Kata Entri

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin dan Nadsri bin Kadir

Khairuddin Mohamad et al. (2014) mendefinisikan kata entri merupakan kata atau ungkapan utama yang terdapat di dalam kamus dan disusun mengikut urutan abjad yang disertai takrif dan maklumat lain seperti kelas kata, etimologi dan contoh penggunaan dalam ayat (Khairuddin Mohamad et al., 2014). Dalam Kamus Dewan (2005), kata entri ditakrifkan sebagai kata masukan.

Terdapat beberapa proses untuk menentukan kata entri dalam kamus. Sebagai contoh, jika sesuatu kata atau ungkapan itu telah disetujui untuk dimasukkan ke dalam kamus, maka kemasukkannya perlu disertai dengan makna yang lengkap dan sempurna.  Pencarian makna yang tepat ini didorong oleh proses pencetus leksikal. Pencetus leksikal berkait secara langsung dengan kata entri dalam kamus. Secara umumnya, leksikal adalah istilah bukan perkataan atau perbendaharaan kata bagi sesuatu bahasa yang memberikan makna sesuatu perkataan itu dengan sendiri tanpa melihat penggunaannya dalam ayat.

Menurut Noresah Baharom (2009), terdapat beberapa faktor telah dikenal pasti yang boleh menjadi pencetus kepada perubahan leksikal. Faktor-faktor tersebut dapat dilihat menerusi rajah di bawah:

Keperluan meminjam

Perubahan konteks dan situasi

Kesilapan penggunaan bahasa

Pembelajaran bahasa yang tidak sempurna

Martabat sosial

Sebagai contoh, Kamus Dewan (2005) dengan ketebalan kamus 1,817 halaman, mengandungi 5,843 entri, subentri dan frasa entri baharu yang mencakupi pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi, linguistik, komputer, astronomi agama, politik, pelayaran dan muzik. Selain penambahan entri, Kamus Dewan Edisi Keempat ini juga mengandungi kata atau ungkapan umum yang baharu (sama ada yang asli Melayu atau yang dipinjam), kata dialek, kata slanga dan nama-nama kaum yang ada di Malaysia. Menurut Noresah Baharom et al., (2009), kata yang berkaitan dengan suku kaum etnik seperti Cina, India, Iban, Kadazan dan Kintak juga dijadikan kata entri dalam kamus ini.

        Selain kata baharu, kata entri lama yang mengalami perubahan makna sama ada peluasan atau penyempitan makna turut dikemas kini. Sebahagian besar kata dalam kamus ini merupakan kosa kata dalam bidang teknologi Maklumat dan komunikasi dan bidang-bidang lain seperti undang-undang, marin dan perubatan. Selain itu, kata serapan Arab seperti Baitulharam, Hujjatul Islam dam Zakum turut dimuatkan dalam edisi ini. 

        Noresah Baharom (2005) menyatakan bahawa bentuk dan jenis kata yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat telah menggambarkan senario sebenar perkembangan bahasa Melayu dalam tempoh sedekad yang lalu. Kemasukan kata yang berbentuk slanga dan bahasa percakapan yang lain ke dalam kamus Dewan juga amat bersesuaian dengan ciri kamus ini sebagai kamus umum. Walaupun terdapat penambahan entri, beberapa ungkapan yang membawa konotasi negatif oleh sesetengah golongan telah ditiadakan dalam edisi keempat ini.

 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran