Etimologi dalam Perkamusan

 Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin dan Nadsri bin Kadir

Menurut Khairuddin Mohamad, Ghazali Ismail dan Mastura Mohamed Berawi (2014), etimologi dalam kamus merupakan satu label yang diguna pakai untuk mengenal asal usul kata atau ungkapan yang dimasukkan ke dalam entri kamus. Nahu yang dicapai itu mesti mencakupi rumus-rumus yang dapat menerbitkan bentuk dan makna kata yang dikesan itu. Perkataan etimologi berasal daripada bahasa Belanda, iaitu “etymologie” yang mana kata dasarnya berasal daripada bahasa yunani iaitu “etymos” yang bermaksud ilmu sebuah kata. Penggunaannya mula dikesan dalam kamus Oxford English Dictionary (1928) dan diikuti oleh beberapa kamus lain selepas zamannya. Asal usul perkataan ditunjukkan dalam kamus dengan menggunakan pelbagai kata kependekan yang diletakkan pada hujung perkataan berkenaan. Hal ini bertujuan untuk membantu pengguna mengesan asal usul perkataan diambil dan pada masa yang sama melihat proses resapan masuk perkataan berkenaan ke dalam perbendaharaan bahasa Melayu. Contoh rujukan etimologi ialah Ar bagi perkataan Arab, Mn bagi perkataan Minangkabau, Jw untuk perkataan jawa dan sebagainya. Walau bagaimanapun, dalam kamus Dewan Edisi Keempat, aspek etimologi telah diselaraskan yang mana beberapa label kata pinjaman yang sebelum ini berlabel Jw (Jawa), IB (Indonesia  Belanda), Id (Indonesia) dan Ar (Arab) telah dibuang kerana kata-kata tersebut difikirkan telah diserap dan mantap penggunaannya di Malaysia.

Ibrahim Ahmad (1994) menyatakan bahawa kemasukan elemen etimologi kadangkala bukanlah satu kemestian dalam kebanyakkan kamus ekabahasa. Hal ini kerana langkah memasukan elemen bahasa asing atau bahasa serumpun ke dalam bahasa yang asli memerlukan satu kajian yang mendalam. Walau bagaimanapun, unsur etimologi sebagai suatu unsur medan maklumat perkamusan mempunyai kedudukan yang penting dalam kamus. Justeru, ramai dalam kalangan penyusun kamus di rantau ini mengambil pendirian untuk memasukkan semaksimum yang mungkin unsur etimologi untuk kata-kata yang dapat diperhatikan perkembangannya. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran