Konsep Sastera Kanak-kanak

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Pendefinisian kesusasteraan kanak-kanak memerlukan penelitian secara terperinci. Kesusasteraan kanak-kanak menjadi istilah yang subjektif kerana terdapat banyak pandangan daripada pengkaji tentang bahan sastera ini. Salah satunya ialah kesusasteraan kanak-kanak ini telah ditambah dengan nilai-nilai murni bagi memisahkannya dengan sastera yang lain. Malahan, perkataan sastera itu sendiri mempunyai penilaian dan penelitian kualiti. Nilai ini atau kualiti tinggi ini berhubungan dengan standard kesusasteraan, idea-idea yang mendalam dan plot dan watak yang sentiasa diingati. Oleh yang demikian, standard yang tinggi bergantung kepada kualiti yang tinggi.  Kesusasteraan kanak-kanak juga merujuk kepada konsep yang sangat abstrak dan sarat dengan nilai dan tangapan yang bernilai

Sastera awal kanak-kanak ialah sastera kanak-kanak yang dihasilkan dalam bentuk buku yang boleh dibaca oleh kanak-kanak dan mampu menimbulkan keseronokan kepada kanak-kanak tersebut. Bagi mencapai tahap tertinggi nilai sastera dan estetika karya, penghasilan sastera awal kanak-kanak ini dilakukan dalam bentuk tulisan dan ilustrasi. Sastera awal kanak-kanak merupakan salah satu elemen yang dikenal pasti berupaya melengkapkan perkembangan seseorang kanak-kanak. Hal ini kerana, sastera awal kanak-kanak mampu memberikan keseronokan, dapat merangsang imaginasi, dapat membantu mengenal dan memahami diri sendiri, dapat memahami bahasa secara semula jadi, dapat membantu mendapatkan maklumat dan dapat memupuk nilai-nilai murni kepada individu kanak-kanak.

Sastera kanak-kanak merupakan bidang yang sangat menarik dan penting kerana peranannya dalam memberikan sumbangan besar dalam sosial dan budaya dari sudut pembelajaran dan pengajaran. Sastera kanak-kanak merupakan bahan bacaan yang ditulis khas untuk sumber pengetahuan kanak-kanak. Bahan-bahan ini merangkumi semua bentuk penulisan kreatif dam imaginatif yang khususnya bertujuan untuk dibaca, hiburan dan dinilai oleh kanak-kanak. Menurut Misran Rokimin (2001) meneliti sastera kanak-kanak sebagai agen pembangunan yang menjurus kepada pembangunan diri seseorang manusia itu, sama ada dari segi emosi, pemikiran atau kebahasaannya. Aspek-aspek tersebut terus berkembang, yakni semakin banyak karya sastera yang dibacanya, semakin bertambah perkembangan berlaku dalam diri kanak-kanak itu. 


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Teknik Plot

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Pengaplikasian Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak dalam Pengajaran dan Pembelajaran