Bidalan

 Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin dan Nadsri bin Kadir

Kamus Dewan (2013) mendefinisikan bidalan sebagai kata-kata yang selalu disebut yang mengandungi nasihat serta pengajaran di dalamnya. Bidalan tergolong dalam peribahasa yang bersifat dua lapis. Menurut Abdullah Hassan (2007), bidalan ialah pepatah atau peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat. Bidalan menggunakan perkataan-perkataan seperti biar, hendaklah, jangan, lebih baik, harus dan usah. Contoh bidalan ialah biar lambat asalkan selamat; ingat sebelum kena, jimat sebelum habis dan jangan ikut resmi jagung, makin berisi makin tegak.

Muhammad Said (1992) pula menyatakan bahawa bidalan merupakan cakapan terus dan kiasan bercampur, kadang-kadang cakapan itu berlapis seperti contoh ‘kata’ iaitu kerbau dipegang talinya, manusia dipegang katanya. Perbezaan antara bidalan dengan pepatah ialah bidalan lebih kerap digunakan, mempunyai nilai, ilmu dan pengajaran, manakala pepatah lebih ringkas sifatnya dan tidak mempunyai pengajaran. Pepatah juga merupakan perbilangan yang menggunakan kata bilangan.

Bidalan ialah peribahasa yang mempunyai erti selapis dan berupa pandangan yang bernas, nilai dan pengajaran serta berfungsi untuk memberi nasihat dan peringatan. Dalam hal ini, bidalan merupakan sejenis peribahasa yang memaparkan unsur nasihat, pedoman, atau pengajaran kepada masyarakat dalam bentuk ungkapan yang ringkas (Abdullah Hassan, 2005). Bidalan lebih menekankan sifat melekatnya dalam pertuturan masyarakat dan terdapat bandingan serta teladan, pengajaran, nasihat, dan kata-kata hikmat. Bidalan juga membawa maksud yang tidak sama dengan maksud perkataan yang digunakan. Dalam erti kata yang lain, bidalan mempunyai makna yang tersirat di sebalik susunan kata-kata yang membentuknya. Bidalan juga tidak mengandungi penggunaan perkataan yang membawa maksud perbandingan yang tertentu seperti perumpamaan. Secara umumnya, bidalan mempunyai beberapa ciri yang tersendiri. Ciri-ciri tersebut adalah seperti yang berikut:

  • Perkataan-perkataan yang terdapat dalam bidalan mempunyai pengertian tertentu di sebalik kata-kata itu yang berkaitan dengan sikap dan tingkah laku manusia. 
  • Bidalan biasanya mengandungi kata-kata nasihat yang dapat dijadikan pengajaran dan mengandungi perbandingan dengan benda lain. 
  • Kata-kata bidalan juga digunakan sebagai bahan sindiran yang bertujuan untuk memberi peringatan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran