuk mengenal informasi-informasi spesifik atau
maklumat khusus. Sebagai contoh, guru memberitahu murid tentang sebuah
kemalangan yang terjadi baru-baru ini. Hal ini dapat meningkatkan pengetahuan
murid serta murid dapat mengetahui cara-cara untuk mengelakkan kemalangan itu.
Pada peringkat ini juga, murid didedahkan untuk mengenali sebab dan akibat
sesuatu tindakan yang dibuat. Selain itu, murid ini akan diajar untuk mengenal
perhubungan orang-orang yang berinteraksi dalam kehidupan sosial serta
diterapkan ilmu dalam aspek mengenal sikap dan perasaan orang yang bercakap.
Mereka akan dipupuk untuk menjadi seorang pendengar yang baik dengan sentiasa
menumpukan perhatian terhadap penyampai. Hal ini adalah untuk memastikan murid
tersebut menjaga perasaan penyampai serta ilmu dan maklumat yang disampaikan
itu dapat memberi manfaat kepada murid terbabit.
Peringkat Maju
Peringkat
ketiga pula ialah peringkat maju dalam kemahiran mendengar. Pada peringkat ini,
murid dilatih untuk mengenal isi-isi penting. Sebagai contoh, dalam sebuah
karangan, guru akan mengajar bagaimana untuk mencari isi-isi utama dalam
karangan tersebut. murid akan dapat mengenal peranan dan perhubungan orang yang
bercakap. Selain itu, murid akan diajar untuk mentafsirkan maksud orang yang
bercakap. Murid tersebut juga dapat membezakan tekanan dan intonasi dalam
sesebuah pertuturan. Pada peringkat ini juga, murid akan dididik untuk mengikut
aliran dalam dialog atau perbualan serta mereka dapat menafsirkan tujuan
penutur menggunakan pelbagai bentuk struktur nahu.
Ulasan
Catat Ulasan