Genre Sastera Kanak-kanak

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

 Kamus Dewan (2013) mendefinisikan genre merujuk kepada kategori atau jenis karya sastera atau seni yang dicirikan dengan sesuatu gaya, bentuk atau kandungan tertentu.  Manakala Siti Hajar Abdul Aziz (2009) menyatakan bahawa istilah ‘genre’ berasal daripada bahasa Perancis yang bermakna jenis atau bentuk dan dalam bahasa Latin, genus yang bermaksud set kriteria yang berasingan untuk mengklasifikasikan hasil kesusasteraan, tetapi digunakan juga untuk hasil karya seni yang lain. Dalam kesusasteraan Melayu, istilah genre turut diguna pakai bagi merujuk kepada pembahagian karya seni tertentu menurut kriteria yang sesuai untuk bentuk tersebut. Kebiasaannya, istilah ini digunakan untuk hasil karya seni dan budaya.

Menurut Abu Bakar Hamid (1992), genre kesusasteraan berbeza-beza kerana masing-masing memiliki unsur-unsur khusus yang membentuk pola secara berbeza untuk tujuan yang tertentu pula. Karya sastera mempunyai tiga ciri utama, iaitu bersifat imaginasi, mengandungi nilai-nilai seni dan kreativiti serta nilai estetik dari segi penggunaan bahasa. Namun begitu, pengaplikasian ketiga-tiga ciri tersebut berbeza-beza mengikut jenis karya kesusasteraan itu sendiri. Sebagai contoh, ciri khayalan yang terdapat dalam sastera imaginatif lebih ketara berbanding sastera bukan imaginatif. Dalam aspek bahasa pula, sastera imaginatif menekankan penggunaan bahasa konotatif, manakala sastera bukan imaginatif menekankan penggunaan bahasa denotatif. Meskipun dalam karya bukan imaginasi mempunyai banyak elemen fakta berbanding khayalan, tetapi karya tersebut masih memenuhi syarat-syarat estetika seni.

Karya bukan imaginatif terdiri daripada karya yang berbentuk esei, kritikan, biografi, autobiografi dan sejarah (Baharudin Zainal, 1979). Selain itu, memoir, catatan harian dan surat-surat juga dikelaskan dalam jenis ini. Karya imaginatif pula terbahagi kepada dua, iaitu prosa dan puisi. Kedua-dua karya ini mempunyai perbezaan, iaitu karya prosa mempunyai ciri khayalan dan terdapat penggunaan bahasa yang berunsurkan denotatif dan konotatif. Manakala karya puisi mempunyai ciri khayalan dan menggunakan bahasa konotatif yang sepenuhnya. Karya prosa terdiri daripada bentuk fiksyen seperti novel dan cerpen, manakala karya puisi terdiri daripada bahasa berirama seperti syair dan pantun (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011).

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran